18
Aug
16

Ketujuh: Keluar OT disambut MB

TIDAK ada sesuatu yang paling gembira dan membahagiakan apabila proses pembedahan berjaya dilakukan dengan selamat dan jaya. Sepanjang tempoh pembedahan tidak ada apa-apa yang tidak diingini berlaku. Seperti diceritakan, tempo pembedahan tidak diketahui, tahu-tahu saya sudah hendak dibawa ke wad.

image

Ahmad Yakob MB Kelantan menziarahi saya bersama Dr Wan Suhaimi.

Syukur panjang saya kepada Allah SWT yang memberi kesempurnaan itu. Tidak pernah terlupa juga kepada setiap mereka yang mendoakan ke atas kesempurnaan itu. Orang paling berharga dan dihargai ialah isteri, anak-anak serta menantu. Mereka sudah pasti berdoakan untuk saya.

Tidak terlupa walaupun ibu tidak dapat bersama, kerana nun jauh di kampung di Rantau Panjang yang berjarak 403 km, juga berdoa untuk saya. Mungkin pada malam sebelumnya ibu mengadakan solat Hajat untuk mendoakan kesejahteraan saya. “Masalah” dan alasan yang sering dihadapi orang tua, menyebabkan beliau tidak hadir bersama untuk berada di sisi. Namun saya tetap yakin dan percaya ibu melihat saya, seumpama Tuhan mengawal saya. Seorang ibu kasihnya kepada anak tidak pernah terucap persis sang suami yang ikhlas cintanya kepada isteri akan memendamkan perasaan itu tanpa disebut.

Saya bermadah mengenai kasih dan ingatan seseorang ibu kepada anaknya. Harapan dan bantuan doa tidak payah diminta-minta daripadanya sebab sebaik terbentuk janin (kita) dalam kandungannya dia tidak habis-habis mendoakan untuk kesejahtraan kita. Bahkan sebelum kita terbentuk lagi dia sudah memohon kepada Tuhannya agar mengurniakan seorang anak yang baik. Kasih bapa dan ibu membawa ke syurga.

Sesudah pembedahan tidak ada apa-apa simptom atau pun alahan. Kepala tidak pening dan tekak tidak loya. Kandati tubuh masih lemah, kerana ubat bius, tetapi ia tidak meralatkan saya. Ini terbukti apabila saya terus dapat menerima tetamu pertama saya selepas pembedahaan.

Tetamu ata orang pertama menziarahi saya selepas bedah ialah Ahmad Yakob Menteri Besar Kelantan. Belum sampai 10 minit saya keluar dari dewan bedah, beliau sudah terjolor sampai bersama dua orang pegawainya, dan teman seharian saya Dr Wan Suhami Wan Daud (Dr Phd).

Agak terkejut juga saya dengan kedatangan tetamu terhormat itu. Tidak sangka beliau hadir menziarahi saya. Apa lagi saya tidak pun dimaklum kedatangannya itu. Kunjungan itu atu kejutan.

Seperti setiap kali bertemu kami bersalaman penuh mesra dan keakraban. Ahmad meminta saya supaya jangan banyak bergerak. Dia begitu prihatin sekali. Dia sendiri tidak banyak bertanya dan hanya memerhati sahaja, seakan-akan bimbang untuk bercakap bagi mengelak saya keletihan. Kunjungan MB itu ternyata memberi kekuatan kepada saya. Al maklumlah MB Kelantan yang juga timbalan Mursyidul Am Pas, pemimpin kerohanian kedua dalam Pas. Seharusnya saya berbangga dan bertuah.

Bagaimana pun betapa niat dan tujuan beliau ikhlas tetapi kapasitinya sebagai orang politik kunjungan beliau itu tetap disuluh dari mata politik. Semua gerak gerinya sama ada sengaja atau tidak tetap ditafsirkan dengan berbagai makna. Kalau pun mereka ikhlas tetapi pengulas dan penyokongnya akan membuat tafsiran sendiri untuk kepentingan diri. Teori 4C tetap akan berlaku, “mengeksploitasi”.

Demikian buruknya persepsi kepada orang politik. Walaupun kunjungan Ahmad itu sebagai tanggungjawab pemimpin dan atas dasar perhubungan antara saya dengan dia, tetapi ia diambil kesempatan untuk kepentingan politiknya. Sekejap sahaja gambar Ahmad menziarahi saya dan kami bersalaman didedahkan dan menjadi viral dalam Facebook dengan keterangan yang cukup menyinis saya dan memberi muka kepada Ahmad.

Kononnya kunjungan ziarah itu menunjukkan kebaikan dan keikhlasan pemimpin Pas itu, yang sedia melawat saya walaupun saya vokal mengkritiknya. Dalam satu posting berbunyi; walaupun dikritik tetapi MB tetap menziarahi MSO, ini menunjukkan betapa tingginya akhlak pemimpin Pas. Adus…

Gambaran yang hendak diberikan, Ahmad seorang baik dan tidak mengambil hati kepada saya yang mengkritiknya. Mulanya saya tidak mahu menyebut di sini macam mana MB Kelantan itu boleh mengunjungi saya. Biarlah permainan politik murahan berlalu begitu sahaja. Kita yang sihat politik sepatutnya tidak terperosok sama dalam pemahaman politik yang sempit. Tetapi kerana ingin mendedahkan perkara benar, elok kalau saya mengisahkan macam mana MB Kelantan boleh melawat saya.

Tanggal 25 Disember, 2015 adalah tarikh yang dijanjikan untuk kami bertemu di Kuala Lumpur. Ia ditetapkan dua minggu sebelum itu. Pertemuan itu atas permintaan saya. Saya telah memgutus surat kepadanya. Tujuan pertemuan itu bagi mendapat penjelasan beberapa perkara berkaitan dengan kerajaan Kelantan yang ada kena mengena dengan dirinya, terutamanya mengenai beberapa tuduhan terhadap pentadbirannya yang dilihat pincang dan kegagalannya selaku MB menyelesai masalah yang timbul. Bagi saya beliau perlu memberi penjelasan atau menjawab segala kritik itu agar tidak mengelirukan orang ramai.

Saya mengambil inisiatif menulis surat kepadanya menyatakan maksud dan keperluan saya untuk berjumpa dengannya. MB menjawab menyatakan persetujuan untuk berjumpa dengan saya. Pada mulanya tarikh diberikan pada 7 November 2015 sebelum saya ke Sri Lanka, tetapi kerana kebetulan pada masa itu saya ke luar negeri ia dibatal dan dianjakkan pada tarikh 25hb Disember. Tanggal 25hb Disember adalah tarikh temujanji kedua.

Tarikh 25hb itu juga berkebetulan kerana Ustaz Mat ada urusan di Kuala Lumpur. Kalau tidak silap menghadiri persidangan Majlis Raja-Raja. Jadi beliau mengambil pelung untuk berjumpa dengan saya. Malangnya pada tarikh ditetapkan itu sekali lagi tidak kesampaian saya berada dalam wad untuk menjalani pembedahan. Gara-gara itu pertemuan itu tidak dapat diadakan pada tarikh ditetapkan. Kebetulan masa saya operate (27hb) beliau masih berada di Kuala Lumpur dan mengambil peluang untuk menziarahi saya.

Saya percaya dan yakin beliau ikhlas melawat saya dan tidak pun ada niat untuk mengeksploitasikan bagi kepentingan politiknya. Saya percaya dan yakin beliau tidak pandai bermuka-muka dalam kehidupan, apa lagi mempolitikan kunjungan itu. Hubungan saya dengannya bukan intim sejak beliau menjadi MB, tetapi sebelum itu lagi. Yang menjadi masalah ialah para pendokong Pas yang suka mengambil apa sahaja kesempatan. Jadi kunjungan Ahmad itu adalah sebagai kunjungan seorang pembesar kepada rakyatnya sahaja.

image

Bersama MB Kelantan.

Tidak sampai setengah jam Ahmad berada bersama saya, kemudian beliau pergi. Sementara pertemuan yang dirancangkan itu tidak terjadi sampai kini. Mungkin ia sudah dianggap selesai?

Ahmad boleh dikatakan merasmi upacara melawat saya oleh sanak saudara dan rakan-rakan terdekat. Saya tidak menghebahkan akan pembedahan itu. Hanya rakan-rakan terdekat atau yang bertemuan setiap hari sahaja diberi tahu. Berita pembedahan itu tidak pun saya masukkan ke dalam Facebook atau pun blog. Saya tidak mahu menyusahkan orang.

Pun rakan-rakan yang makrifat dengan saya dapat menghidu apa yang berlaku kepada saya. Dan ada juga yang tidak sedar pun saya masuk wad ataun dirawat kerana hubungan dan kegiatan saya seharian di media massa tidak terjejas. Saya terus update dan membuat pengeposan baharu dalam blog.

Masa di atas katil pun saya masih membuat pengeposan baharu dalam blog, dan pengeposan ini menyebabkan rakan-rakan media sosial tidak mengsyaki sesuatu.

Wangsa Melawati, Kuala Lumpur.

 

13
Aug
16

Keenam: Menaiki keranda

SEPERTI mana ditetapkan saya mendaftar masuk ke wad 6H pada 24 November 2015 jam 9:45 pagi. Saya hanya membawa surat kuning, surat arahan memasuki wad yang dikeluarkan oleh klinik ENT. Mulai hari itu saya rasmi menjadi warga HUKM dengan pendaftaran No: N 617505.

image

Butiran peribadi dalam wad.

Sebaik masuk saya diberikan persalinan, sepasang baju hospital – sehelai baju dan seluar “sapok” berwarna hijau yang siap tertulis HUKM.

Sejurus kemudian saya diberikan taklimat khas berhubung prosuder dan peraturan sepanjang berada dalam wad. Mengenai masa lawatan, kemudahan-kemudahan disediakan dalam wad dan cara-cara untuk menggunaknya. Tidak terlupa juga penjelasan mengenai apabila berlaku kecemasan dan cara untuk memanggil jururawat.

Seorang jururawat membidik sebuah fail dipenuhi beberapa helai borang datang ke katil saya untuk merekod butiran mengenai saya. Nama, umur, alamat tempat tinggal. Kemudian mengambil tekanan darah, menguji denyut nadi, timbang berat, ukur ketinggian. Saya juga ditanya apakah merokok dan minum (maksudnya minum minuman keras). Satu tag dilekatkan di lengan saya. Tag itu menandakan identiti pesakit dan warga negara HUKM.

Kemudian saya diberi taklimat mengenai peraturan dalam wad. Masa lawatan dari jam 12: 30 hingga 5:00 petang. Makan diberikan sebanyak dua kali, tengah hari dan malam disamping sarapan pagi dan teh waktu petang. Lain-lain peraturaan mengenai penggunaan segala kemudahan dalam wad; bilik air, air panas, bakul sampah dan sebagainya. Beberapa helai risalah juga diberikan ini termasuk risalah cara-cara mendirikan solat bagi orang sakit.

Masuk dalam wad secara automatik kita kena menjadi penghuni wad, berkawan dengan pesakit lain. Mana-mana pesakit yang sudah berhari dalam wad akan menegur kita, bertanya khabar. Pertanyaan yang popular ialah sakit apa, berapa lama dan datang dari mana.

image

Bersiap sedia untuk memasuki OT.

Manakala yang kurang ramah pula akan melemparkan senyuman, seolah-olah
menyambut kehadiran kita sebagai penghuni wad. Mengenang susana dalam wad itu teringat saya semasa muda-muda dahulu ketika menghadiri pelbagai kursus dimana peserta ditempatkan dalam dome terbuka. Kami tinggal untuk beberapa hari, berkenalan dan berkawan penuh mesra.

Kawan sewad saya yang pertama ialah, sdr Sabri Zakaria. Dia juga merupakan rakan media sosial saya. Kedatangan Sabri ke wad itu dianggap sebagai balik ke rumah keduanya. Dia sudah berkali-kali memasuki wad berkenaan.

Saya tidak perasaan kehadirannya dalam wad itu. Tidak sangka sama sekali. Kerana itu saya tidak menyapanya saat di berjalan di hadapan katil saya untuk mengambil tempatnya di pojok. Dia yang mengecami saya dan mendekati, minta untuk berselfie. Pertemuan ini adalah hasil jalinan menerusi media sosial.

Wad HUKM canggih

Walaupun saya pernah masuk wad tahun 1983, di Hospital Universiti Sains (HUSM)  Kubang Kerian, tetapi tidak banyak pengalaman dilalui. Wad di HUKM lebih “canggih” apa lagi kebebasan menggunapakai android, telefon bimbit, laptop dan sebagainya. Kemudahan itu semua menyebabkan kita berasakan seolah-olah tidak berada dalam sebuah bilik pesakit, tetapi semacam bilik rehat sahaja.

Menjelang pembedahan keesokan hari persiapan untuk proses pembedahan dilakukan. Beberapa perkara rutin sebelum pembedahan diteliti. Sebelah petang saya menjalani ujian jantung, melakukan ECG, stress test. Tekanan darah dan kadar gula, sudah semestinya turut diambil. Lebih-lebih lagi gula perlu distabilkan kerana saya penghidap debetis yang lama. Pagi-pagi lagi sebelum menjelang Subuh tekanan darah sudah diambil kemudian diikuti ujian tahap gula. Lebih awal dari itu berat badan ditimbang. Pendeknya persekiaran wad dan perawatan sungguh rapi sekali.

Segala dekomentasi diri dan proses pembedahan juga dipersiapkan. Saya diminta untuk menandatangani persetujuan (concern) pembedahaan.

Sebelah malamnya, sebelum lampu wad ditutup pakar bius datang memberi motivasi dan menerangkan seluk beluk pembiusan. Pakar bius itu berbangsa Cina, beliau memberi penerangan dengan begitu teliti dan cermat sekali. Segala maklumat diri diambil dan ditanya berulang kali, tentang apa ubat-ubatan dan makanan yang mendatang alergik. Semua itu harus dipastikan bagi mengelak kompilasi jika berlaku sesuatu semasa pembedahan.

Pakar bius itu juga memberi tahu jangka masa proses pembedahan sekitar satu jam atau satu jam setengah sahaja. Itu berdasarkan pengalamannya.

Sebelum meninggalkan saya, dan minta saya berihat, pakar bius turut bertanyakan saya, apakah perlu ubat penenang atau tidak. Ubat ini guna memberi ketenangan jiwa bagi menghadapi pembedahaan. Ia untuk mengatasi kemungkinan stress atau pun rasa cemas.

“Pakcik perlu ubat penenang ke, nanti saya berikan,” katanya.
“Penenang, untuk apa?” Tanya saya seakan keliru. Apakah dia melihat saya gelisah menanti saat pembedahan esok maka ditawarkan ubat untuk menenangkan hati dan fikiran?

“Ubat agar cepat tidur dan tidak gerum untuk hadapi pembedahan,” teranngya lagi.
“Oh… tidak perlu,” balas saya. Iya saya tidak memerlukan apa-apa ubat untuk menenangkan fikiran kerana saya sudah siap sedia untuk menghadapinya dari segi mental dan fizikal. Saya sedikit pun tidak cemas menanti saat penuh suspen itu. Sebanyak-banyaknya saya bertakwal kepada Rabuljalil.

Sebelum melelapkan mata malam itu, percakapan saya dengan Sabri di sebelah paginya terngian-ngian di telinga. Sabri mengisahkan mengenai riwayatnya kenapa berada di hospital. Menurutnya dia sudah beberapa kali membuat penetapan tarikh untuk pembedahan, tetapi tidak pernah jadi kerana dia minta tangguh.

Dia menghadapi masalah perut, usus perutnya membesar sehingga mengatasi paru-paru menyebabkan dia mudah menjadi “sosong” menyebabkan sukar bernafas. Doktor Pakar mencadangkan kepadanya agar melakukan pembedahan untuk buang separuh daripada perutnya. Sebelum ini dia sudah menjalani satu pembedahan berkaitan dengan hati.

Mulanya dia bersetuju, tetapi ditangguhkan. Dia mahu mendapat khidmat nasihat beberapa orang pakar lagi.

Memasuki dewan bedah (OT)

image

Ditolak masuk ke OT.

Memasuki ke OT (Operation Theatre) merupakan pengalaman pertama dalam hidup.
Tepat jam 8:30 pagi jururawat datang meminta saya menukar baju sambil meletakkan sehelain baju berwarna putih. Baju itu merupakan seragam khas untuk pembedahan. Rupanya untuk ke OT ada baju khas. Ia agak pelik sedikit kerana kancing, tali ikatan terletak di bahagian belakang.

Semasa saya sudah bersiap sedia untuk ditolak masuk ke OT, isteri masih belum sampai lagi. Dia menghantar SMS sudah bertolak dari rumah selepas solat Subuh dan tentunya berdoa panjang. Sebenarnya kalau dia tidak sampai pun tidak mengapa. Saya lebih senang menjalani pembedahan atau memasuki ke dewan bedah tanpa diteman dan ditunggu sesiapa. Saya mahu dia atau sesiapa sahaja, datang sesudah semuanya beres. Biar surprise sedikit.

Mernjadi prinsip hidup saya. Hidup kalau pun tidak boleh membantu orang lain tetapi jangan sampai menyusah orang. Misalnya kita tidak mampu memberi pinjaman wang tetapi jangan sesekali meminjam. Sebab itu selama merantau dan hidup di Kuala Lumpur, lebih 35 tahun saya tidak ada hutang dengan sesesiapa walaupun satu sen. Biarlah saya, anak dan isteri makan atau pakai ala kadar sahaja, tidak kisah. Sebaliknya ada orang berhutang dengan saya, yang jumlah cukup untuk rawatan kemoterapi sebanyak 10 kali. Sampai kini belum dilunasi walaupun sudah lebih satu dekad.

Semalam isteri bertanya mahu ditunggu atau tidak. Saya jawab tidak payah, lagi pun wad di HUKM tidak ada ruang untuk menunggu. Tambahan saya tidak ada apa-apa masalah untuk diawasi serapi mungkin. Jadi pagi-pagi selepas Subuh isteri dan anak-anak sudah bergerak dari rumah. Dan kedatangan mereka juga tepat kerana beberapa minit selepas itu saya mula ditolak untuk menuju ke dewan bedah.

Kandati pun saya tenang sahaja untuk menghadapi pembedahan, tetapi bunga-bunga perasaan cemas ada juga bersarang dalam hati, maklumlah ini pertama kali.

Dalam pada itu bermacam-macam cerita atau implikasi digambarkan akibat pembiusan berbagar-bagar dalam benak. Pelawat atau rakan-rakan yang ada pengalaman menceritakan tentang proses bius dan implikasinya. Yang paling banyak diceritakan, kesakitan akan terasa selepas ubat bius habis. Paling menakutkan ia boleh menganggu saraf, pemikiran, menyebabkan memori boleh hilang dan ini agak membimbangkan.

Mengenang ini saya teringat kepada keadaan komputer yang “korup” menyebabkan segala memori dalam hard-disk  hilang, menyebabkan seluruh data hilang. Alangkah kalau ini terjadi parah juga. Tetapi saya ketepikan itu kerana ia bukan penjelasan atau pun kenyataan daripada mereka bertauliah. Ia bergantung kepada persepsi seseorang yang dikutip dari cerita atas cerita yang didengarinya.

Menaiki keranda

“Jom Pakcik kita ke OT,” jururawat bersama attandan yang bertugas untuk membawa pesakit ke OT mendekati saya.

Tepat jam 8:45 katil saya didorong keluar dari ruang di wad menuju ke luar wad mengarah ke OT  yang terletak di tingkat bawah. Isteri dan anak-anak mengekori dari belakang. Anak perempuan saya sempat merakam gambar saya sedang ditolak, menuju ke OT.

Keluar dari wad menuju ke lif untuk turun ke dewan bedah utama. Saya hanya terbaring di atas katil sambil merasai keenakan berbaur kecemasan di atas katil. Bunyi roda katil bergeseran dengan lantai masuk ke dalam telinga. Menuruti lenggang lenguk perjalanan dan ada kala cepat adakalanya perlahan.

Saya baring bagaikan mayat, mulut tidak habis-habis beristghafar dan berzikir menyebut nama Allah dan memujiNya. Zikir lazim saya, Subhanallah, waalahamdulilah, wailailahaillah ( ‫سُبْحَانَ اللَّهِ وَ الْحَمْدُ لِلَّهِ وَ لاَ اِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَ اللَّهُ أَكْ,‬ ) diselang seli dengan ayat Quran Nurkarim menjadi amalan saya, Al Arsh. Saya membayangkan saya sekujur jasad di atas keranda yang sedang ditolak untuk dimasukkan ke dalam liang lahad. Ah!

Kenangan 45 tahun lalu semasa melalui ujian badanian dalam satu pengajian, kembali ke dalam diri. Iya.. inilah manfaat hasil daripada demostras. Masa kecil dulu saya pernah diusung dalam keranda buluh dalam satu permainan “spiritual” mati olok-olok.

Permainan itu kononnya dilakukan upacara pengembumian. Saya seorang anak yang agak nakal dan tidak tahu takut. Kami ke kuburan, kebetulan dua tiga hari lepas ada jiran yang baharu meninggal. Jadi kerandanya masih belum dirombak dan dibiarkan di atas kubur. (Dulu keranda dibuat daripada buluh setiap kali ada kematian). Kami gunakan keranda itu untuk main mati-mati.

Selepas Asar saya dan kekawan ke kubur. Salah seorang ditawarkan untuk menjadi si mati. Selepas tidak ada sesiapa untuk jadi mati, maka saya menyanggupi. Maka saya masuk ke dalam keranda dan berbaring. Kawan-kawan mengangkat dan mengusung mengeliling wakaf dua tiga kali. Sambil mengusung mereka berzikir dan berselawat. Selepas beberapa kali mengelilingi wakaf mereka letak perlahan-lahan betul-betul dekat dengan kuburan yang baharu itu.

Selepas diletakkan mereka membaca Talkin kemudian bertahlil. Saya yang menjadi mayat terus terkujur kaku di atas tanah, tanpa bergerak sambil kedua belah mata pejam rapat. Kenangan itu datang menerawang ke dalam diri di sepanjang berada atas katil yang sedang ditolak ke bilik OT. Apa dirasai 45 tahun lalu semacam berulang kepada saya ketika ditolak masuk ke dewan bedah. Bertuah juga saya kerana pernah main mati-mati sekurang-kurangnya dapat merasaikan keadaan itu pada saat yang genting begitu.

Iya walaupun pembedahan itu ringkas sahaja, – minor surgery, demikian menurut pakar ENT, tetapi sesekali fikiran liar menerawang juga kepada situasi yang pernah dilalui itu. Angkara bius menyebab kita tidak sedar, ada kes-kes langsung tidak sedar yang membawa kepada kematian? Perasaan itu agak mengusik hati juga. Jadi saya harus sumbatkan diri dengan zikir sebanyak mungkin bagi menghilang kebimbangan itu.

Perjalanan ke lif, dirasakan sekejap sahaja. Memang pun attandan yang menolak cepat dan agak rakus. Mereka sudah tidak ada rasa simpati dan kesian belas lagi. Apa yang mereka tahu ialah menjalankan urusan mereka. Hantar di bilik OT, tinggal dan bila sudah sampai tempoh mereka datang untuk mengambil bagi dihantar semula ke wad. Bila ia sudah menjadi rutin begitulah kerja dan cara bekerjanya. Perasaan (feeling) sudah tidak ada lagi.

Perjalanan ke OT melalui dua lif, selepas masuk lif dari tingkat sesarata dengan wad, kemudian keluar lif dan masuk lif khas laluan pesakit menuju dewan bedah. Sampai di satu sudut saya “disendur” di situ, terdapat beberapa katil lain dengan pesakit masing-masing menanti giliran untuk ditolak ke dalam dewan bedah. Keadaannya seperti di ruang kecemasan, penuh dengan katil.

Di sebelah saya seorang kanak-kanak yang juga berpakaian seperti saya. Dia juga akan menjalani pembedahan, tetapi tidak pasti apa jenis penyakitnya. Dia ditemani ibunya sejak dari luar lagi. Wajah si ibu kelihatan sugul sekali. Melihat itu menimbulkan simpati saya kepada kanak-kanak itu memandangkan dia kanak-kanak yang kalau ikut keadaannya tidak sepatut berada di situ, tapi itulah dinamakan takdir. Sakit dan ujian tidak terkecuali dan mengikut usia. Ia boleh singgah ke atas sesiapa sahaja yang telah ditetapkan.

Menanti di situ menunggu rasa sahaja bila akan ditolak ke ruang pembedahan. Saya menanti-nanti apakah yang akan dilakukan seterusnya. Saya mengira saya akan disuntik dengan obat tertentu. Tidak ada penerangan apa-apa dibuat lagi. Cuma jururawat dalam OT bertanya saya, apakah nama saya “Mohd Sayuti bin Omar”, dia mahu pastikan bahawa saya adalah saya. Atau pertanyaan itu termasuk dalam proses menguji ingatan saya dan disamping pengesahan bahawa pesakit yang berada di katil itu adalah benar saya.

Di sudut yang tersendur itu, saya hanya menanti tindakan seterusnya. Di dinding tergantung tiga keping potret  pembesar yang salah seorangnya memedihkan mata untuk melihatnya. Tetapi apakan daya, tidak ada apa-apa yang hendak direnungkan. Fikiran sesekali berputar ke luar mengintai isteri dan anak-anak, kadang kala sampai ke rumah. Jenguk masuk ke dalam rumah. Anihnya tidak ada apa-apa yang tersandar dalam kepala.

Tiba-tiba katil saya bergerak. “Encik Sayuti kita nak masuk ke OT,” ujar jururawat perlahan dan sangat jelas bagi telinga saya.

“Ok,” balas saya menurut sahaja dan terus menanti rasa dan tindakan selanjutnya. Mulanya saya ingin menolek untuk merenung isteri dan anak-anak, tetapi mereka sudah terhalang oleh tembok OT.

Kemudian katil saya ditolak masuk ke satu ruangan khas. Bilik yang aneh. Di bahagian atas ada alat semacam “sakak” ayam. Kepala saya diletakkan betul-betul bertentangan dengannya. Kiri kanan ada wayer dan beberapa barang berbentuk kotak, penal. Satu wayer dimasukkan ke tangan saya menerusi “tali hidung” (pot) yang sedia dipasang sejak dalam ward.

Ada beberapa orang team bedah. Saya tidak kenal siapa mereka. Mukanya bertutup dengan topeng macam orang atas kapal angkasa. Tetapi jauh di sudut hati saya mengira dia ialah Prof Madya Razif, doktor pakar yang mula-mula memeriksa saya semasa saya mendapatkan pemeriksaan minggu lepas. Menurutnya dialah yang mengetuai pembedahan?

Dalam menanti dengan penuh perasaan itu, tiba-tiba saya hanyut dan ghaib. Saya tidak tahu apa yang berlaku lagi selepas itu. Pakar mana yang berdiri di kepala dan hujung kaki dan sebelah kiri dan kanan. Semua muka berbungkus macam hantu. Tidak kenal sesiapa. Mereka juga tidak bercakap antara satu sama lain. Mereka berkomunikasi menerusi kod atau pun body language yang mereka sahaja fahami.

Sedar-sedar saya sudah berada di luar.
“Encik Sayuti, kita nak bawa balik?” Begitahu jururawat yang membawa saya tadi.

“Nak balik?” Saya terkejut dalam keadaan sedar dengan tidak. Mumai. “Kenapa?  Tidak jadi operate ke?” Tanya saya sedikit gusar takut ada apa-apa yang tidak beres, sedangkan saya mengharap ianya semua OK.

“Dah selesai kita nak bawa ke wad,” jelas jururawat itu ia sungguh melegakan.
Terasa sekali proses itu begitu cepat sekali. Tempoh pembedahan selama satu jam lebih itu dirasakan hanya dua minit setengah sahaja. Saya sangat gembira dan seronok dengan apa yang berlaku. Rasa gerum dan takut yang bertandang di hujung hati tidak sediki pun menakutkan saya.

Begitulah keadaan kalau kita tidak sedarkan diri. Apa yang dilakukan kepada kita tidak diketahui. Fikir saya begitulah juga setelah mati nanti kelak. Masa yang dilalui sekejap sahaja, bagi yang ralik dan lena, tetapi menjadi panjang kepada yang resah dengan penantian. Soal tempoh adalah subjektif kepada seseorang hamba itu.

image

Dalam wad diteman anak, gambar Sabri Zakaria.

Apakah masa bagi seseorang itu sesudah mati kelak bergantung kepada keadaan dirinya. Amalannya. Dia akan merasakan masa di akhirat nanti begitu panjang dan menjemukan. Begitulah yang diajarkan. Sebaliknya ia akan menjadi cepat dan “bangat” bagi mereka yang penuh dengan amalan dan bersiap siaga.

Keadaan ini dapat dipadankan dengan apa yang berlaku hari ini. Masa itu akan cepat berlalu bila kita ralik dan seronok dengan sesuatu keadaan. Semisalnya masa bertemu kekasih atau menonton sesuatu pertunjukkan yang menggembirakan kita, ia akan berlalu sangat cepat. Masa berdecak lalu tidak disedari. Sebaliknya kalau menanti sesuatu yang memerlukan segera ia akan lambat, menjemu dan meresahkan. 🇲🇾

Wangsa Melawati.
29/03/16

10
Aug
16

Kelima: Tindakan pantas

TEMPOH sebulan yang ditetapkan oleh doktor pakar ENT Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk saya menjalani ujian CT Scan adalah terlalu lama. Tempoh itu boleh memungkin sesuatu yang tidak baik buat saya. Pembiakan sel kanser terlalu cepat. Makanya saya juga perlu bertindak tangkas dan cepat. Tindakan segera memastikan segala kemungkinan-kemungkinan yang tidak diingini dapat diatasi. Perjalan sel kanser harus dibantutkan?

Kelambatan untuk mendapatkan giliran menjalani imbasan CT Scan di HKL saya sangat-sangat memahami kenapa, walhal masa untuk melaksanakannya tidak sampai 20 minit. Ramai pesakit yang menanti giliran untuk menjalani ujian berkenaan. Walaupun peralatan ini sudah lama diperkenalkan tetapi ia masih belum mencukupi berbanding dengan (ratio) pesakit yang ada. Adalah wajar kalau mesyen x-try  ini ditambah dari masa ke semasa bagi memastikan tidak berlaku kelewatan mendapat rawatan yang boleh menghadirkan kemungkinan-kemungkinan yang buruk itu.

Inilah bahana atau pun “ulah” yang terpaksa dilalui apabila mahu mendapat rawatan di hospital kerajaan. Terpaksa menunggu dan mengikut giliran. Keadaan ini menimpa sesiapa sahaja, tidak kira darjat dan juga kedudukannya. Sebab itulah bagi mereka berwang dan mampu akan mendapatkan rawatan di hospital swasta. Sanggup bergadai dan berhutang untuk mendapat rawatan segera. Atau pun jika ada “cable” ia boleh dipercepatkan. Tindakan itu pula bagi saya sesuatu yang tidak adil kepada yang sudah lama menunggu. Bagi saya melintasi penantian orang lain suatu dosa?

Disebabkan terlalu lama dan bimbang penyakit yang ditanggung mulai merebak saya mencari alternatif lain. Saya perlu berbuat sesuatu sebaik mungkin untuk diri sendiri. Dalam hal ini saya tidak perlu berkompromi dengan sesiapa. Sebaik meninggalkan HKL,  di dalam kereta ketika perjalanan pulang lagi saya sudah berfikir mencari “jalan keluar” alternatif. Saya perlu menyegerakan menjalani ujian berkenaan untuk mengetahui keadaan dan kondisi tubuh saya.

Mengikut prosuder selepas mendapat hasil CT Scan baharulah doktor akan mengetahui dan membuat bacaan (analisa) apa penyakit yang kita alami kemudian menentukan tindakan selanjutnya. Ujian pengimejan itu membantu menguatkan hasil atau petunjuk daripada ujian darah. Ianya akan diselaraskan bagi membuat kesimpulan apa sebenarnya yang berlaku dan tindakan selanjutnya.

Sebenarnya bayangan bahawa saya menghidap penyakit yang paling ditakuti itu membuatkan saya bertindak segera,  membuka plan baharu serta merta. Mula saya berfikir untuk merayu kepada pendaftar unit Radiologis bagi mendapat laluan agar dipercepatkan. Terfikir juga mahu menghubungi pakar ENT HKL Dr Munirah yang merawat saya memohon jasa baik dan rekmin daripadanya. Tetapi mengenangkan tindakan saya itu menyusahkannya, saya tidak jadi berbuat begitu. Saya sangat menghormati bidang kerja orang lain dan berdisiplin.

Sebaik sampai di rumah saya menghubungi seorang kawan, Md Shaupi Deraman memperihalkan hal saya kepadanya. Saya teringat beliau ada kenalan seorang pakar di HUKM. Kawannya itu Profesor Hassan yang mengetuai salah satu Jabatan. Md Shaupi tidak banyak cakap terus menghubungi kawannya itu. Beberapa jam kemudian saya mendapat maklum balas daripadanya, berupa cadangan dan pandangan daripada Prof Hassan yang meminta saya berjumpan dengan pakar ENT yang diaturnya.

Malam terlalu lama

Menanti hari esok untuk berjumpa dengan pakar ENT bagi mengetahui kondisi saya, dirasakan sangat lama. Semacam jarum jam tidak berdetik dan matahari tidak berpusing untuk segera menghadirkan siang. Perasaan itu wujud semuanya kerana saya sudah mula dilambung cemas. Lagi pun menjadi tabiat saya sesuatu perkara sama ada berupa kerja atau apa-apa pun disegerakan dan kalau boleh semua kerja dan urusan mesti dibereskan dalam jam yang sama. Saya seorang yang tidak suka menangguh sesuatu melainkan melibatkan orang lain yang mana saya tidak dapat mengatasinya dengan bersendirian, jadi kena akur kepada pergerakan orang.

Esoknya selepas Subuh sebelum fajar Dudha menjenguk saya dengan ditemani isteri sudah bergerak ke HUKM di Cheras yang jarak dari rumah 24 kilo meter. Pemergian ke HUKM itu adalah pertama kali secara rasmi saya mendapat rawatan di situ. Kali pertama saya menjejak hospital berkenaan ialah pada tahun 2001 menziarahi sahabat saya Idris Othman yang sakit kerana kanser dan kedua ketika menziarahi jenazah bekas Presiden PAS Fadzil Mohd Noor yang juga meninggalkan kerana kanser. Kali terakhit ke situ untuk menziarahi jenazah sepupu yang meninggalkan akibat kaser sinus yang merebak ke otak.

Klinik pakar berkenaan terletak di Tingkat 7 di HUKM. Tingkat 7 menempatkan ward berbayar atau Private Wing. HUKM ada dua bahagian (sektor), satu untuk orang awam dimana kos perubatan dan rawatannya jauh lebih murah berbanding dengan Private Wing yang mengenakan kos yang sama mahal dengan lain-lain hospital swasta. Apabila saya diminta ke ward 7 terfikir mengenai bayaran?

Jam 9:30 pagi saya sudah memasuki ke klinik pakar HUKM. Selepas bertanya pelayan di kauter pendaftaran dan menjelaskan tujuan kedatangan saya, serta menyebut nama pakar yang hendak saya temui, saya disuruh masuk ke klinik. Pakar yang saya hajati untuk menemuinya, Dr Razif sudah sedia menanti kedatangan saya.  Pertemuan itu mudah kerana temu janji telah diaturkan oleh Prof Hassan.

Tanpa banyak bicara saya diperiksa. Dua orang doktor ENT, saya percaya dibawa seliaan Dr Razif membuat pemeriksaan lisan terhadap saya. Mereka bertanya apa-apa yang wajar dan saya menjelaskan mengikut apa yang ditanya. Selepas mereka membuat pemeriksaan ke dalam tekak, melihat tonsil dan bentuk serta kedudukannya baru Dr Razif “menangani” saya. Pemeriksaan tidak sampai 10 minit beliau terus membuat cadangan, agar dilakukan operate untuk membuang tonsil.

“Kita operate sahaja dan tonsil ini kena buang,” jelasnya. Cara dia menjelaskan dan melayani saya ringkas dan mudah. Penuh keyakinan. Nama lagi pakar dan caranya penuh psikologikal.

Sebelum itu Dr Razif memberi penerangan mengenai prosuder pembedahaan dan perkhidmatan di antara Pravite Wing dengan wad umum. Maksudnya yang berbayar dan yang biasa. Menurutnya sekiranya pembedahaan dibuat di Private Wing kosnya agak tinggi, tetapi ia cepat. Sementara pembedahan di ward biasa, ia murah tetapi ia terpaksa menunggu masa sedikit, menanti giliran sebab ramai pesakit.

Saya hanya mendengar penjelasan itu tanpa apa-apa komenter. Saya tidak ada pilihan lain lagi melainkan apa yang diperlukan mempercepatkan proses pembedahan itu. Tindakan perlu segera, tonsil kena dinyahkan.

“Kalau buat di sini (Private Wing) ia agak mahal, tetapi boleh cepat, kalau di wad biasa, lambat …  tetapi kosnya murah?” Jelas Dr Razif seakan memberi pilihan kepada saya. Beliau ikhlas menyebabkan saya berasakan alternatif yang diberikan itu tidak menekan perasaan.

Bagi saya apa yang penting bukan lagi soal wang dan berapa nilainya, yang penting rawatan dan tindakan (pembedahan) perlu disegerakan. Tonsil harus dinyahkan. Wang dan segala kos dengan apa cara pun akan disediakan. Dalam keadaan kritikal begitu wang bukan menjadi perhitungan lagi. Harta benda bukan sesuatu yang perlu diperhitungan dalam situasi begitu.

Namun sebagai orang tidak berada, sebatang kara di kota Kosmopolitan ini terfikir juga, bahawa perbezaan kos itu sangat ketara. Walaupun wang tidak kisah, tetapi ia masih merupakan sesuatu perlu diambil kisah juga. Hidup yang sempurna itu antara penyebabnya ialah kebijaksanaan mengurs wang.

Untuk mendapat penjelasan lanjut, saya bertanya kepada Dr Razif suatu pertanyaan yang tidak sepatutnya diluahkan; “Ada beza ke di antara private dengan ward umum? Maksudnya peralatan yang digunakan, dan pakar mana yang melakukan pembedahan?”

“Sama sahaja, peralatan yang digunakan dan dewan bedah sama. Dan yang buat (bedah) pun saya juga” jelasnya cepat. Penjelasan itu memberi kelegaan kepada saya. Bahawa tidak ada perbezaan dari segi kualiti perubatan di private wing dengan wad biasa kecualilah dari segi fasalitas dan jumlah kos? Apabila mendapat penjelasan itu, terfikir adalah lebih baik menjalani pembedahan dan rawatan di ward biasa, kerana ia boleh menjimatkan kos. Tetapi masalahnya ia terpaksa tunggu, menyebabkan saya tidak memikir panjang dan menyerahkan kepada budibicara Dr Razif.

“Saya serahkan kepada Dr, di sini pun boleh di wad awam pun boleh?” Kata saya penuh keinsafan. Dr Razif mungkin dapat membaca air muka saya yang terdesak menyebabkan beliau memberi sedikit kelonggaran. “Saya akan cuba tenguk jadual pembedahan dulu, kalau boleh buatlah di wad awam, jimat kos sikit,” katanya. Kata-kata itu melegakan saya dan ia merupakan satu penawar. Diplomasi Dr Razif sangat tinggi untuk orang yang dalam keadaan kecemasa dan terdesak seperti saya.

Saya terus terpaku di atas kerusi pemeriksaan, di samping isteri yang hanya memerhati apa yang berlaku dengan penuh taakulan. Saya memahami apa yang berladum dalam hatinya sebagai seorang isteri. Kebimbangan yang bersarang diwajahnya dapat saya hidu dan rasai.

Sementara saya terdiam dan terpaku dan sesekali berintraksi dengan kaki tangan klinik bagi menyapu resah, Dr Razif menekan key borad komputer di meja kerjanya. Tanganya menggerakkan tetikus menaik turun data dalam kompter. Matanya tertumpu kepada skrin. Dia sedang melihat jadual tugas dan appoitment pembedahan. Tekun sekali dia menyemak data-data dalam komputernya.

“Oh, minggu depan ada patien yang tangguhkan pembedahan. Kalau Encik Sayuti mahu, kita buat minggu depan,” kata Dr Razif sambil berpaling ke arah saya.
“Ini sahaja ada tarikh yang kosong, kalau tidak terpaksa tunggu lama …” Jelasnya lagi. Kata-kata itu sekali lagi menjadi penawar kepada saya. Saya berasakan rawatan terhadap saya sudah pun berjalan. Tetapi…?

“Pembedahaan di sini ke ward biasa?” Tanya saya mahukan kepastian. Sebenarnya pertanyaan itu tidak perlu apabila saya telah menyerahkan apa-apa mengenai diri saya atas budibicara dan profesionalismenya. Semacam tidak ada keputusan pasti pula daripada saya.

“Di wad biasa,” jelasnya. “Kalau setuju saya mark di sini dan kita buat minggu depan,” tukasnya lagi.
Saya menoleh ke arah isteri saya. Dia merenung ke muka saya dan menyetujui. “Buatlah tak payah tunggu-tunggu,” suaranya mendesak dan memohon. Saya tahu dia juga cemas kerana inilah pertama kali sepanjang berumah tangga dengan saya, mencecah 32 tahun saya akan menjalani pembedahan.

Dan hari itu Dr Razif telah menetapakan temu janji untuk pembedahan. Saya dikehendaki masuk ke ward 6H pada 23 November 2015. Saya harus ada dalam wad sekurang-sekurang satu malam untuk proses persiapan pembedahan, pemeriksaan darah, tekanan jantung, gula dan segala macamnya. Tarikh ditetapkan untuk pembedahan ialah 28 November.

Penundaan itu, cepat mungkin atas berkatan dan makhbulnya doa saya. 🇲🇾

Wangsa Melawati,
10/08/16

 

08
Aug
16

Keempat: Terima kasih tonsil

SAYA tidak pasti apakah semasa kecil saya menghidap radang tonsil? Mungkin berlaku, sebab ghalibnya tonsil adalah penyakit yang sering dialami kanak-kanak. Tetapi yang pasti, keadaanya tidak separah hari ini, menghidap tonsil setelah usia setengah abad sesuatu yang memelikkan dan mencabar.

Pada usia kanak-kanak atau remaja kita mempunyai daya pertahanan diri (antibodi) yang gagah. Jadi kalau sesekali dihinggapi tonsil atau apa-apa penyakit lain demam selesema, batuk dan sebagainya ia berlalu begitu sahaja. Tonsil menurut kajian perubatannya bukan penyakit yang kronik walaupun ada tahap yang membahayakan.

IMG_7524

Semasa di Sri Lanka, kembali dari sinilah masuk hospital.  

Di zaman kecil, zaman dunia perubatan belum canggih, ubat-ubatan untuk tonsil ada di sekeliling rumah sahaja. Mungkin orang tua hanya memberikan makan atau minum air pelbagai pucuk kayu yang bertindak menjadi herba penawar. Daun-daun samak, mengkudu, kunyit, mempelas, sireh, celagi, kandis dan sebagainya, dipercayai menjadi ubat mujarab untuk sesuatu penyakit. Boleh jadi juga waktu itu kanak-kanak hatta saya menghidap tonsil diberi segala itu kemudian surut.

Daripada istilah perubatan tonsil adalah sejenis tisu limfoid yang terletak dalam tekak berhampiran dengan anak tekak. Ia merupakan sebahagian daripada sistem pertahanan badan. Tisu limfoid ini terdiri daripada sejenis sel dipanggil limfosit. Fungisnya untuk bertindak melawan penyakit. Bolehlah dikatakan penawar (sel) semula jadi yang disediakan Tuhan untuk hamba-Nya.

Sekiranya kita menyedari kewujudannya dan dengan segala fungsi hebat yang disediakan, ia menginsafkan kita, bahawa Tuhan mencipta manusia itu dengan lengkap dan ideal. Jika kita menghayati itu maka tahap keimanan dan ketakwaan kepada-Nya pun akan makin menebal.

Tiga jenis tonsil

Penemuan dalam aspek perubatan ada tiga jenis tonsil yang berada dalam rongga mulut.
1. Adenoids – tonsil yang terletak di bahagian belakang hidung.
2. Lingual tonsils – yang terletak di belakang lidah.
3. Palatina tonsils – yang terletak di tetak.

Tonsil yang ketiga inilah yang wujud atau hadir kepada diri saya, dan menyebabkan saya berterima kasih kepadanya. Pelik dan anih juga kenapa saya berterima kasih kepada tonsil, walhal ia satu penyakit? Dan selalunya penyakit itu merbahaya dan diusaha mengelakkannya.

Kebaikan awal bagi saya apabila menghidap penyakit ini, saya mengetahui banyak ilmu mengenai tonsil ini. Saya memperolehi ilmu baharu dan seakan berada dalam sekolah perubatan pula. Ini termasuklah mengetahui secara saintifik macam mana tonsil boleh wujud dan kaedah-kaedah pencegahannya serta implikasi buruknya.

Dan satu pengalaman baharu untuk saya dalam menghadapi tribulasai kehidupan juga ditemui dengan kehadiran penyakit ini.

Antara sebab berlaku tonsil ialah kerana jangkitan virus atau bakteria di dalam tekak. Jangkitan bakteria seperti streptococcus menyebabkan tonsil bengkak dan bernanah. Begitu juga dengan jangkitan virus seperti epstein barr virus, adenvirus atau measles boleh juga menyebabkan berlaku pembengkakan. Jalan penyelesaian yang paling kemuncak ialah dengan membedah dan membuangnya.

Adapun gejala atau implikasi kerana tonsil ini, ada beberapa kesan yang tidak menyenangkan dan ini menyebabkan seseorang yang mengalaminya rasa terganggu. Kesan-kesan lazim ialah, sakit tekak, tidak boleh menelan atau perit semasa menelan air atau minum. Demam yang ada kalanya ke tahap panas yang tinggi. Kepala juga sakit-sakit yang membawa kepada hilang suara. Bengkak pada leher, mulut berbau busuk dan berdengkur waktu malam.

Aninhnya gejala itu semua tidak ada kepada saya bagi menandakan wujud “YBhg” Tonsil, melainkan berdengkur. Dengkuran saya semasa tidur memang kuat dan ia boleh menganggu teman lain. Isteri tidak pernah merasa terganggu, buktinya kalau beliau terganggu pasti bila diajak untuk tidur bersama dia akan menolak. Ada masanya dia yang mahu bermanja-manjaan dengan saya, dan sudah pasti dengkuran saya tidak menjadi masalah bahkan mungkin merupakan satu irama mengasyik dan menghiburkannya?

Kehadiran tonsil yang keramat ini saya tidak pun diserang demam. Kepala juga tidak pening-pening. Apa lagi tekak tidak merasa sakit. Tidak berlaku kebengkakan atau benjolan di mana-mana bahagian leher saya. Disebabkan tiada gejala itu maka saya tidak pernah menganggap saya sedang “bertonsil”, atau diserang tonsil. Lantas sedikit gangguan ditekak itu saya anggap biasa lantas membiarkan ia berlalu beberapa hari bahkan berminggu. Kesibukan dan keseronokan bermain dengan kata-kata, melayani rakan facebook, twitter dan berblog menjadi saya mangli dengan ketidakselesaan itu, dan pada masa itu memberi kesempatan untuk ia membesar.

Sikap “lerel” sebegini sebenarnya tidak bagus. Mungkin kerana sikap “lerel” ini akhirnya ia membawa padah dan petaka menakutkan.

Mulai menyedari Tonsil

Saya mula mengetahui saya bertonsil ialah apabila suatu hari selepas makan tengah hari di sebuah restoran, saya rasa ada sesuatu terlekat di tekak saya. Ia persis seperti terlekat tulang ikan atau daun ulaman. Bagaimana pun tidak pedih tetapi semacam tersumbat. Saya cuba menolaknya dengan menelan air liur dan juga nasi keras. Selepas dicuba beberapa kali tidak berjaya. Pada mulanya saya abaikan begitu sahaja sebab ia tidak menghalang makan dan minum saya. Disebabkan tidak ada implikasi itu maka saya tidak menganggapnya tonsil yang serius.

Keadaan itu menyebabkan saya mengabaikannya, sikap ini memberi peluang ia membesar. Sehinggalah apabila kehadirannya benar-benar menganggu baharu saya membuat pemeriksaan lisan. Saya membuka mulut ke cermin dalam kereta. Ketika itu saya nampak di ruang anak tekak ada ketulan yang bekak dan berwarna merah kemerahan. Baharu saya perasaan dan tahu kenapa tekak saya semacam terselit sesuatu.

Selepas beberapa hari juga baru saya menemui doktor. Doktor mendapati ianya tonsil. Tanpa berintraksi lebih lama doktor klinik swasta yang menjadi penal saya sejak tahun 1985 mengesahkan sebagai tonsil dan antibiotik diberikan sebanyak 10 biji. Doktor berkenaan selamba dan konfiden, katanya apabila saya menghabiskan antibiotik itu tonsil akan surut dan kecut.

Selepas habis 10 biji antibiotik ditelan tidak ada apa-apa perubahan. Tonsil itu tetap tidak mahu mengecut bahkan dirasakan semakin membesar. Sekali lagi saya mengambil antibiotik dengan bersangka mungkin dosenya tidak mencukupi. Kebetulan juga saya hendak ke luar negeri, jadi harus ada bekalan ubat-ubatan itu.

Selepas habis menelan 20 butir antibiotik, tonsil itu tidak juga surut atau menunjukkan tanda-tanda mengurang. Antibiotik yang diambil di klinik kesihatan Kerajaan juga tidak memberi kesan. Kebimbangan sudah mula mengetik hati. Hampir setiap hari saya mengangga mulut depan cermin. Ia nampak makin jelas dan membesar. Warnanya dari merah kemerahan sudah bertukar menjadi jingga (purple). Yang anihnya ia tidak sedikit pun menganggu makan dan minum saya. Kesan lain seperti demam dan apa-apa juga tidak ada. Pelik.

Dalam pada itu saya mulai bertanya kawan yang ada pengalaman mengenai penyakit berkenaan. Kebimbangan mula menerjah diri. Kepedulian kepada diri sudah diambil berat.

Seorang anak buah yang mengalami tonsil memberi tahu, ia tidak serius dan siptom biasa sahaja. Setelah memakan antibiotik tidak hilang, dia menjalani pembedahan rengkas, membuang nanah. Beberapa hari kemudian semuanya pulih. Manakala seorang lagi kawan yang pernah melakukan pembedahan tonsil memceritakan, ia tidak membimbangkan. Tonsil gejala yang mudah ditangani. Cuma apabila ia melibatkan pembedahan membuang tonsil menyebabkan tidak dapat makan beberapa minggu dan suara juga hilang. Selepas dua bulan semua kembali normal.

Menurutnya juga tonsil ada dua jenis, satu yang biasa, yang dihidapinya, satu lagi yang kritikal boleh membawa kepada kenser. Kenser?

Mendapat maklumat itu menjadikan saya tidak begitu risau dan menghadapinya seperti biasa. Hinggalah sekembali daripada Seri Lanka, pertengahan November 2015 apabila saya merasakan bengkak itu makin menganggu dan kebetulan asakan isteri agar menemui pakar ENT (telingat, hidung dan tekak) baharu saya bertindak. Tonsil itu rupanya sudah membesar menyebabkan selepas makan ia mengembang dan menyebabkan tekak tidak selesa. Ia juga mengembang apabila saya banyak bercakap kerana dipoliti air liur. Tekak juga sudah berasa sebal.

Jumpa pakar ENT

Sesudah tiga minggu mengambil antibiotik tetapi tonsil itu tidak juga mahu surut akhirnya saya menemui pakar. Bertemu pakar ini juga atas suruhan dan desakan isteri. Sebelum ini saya buat endah tidak endah sahaja. Isteri saya tahu perangai dan sifat saya. Saya bukan seorang yang anti kepada perubatan moden, tetapi saya lebih suka menghadapi dengan cara bersendirian. Kalau sakit sikit-sikit saya tidak akan ke klinik dan melayan sendirian sahaja. Dan kalau doktor beri ubat tahan sakit pun saya tidak akan makan. Saya membuat dose sendiri untuk diri saya.

Saya mengalami gaout yang tegar. Sudah lebih 20 tahun sehinggakan saya menganggap saya adalah Presiden Gaout Malaysia. Gaout menyerang saya hampir setiap bulan dan sudah ke peringkat parah sampai tidak boleh berjalan. Tahap urin asid dalam badan saya tinggi mencecah lebih 10 mmol/L. Satu masa saya mengambil suntikan ubat tahan sakit setiap bulan. Tetapi lama kelamaan jemu dan cemuh, akhirnya ada kalanya saya menahan gout begitu sahaja tanpa berjumpa doktor atau menelan ubat yang sama.

Saya juga mengambil petua dan berpegang kepada prinsip; sakit tahu mari tahulah ia balik. Mulanya sikap ini juga saya hendak lakukan terhadap tonsil, melayan sendiri.

Pengalaman lain, saya juga mempunyai batu karang yang “berdempetan” dengan buah pinggan (kidney). Doktor menasihati saya supaya menjalani pembedahan. Tiga orang pakar di hospital berlainan berpendapat sama, saya perlu bedah untuk mengelakkan timbul implikasi kepada buah pinggan. Pakar membuat dugaan berdasarkan ilmunya kalau tiga tahun dibiarkan menyebabkan buah pinggang saya akan musnah.

Namun saya enggan dan berikhtiar cara lain dengan memakan herba dan ubat-ubatan. Apa sahaja yang ditunjuki saya cuba. Alhamdulilah akhirnya kesakitan berkala pinggang saya bahana batu karang itu tidak ada lagi. Hingga kini sudah lebih 33 tahun. Pengalaman itu menjadi petua besar buat diri saya dalam menghadapi sakit mengikut kaedah dan teori saya sendiri.

Penjagaan kesihatan diri sendiri saya akui ia agak longgar. Ini berbeza dengan penjagaan kereta. Kalau kereta pantang berbunyi sikit saya akan ke pusat servis dan membetulkan apa yang berbunyi. Saya tidak boleh dengar sesuatu yang luar biasa dalam kereta. Begitu juga kalau kereta tercalar, bumper terguris saya tidak boleh melihatnya, sakit hati, terus pergi baiki. Sikap ini kadang kala menjadi sungutan isteri, katanya kalau untuk kereta sanggup keluar wang, tetapi liat untuk membeli ubat dan suplimen. Saya menyedari akan kepedulian saya yang pelik kepada vehicle saya ini.

Selain sikap itu saya juga ada perangai tidak boleh sabar.
Sebelum berjumpa dengan doktor pakar ENT di sebuah hospital swasta di Danau Kota, Setapak saya terlebih dahulu ke sebuah klinik pakar ENT di Jalan Ipoh. Disebabkan masalah parking, saya pulang dan tidak berjumpa pakar pada hari itu. Gara-gara itu untuk mendapat rawatan tertangguh beberapa hari. Selepas itu bila isteri mengasak lagi baharu berjumpa pakar ENT di sebuah hospital swasta di Danau Kota.

Ternyata bertemu dengan doktor pakar berbeza dengan berjumpa doktor biasa. Mungkin juga kerana bayaran dan fee yang dikenakan. Peralatan di klinik doktor pakar lengkap dan ia specialis mengenai sesuatu penyakit. Dengan peralatan yang ada serta ilmu yang dipelajarinya dapat dikesan dengan mudah sesuatu penyakit itu. Kalau kena bayar mahal sedikit pun berbaloi. Mengenai ini menyebabkan saya termagu dan berfikir macam manalah bagi orang yang tidak berduit. Mereka tidak akan mendapat rawatan yang terbaik untuk diri mereka. Justeru saya sering berjenaka, kalau tidak ada wang jangan sakit.

Pemeriksaan doktor pakar ENT di klinik swasta itu memberi kesan baik kepada saya. Berbaloi membayar lebih. Saya berpuas hati dengan perawatan dan pemeriksaan yang dijalankan. Dengan ilmu dan pengalaman yang ada, pemeriksaan rengkas sahaja tetapi sudah dapat membuat solusi. Mulut saya diperiksa dan menemui tonsil. Tidak perlu ubat-ubatan terus menasihati agar operate untuk membuangnya.

Kaedah pemeriksaannya, doktor merasa bahagian bawah dagu saya. Ditanya apakah ada apa-apa butir di bawah ketiak, paha dan mana-mana bahagian tubuh yang mempunyai kelonjar utama membengkak. Tidak ada.

Selepas periksa saya dikonsultasi dengan penuh sopan dan berhemah. Terlebih dahulu doktor berkenaan bertanya saya apakah ada mengambil insuran atau tidak. Pertanyaan itu sebenarnya mengilankan saya. Saya berfikir apakah apabila ada insuran baharu saya dilayan, walhal saya ke hospital itu sudah pun bersiap sedia dengan jumlah bayaran yang dikenakan.

Tiada life insuran

Saya semacam tercabar. Dalam hidup saya dan keluarga tidak pernah mengambil apa-apa insuran kecuali insuran rumah dan kereta. Life insuran sama sekali tidak pernah diambil. Saya ada falsafah tersendiri mengenai life insuran ini. Kalau mengambilnya bermakna kita bersedia untuk menghadapi masalah. Saya menyerahkan seluruhnya nyawa saya dan keluarga kepada Rabuljalil. Mungkin pegangan saya tidak betul dan satu keputusan yang salah. Apabila doktor berkenaan bertanya insuran, ia sangat-sangat mengilankan saya, kerana ia menunjukkan dia kurang berminat untuk merawat saya?

Namun penerangan dan keikhlasan doktor itu menenangkan saya. Dia mencadangkan saya mendapat rawatan di general Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana katanya sayang kepada wang. Pembedahan untuk membuang tonsil itu menurutnya memakan biaya sekitar RM13,000 hingga RM15,000. Kalau ada insuran ia boleh dituntut kepada syarikat insuran. Beliau memberi jaminan proses rawatan untuk saya dipercepatkan. Dia mengeluarkan sekeping surat sokongan (rujukan) untuk saya bawa berjumpa dengan doktor pakar ENT di HKL yang berkebetulan doktor pakar itu adalah seniornya. Dokter berkenaan menghubungi pakar berkenaan di hadapan saya juga memberi tahu ada “patient” yang perlu disegerakan rawatan.

Semasa berjumpa dengan dokor pakar ENT HKL, Dr Zurinah masih belum dapat mengesahkan apa yang berlaku kepada saya sebenarnya. Ia masih dalam pemeriksaan lanjut. Bagaimana pun firasat saya dapat mengagak apa yang bakal terjadi. Apabila Dr Zurinah mengatakan ada satu “node” di bahagian leher saya, saya sudah dapat mengagak sesuatu. Ini semua kerana pengalaman yang saya lalui. Tiba-tiba sahaja kejadian yang menimpa arwah kawan saya, Mustapa Yaakub (2001) menerawang ke dalam diri saya. Mustapa kawan semasa sama-sama belajar di Sumatera Utara, Indonesia meninggal dunia akibat penyakit sama menimpa saya dalam usia belum capai setengah abad.

Saya melalui dan mencerapi apa yang dialami Mustapa. Mulanya keadaan tubuhnya susut dan berat badan turun mendadak. Dia juga mengalami batuk-batuk tanpa henti-henti beberapa minggu dengan diselangi lengguh di bahagian belakang, sukar untuk tidur. Mulanya beliau kira itu sakit biasa, menyebabkan lambat untuk menemui doktor pakar cuma berulang alik ke klinik biasa. Selepas diasak, bahkan saya sendiri bersama Azima Ahmad (teman pejabatnya) membawanya ke hospital baharu segala-galanya diketahui. Mustapa disahkan menghidap kenser Lymphoma pada tahap empat. Selepas dua bulan tersandar di hosptal beliau akhirnya pergi menemui Rabb-nya.

Terfikir, apakah simptom dan tanda-tanda yang dihadapi Mustapa itu, ada persamaan dengan apa yang saya alami? Susut berat badan dan ada node? Gemulah Mustapa juga ada node di bahagian bawah tengkuknya. Doktor mengambil contoh node berkenaan dan buat bioksi. Dari siatulah diketahui beliau menghidapi Lymphoma.

Mula saat itu bayangan dan kenyataan itu bermain dalam kepala. Ia seakan memberi satu tekanan perasaan yang hebat. Apa yang berlaku dalam bilik doktor itu menyebabkan saya terhimbau jauh dari situ. Mula berfikir sesuatu mengenai diri yang harus saya hadapi selepas ini dengan penuh ketabahan dan berani. Namun jauh dalam hati masih ada doa-doa agar ia jangan berlaku apa yang dibayangkan.

Rawatan dan kosultasi oleh doktor pakar di HKL juga ringkas. Beliau mengarahkan saya memberi darah untuk pemeriksaan dan buat oppoitment untuk menjalani CT Scan. Darah terus diambil pada hari itu juga tetapi CT Scan perlu menunggu sebulan (10 Disember 2015). Terlalu lama. Semasa konsultasi oleh Dr Zurinah bersama dua anak buahnya yang sedang menyiapkan Master untuk menjadi pakar, gambaran yang tidak menyenangkan sudah ternampak daripada body language mereka.

Salah seorang doktor muda itu begitu serius memeriksa tonsil saya, ia seakan-akan satu benda baharu. Apabila beliau menyebut “ia berwarna purple tidak merah seperti selalu”, saya mula merasakan bahawa tonsil saya pelik dan lain dari biasa.

Doktor berkenaan turut merasa di bahagian dagu saya mencari sesuatu node, kemudian bertanya apakah saya demam, berpeluh waktu malam, ataupun ada bengkak di celah paha, ketiak dan mana-mana bahagian. Sudah saya rasa dan raba semua itu tidak ada, tetapi simptom berpeluh waktu malam itu memang ada. Dengan menghisab semua itu dan membaca body language para doktor yang membuat pemeriksaan, saya dapat mengangak sesuatu yang buruk akan berlaku.

Wangsa Melawati,
16/3/16

08
Aug
16

Ketiga: Mati tiada tarikh

SEJAK kita mula mengenali hidup dan mengetahui perjalanan sebuah kehidupan akan berakhir dengan sebuah kematian, kita dihadapkan dengan pelbagai cerita dan kisah mengenai kematian. Semua cerita-cerita kematian dianggap tragedi itu menakutkan. Sebenarnya kematian bukan sebuah tragedi tetapi ia adalah perjalanan biasa pola yang diharungi manusia.

Kulinafsin za-ikatimaut, ( كُلُّ نَفۡسٍ۬ ذَآٮِٕقَةُ ٱلۡمَوۡتِ‌ۗ ) – Tiap-tiap yang bernyawa itu pasti (wajib) akan mati. Lanjutan dari surat An Anbya ayat 35 itu berbunyi; Dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.

Dalam surah Jumaat ayat 8 pula Allah berfirman bermaksud: “Sesungguhnya kematian yang kau lari daripadanya, sesungguhnya ia tetap akan menemuimu.” Maksudnya bahawa kematian itu sesuatu yang sahih.

Kehadirannya pula tidak dapat dibendung. Ini ditegaskan Allah dalam firmanNya dalam surah Yunus 49 bermaksud: “Apabila telah ajal maka tidak dapat ditangguhkan walaupun sesaat, demikian juga didahulukan.”

Ia sesuatu yang pasti dan wajib berlaku. Namun disebabkan kita dihadapkan dengan cerita dan berita yang berbagai-bagai itu, kita menjadi takut kepada kematian. Kematian menjadi sesuatu yang suspen dan misteri. Suatu yang menggerumkan. Kadangkala kita menjadi cemas tanpa hujung pangkal. Laksana kita takut kepada dogengan hantu. Cerita macam mana kononya wujud atau berlaku seksa kuburlah yang mengesankan. Menjadikan diri kita menggeletar lemah dan insaf dengan tiba-tiba tatkala mendengar kronologi mengenainya.

Gara-gara terkesan dengan cerita dan berita itu lalu kita pun menjadi takut untuk mati. Menjadi cemas membayangkan macam mana saat menghadapi sarakara tul maut – kehadiran Malaikatmaut untuk mencabut nyawa kita. Lantas kita membandingkan, (membayangkan) proses itu seperti mana, mencabut lembing atau keris yang tertusuk di dada. Betapa waktu hendak dicabut, apabila ia dijoblus ke dalam hulu hati, aduh… sakitnya.

Apakah cerita-cerita itu benar seperti mana dibayangkan kepada kita itu. Ia tidak ada dijelaskan dalam al Quran, tetapi ditafsirkan daripada firman atau kenyataan yang berbunyi seperti di atas tadi; dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.

Dari sepotong ayat itu diserkah dan dicerakinkan dengan cerita-cerita tamsil ibarat merngenai kematian dan seksa kubur tadi. Adakalanya ia dikosmetikkan sesedap rasa tanpa mengetahui bahan kosmetik itu.

Adapun cerita seksa kubur itu ditarik atau dihuraikan oleh para penulis kitab (fikah) dengan tujuan dan matlamat tertentu. Antaranya ialah agar kita senantiasa insaf dengan diri kita sendiri. Sedar dengan kehidupan ini. Diharap kesan daripada itu maka kita pun perlu bersiap sedia untuk menghadapi kematian. Jadi kalau kita mengambil peduli menyiapkan keperluannya kenapa kita harus takut? Itulah rahsia disebalik kisah tamsil ibarat itu.

Bagi saya kematian hanya sebuah PERPINDAHAN atau TRANSIT pertama dalam menanti dibawa ke tempat kesudahan yang abadi apabila sebermulanya kita melalui sebuah perjalanan atau kehidupan. Kematian adalah sebuah perjalanan meninggalkan pengkalan persinggahan ini. Ia bukan berakhir segala-galanya kerana dari pengkalan ini harus singgah (transif) di satu lagi pengkalan. Dunia ini hanya pengkalan, tempat persinggahan dari sebuah perjalanan kita yang jauh setelah ia bermula dari alam ghaib, Alam Ruh.

Sebenarnya kita bukan tup..tup terus berada di sini, dilontar dari Syurga dan mendiami dunia ini, tidak. Tetapi kita dihadirkan setelah melalui sebuah perjalanan panjang. Kita terbit dari kegelapan menuju kecerahan kemudian akan kembali ke dalam “kegelapan” semula? Kita bukan buah Apel yang jatuh dari atas kerana tarikan grativiti tanpa ada rentetannya, tidak. Buah Apel itu sendiri jatuh dari atas, dari ranting, yang mana ranting itu ada julai dan dahan serta batang pokok yang teguh dan besar. Nah, begitu juga dengan proses kelahiran kita bersebab dan bermusabab.

Perjalanan hidup kita, bermula dari alam yang tidak kita ketahui dan tidak rasa, yak itu alam Ruh. Dalam surah Sejadah ayat 9 menyebut: “Kemudian dibentuknya (janin) ditiupkan ke dalamnya sebahagian daripada Ruh-Nya”. Di sini bermulanya sejarah keberadaan, kewujudan kita. Dari alam Ruh ini kita akan dibawa ke alam Rahim (Ibu).

Dari alam Ibu akan membawa kita menjelajahi ke alam-alam seterusnya. Alam nyata (dunia) kemudian ke alam Kubur (barzkh). Dari alam ini kita akan berlepas kepada beberapa alam lagi yang bersifat akhirat kemudian menjelmakan semula kita ke dalam nyata, hidup kembali yang kekal abadi.

Kita mulai menyedari proses atau pengembaraan kita begitu bermula dari alam Ibu kerana dilahirkan dari perut Ibu setelah kita melihat kelahiran demi kelahiran adik-adik kita atau anak-anak kita dan cucu-cucu kita. Kejadian itu mengesahkan apa yang kita sendiri lalui sebelum ini. Tetapi jauh lebih mendalam lagi, proses kelahiran itu sendiri sebelum kita didaratkan di alam Ibu ia sangat sofisikated dan unit. Kita boleh bicarakan perkara ini dalam mauduk khas, proses kelahiran manusia di kesempatan lain.

Berbalik kepada cerita asal tadi, kematian dan seksa Kubur. Meskipun kita tidak dapat mengesahkan akan segala seksa Kubur itu akan kita lalui, tetapi ceritanya penuh dengan iktibar. Cerita penyeksaan itu untuk memberikan kesedaran dan keinsafan kepada kita. Gunanya untuk kita menyiapkan bekalan secukupnya. Ibarat kepada pengakalan dan transit tadi, kita sedang menunggu kehadiran kapal (Kematian), yang akan membawa kita. Kerana ia sebuah perjalanan pastilah akan menempuh segala pancaroba dan ujian.

Nah, cerita-cerita seksa Kubur tadi untuk memberi isyarat kepada kita agar bersiap sedia dengan segala macam bekalan. Dan bekalan paling ampuh di sini ialah mengetahui sebenar-benarnya apa itu kematian. Macam mana prosesnya. Dan apakah kematian itu sesuatu yang perlu ditakuti dan menyakitkan. Untuk melengkapkan kita dengan segala bekalan, pengetahuan dan maklumat mengenai kematian itulah, maka cerita cerita seksa Kubur itu dihemburkan kepada kita.

Apabila kita sudah siap sedia semuanya, segala bekalan, maklumat dan pengetahuan sudah ada, ibarat orang yang ingin mengemudikan kapal pelayaran, mereka sudah mengetahui segala seluk belok, sudah ada petunjuk, peta dan tahu membaca arah angin dan sebagainya, dan kini dikenali dengan GPS, maka perjalanan itu akan berlalu dengan tenang dan selamat. Ia akan sampai ke tempat yang ditujuinya dengan jaya. Jikalau pun ada halangan dalam perjalanan, kapal dipukul ribut, berlaku gelombang tinggi dan besar, layar terkoyak kita tidak cemas kerana segala perlengkapan sudah ada, segala ilmu mengatasinya sudah dimiliki. Makanan juga sudah tersedia, ilmu sudah ada, pengetahuan sudah ada macam mana hendak berhadapan dengan keadaan yang kritikal dan mencabar itu.

Jadi begitu jugalah dalam persiapan untuk menghadapi sebuah perjalanan yang dinamakan kematian ini. Kerana itu apabila kita memahami hakikatnya untuk apa kita perlu takut, cemas dan bimbang dengannya. Lagi pun kandatipun kita menghimpun segunung ketakutan dan kebimbangan, kematian atau perjalanan itu akan diteruskan juga bila sampai saatnya. Ia tidak dapat dianjakkan walaupun sesaat, baik dipercepatkan atau dilewatkan Seperti mana ditegaskan dalam surah Yunus: 49 tadi. Apa yang perlu kita hadapi ialah sedia untuk perjalanan demikian yang tidak ada tarikh, melainkan kita seorang yang makrifat dengan diri kita sendiri. Tarikh kematian adalah rahsia yang bukan rahsia.

Kita perlu bersikap opensif terhadap kematian bukan bersikap defensif. Kalau kita mengambil sikap terbuka kita akan bersedia, rela serta lega dalam menantinya. Dengan mengambil sikap demikian kita tenang dan tidak kalut memikirkan hal yang bukan-bukan. Manakala kalau kita bersifat defensif kita akan cemas dan takut dan sikap inilah menyebabkan kita akan menjadi lemah dan hilang harapan untuk hidup. Bersikap demikian juga menjadikan kita umpma meletakkan beban berat atas “neraca” kematian.

Wangsa Melawati,
24 Julai 2016. [wm.kl.7:50 am 29/07/16]

07
Aug
16

Kedua: Tahu sakit

 

JIKA kita seorang “pencerap” yang baik kepada keadaan diri kita, baik dari dalam atau dari luar, kita akan tahu setiap perubahan yang berlaku ke atas diri kita. Kita akan maklum apa-apa perubahan yang kita alami.

Mustahil kita tidak tahu tentang apa-apa berlaku ke atas diri kita. Sebab semua perkembangan; rasa, perasaan, naluri dan sebagainya kita dapat mengalaminya. Setiap anggota yang menjadi komponen kita ada fungsi dan peranan tersendiri yang sangat unik. Kita seharusnya menyedari evolusi diri.

Kulit kita pedih bila tersentuh sesuatu yang keras, mata berpinar kerana termasuk habuk atau cahaya, kaki berdenyut kerana tersadung duri atau sembilu dan sebagainya, kita dapat merasai dan mengesaninya apakah sebab musababnya. Kecualilah kita sudah hilang segala deria rasa, semua sel-sel saraf kita rosak, pancaindera kita sudah tidak berfungsi lagi, maka ia mungkin tidak dapat dikesani. Tetapi selagi saraf kita hidup, pancaidera kita berfungsi ia dapat dirasakan dan menjadi petunjuk kepada kita untuk bertindak.

Cuma mungkin natijah (tindak balas) daripada apa yang kita ketahui itu kita tidak memahaminya disebabkan kejahilan kita. Sebenarnya perubahan itu adalah petunjuk atau isyarat. Petunjuk atau isyarat itu penting untuk kita menyediakan persiapan awal membendung dan mengatasinya, seperti kata pepatah; siapkan payung sebelum hujan atau membina kapal sebelum bah tiba. Apabila kita responsif kepada perubahan dan tanda-tanda itu, maka kita dapat menghindarinya. Kalaupun tidak terlepas langsung namun dapat melambatkan kesannya ke atas kita.

Tuhan menjadikan semua benda dan alam ini penuh dengan tanda-tanda. Terpulang ke atas diri kita mahu mempelajari atau pun sedia mengambil iktibar atau pun tidak. Hakikatnya Tuhan menyediakan apa yang kita perlukan, tunggu kita memilihnya sahaja. Sebab itu Tuhan berfirman, nasib seseorang itu tidak akan berubah kecuali dia sendiri mengubahkannya. Tidak salah ibu mengandung?

Sesuatu kejadian itu, contohnya kelahiran dan kematian ada tanda-tandanya. Hanya mereka yang prihatin dan peka sahaja mengetahuinya. Bagi seorang “perecaman” yang baik dapat menghindari apa-apa keburukan daripada menimpa dirinya. Mereka akan tahu sesuatu perkara itu. Sesuatu itu boleh diketahui dengan apa dinamakan “ilmu”. Dan ilmu itu pula terlahir menerusi pengalaman dirasai sendiri atau dengan menuntutnya. Menuntut, maksud mendengar, melihat dan merasa yang diajarpandukan pula oleh Guru Mursyid.

Bila menyentuh bab ilmu ini, cara atau kaedah ilmu menyerap ke dalam diri kita ada berbagai-bagai cara. Cara paling popular ialah menerusi Ilmu Kalam. Ilmu ini diperolehi secara zahir, diajar secara berhadapan dengan berkata-kata. Alam persekolahan adalah contoh medan penimbaan ilmu ini.

Kedua menerusi Laduni, yakni secara ghaib. Ilmu ini bukan semua diperolehi manusia, hanya mereka terpilih atau pun beramal sahaja. Ilmu yang diperolehi secara Laduni ini akan masuk atau sampai kepada kita dengan pelbagai cara, salah satu ialah menerusi mimpi. Biarlah bab ini kita bincangkan dalam kesempatan lain yang lebih khusus.

Contoh mudah mengenai tanda sesuatu kelahiran itu; apabila seorang wanita itu mengalami perubahan dalam dirinya; selera maka, sifat dan tabiat bertukar. Paling dominan perubahan ini ialah pada fizikal, itu tandanya ia bakal melahirkan. Tatkala tersemai benih (superma dalam ovari), maka wanita akan mengalami perubahan sifat dan selera makan. Biasanya loya, mual dan muntah.

Apabila benihnya berkembang menjadi jani, maka perubahan fizikal bermula, perutnya membusung. Selepas 9 bulan 10 hari ia akan melahir seorang insan. Nah, tanda-tanda itu semua, adalah tanda dan isyarat kelahiran bagi seorang manusia di atas muka bumi ini. Perpindahan dari alam ghaib ke alam nyata, daripada alam Ibu kepada alam maya.

Demikian juga dengan kematian. Ia ada tanda-tanda dan isyaratnya tersendiri. Manakala bagi sesetengah orang yang “bertarruh” dengan Allah, bukan sahaja setakat alamat dan tanda-tanda kesakitan bakal menimpanya, bahkan saat pintu ajal hendak terbuka diketahuinya. Bagi orang mengenali dirinya dia tahu kapan hadirnya Malaikat Maut bagi menyampaikan salam Tuhan meminta kita pulang ke sisi-Nya. Tahu dengan bulan, minggu, hari dan jamnya sekali. Justeru dia tidak berasa gentar dan bergemetar apabila bercerita perihal kematian.Bagi mereka sebegini kematian sesuatu yang dinanti-nantikan.

Demikian luas tidak bertepinya lautan ilmu itu mencakupi semua aspek dan sudut kehidupan, nyata dan ghaib.

Semua itu diketahui kalau kita seorang pemerhati dan pencerap yang baik. Sanpai ke peringkat makrifat. Namun kalau kita jauh dari pengetahuan itu kita tidak akan mengetahuinya. Keadaan inilah menjadikan kita tersempit bila berhadapan dengan situasi ini dan berasakan takut dengan cerita kematian.

Apa yang berlaku ke atas diri saya berhadapan dengan “anugerah sakit”, sudah ada tanda-tanda dan isyarat itu. Dua bentuk isyarat, pertama secara fizikal dan kedua secara kerohanian. Lantaran ada atau diketahui tanda-tanda itu menyebabkan saat saya diberi tahu tentang penyakit itu oleh doktor ia tidak mengejutkan. Saya pasrah mendengarnya dengan tenang.

Isyarat fizikal

Foto 1

Ketika minum bersama isteri saya disapa seorang teman kenapa kurus?

Sejak satu setengah tahun lepas (2013 – 2015) saya menyedari ada perubahan fizikal kepada saya. Berat badan saya turun 2 hingga 4 kilogram. Ini terkesan apabila tali pinggang longgar, seluar longgar dan tali jam juga terpaksa diketatkan. Dalam masa sama, rakan-rakan menyedari akan perubahan badan saya. Mereka yang lama tidak berjumpa terkesan perubahan fizikal saya dan akan menyapa saya; “nampak slim sedikit daripada dahulu.”Seorang kawan yang melihat gambar saya bersama isteri yang saya poskan dalam facebook, merungut kepada isteri saya kiatanya, “MSO nampak susut sikit.”

Bagaimana pun isteri dan mereka yang hampir dengan kita, anak-anak tidak menyedarinya. Mereka kalis dengan keadaan dan perubahan diri saya. Dan saya sendiri pula mengira, perubahan itu disebabkan kerana aktiviti jongging dan senaman yang saya lakukan hampir setiap tiga kali sepanjang tahun. Atau pun kerana bahana kencing manis, gaout dan darah tinggi yang saya hidapi. Makanya perubahan itu tidak dipedulikan oleh saya. Ia diyakinkan lagi dengan rawatan kesihatan yang saya perolehi dari Pusat Kesihatan dan klinik swasta yang tidak memberi apa-apa khabar atau pesan buruk buat saya.

Dalam tempoh itu saya menjalani atau mendapat pemeriksaan doktor setiap enam bulan sekali. Pemeriksaan darah juga dilakukan.Sepanjang pemeriksaan itu tidak menemui sesuatu yang membimbangkan. Di sini satu pengalaman yang boleh dikongsikan, sesuatu yang “halus” dan kronik dalam diri kita tidak dapat dikesani dengan rawatan biasa, melainkan dengan menggunakan peralatan moden yang canggih dan ditangani oleh doktor pakar.

Sebenarnya selain daripada tanda-tanda itu, ada isyarat “saintifik” lain lagi. Ini baharu disedari selepas saya disahkan menghidapi penyakit itu. Waktu malam bila tidur ada kalanya tubuh berpeluh walaupun dalam bilik berhawa dingin. Demikian juga dengan selera makan, tiba-tiba sahaja hilang. Selalu makan menambah tetapi tidak lagi sejak dihinggapi penyakit itu. Tetapi kerana kejahilan dan cetek ilmu perubatan, ia dibiarkan sahaja tanpa menangani sebaik mungkin.

Isyarat kerohanian

Isyarat atau alamat ini sukar untuk diceritakan kerana ia bersifat kerohanian atau spiritual. Tetapi seperti saya nyatakan tadi, apabila dicam dan diambil iktibar, maka ia dapat diketahui. Ada beberapa isyarat dari bentuk ini hadir kepada saya. Sewaktu saya menunaikan Haji akhir Disember tahun 2014, berlaku sesuatu yang agak ganjil kepada saya. Saya kehilangan suara di Makkah selama dua hari. Belum ini tidak pernah terjadi demikian. Bahkan walaupun sudah berkali-kali saya ke Makkah tetapi belum pernah mengalami keadaan seperti itu.

Saya tidak batuk atau pun selesema. Tidak pernah demam. Dengan tiba-tiba sahaja suara hilang dan terpaksa bercakap menggunakan isyarat tangan dan menerusi SMS dan Whatsaap sahaja dengan jemaah sebilik. Barang kali tidak perlu saya mencatat kesemua isyarat-isyarat secara ghaib itu kerana jika sikap penerimaan ia boleh menimbulkan fitnah.

Perkara yang paling pelik dan anih ialah mengenai gout. Dalam perhatian saya dalam tempoh satu setegah tahun itu saya “kalih” diserang gaout. Ia menghairankan, tetapi keghairanan itu saya letakkan kepada rahmat dan hikmah doa saya. Sepanjang masa saya mendokan agar penyakit berat yang tertangung diringankan. Sebelum itu boleh dikatakan sebulan sekali saya diserang gaout. Rekod pemeriksaan saya di klinik boleh disemak betapa kerapnya saya menghadapi penyakit ini yang saya tanggung sejak lebih 18 tahun.

Anih kerana dalam tempoh satu tahun setengah itu, penyakit itu hilang. Saya seakan bebas dari gaout dan ia sangat menggembirakan saya. Apabila sakit yang ditanggung berdekad hilang, tentulah kita rasa gembira dan merdeka. Tetapi apa yang berlaku di sebaliknya, penyakit kronik itu diganti dengan penyakit yang lebih kronik? Jika kita tidak dapat mentafsir atas apa yang berlaku akan menganggap ianya sesuatu yang tidak adil buat kita. Namun kalau kita insaf dan mengetahui sirr Nya kita akan menerima ia sebagai satu anugerah bukan hukuman.

Apabila dapat menerima hakikat begitu, maka sakit itu akan menjadi sebuah nikmat.

Wangsa Melawati – HUKM,
19/7/16.

07
Aug
16

Pertama: Sakit satu nikmat

DI MANA hendak saya mulakan penulisan buku, BIOGRAFI SEBUAH KESAKITAN ini? Kadang kala kebuntuan dalam mencari pemulaan ini menjadikan kerja sesuatu penulisan tidak bermula. Berhari-hari fail atau floder yang sudah dibuka ditinggalkan sepi. Ada kalanya fail dan floder berkenaan menjadi masam dan kasum begitu saja. Jadi biarlah saya memulakan penulisan ini dari mana-mana sahaja, janji penulisannya sudah bermula. Yang penting ia dimulakan.

 

Foto 2

Dimana hendak mulakan penulisan ini?

Untuk buku ini saya telah membuat rangka dan format isi kandungannya. Tetapi itu sebenarnya sebagai tanda letak kerja sahaja. Ia tidak semestinya menjadi dan lengsai. Seperti kerajaan hendak membina projek besarlah, buat majlis letak batu asas. Bukan main lagi majlis itu meriah, dikerah segala orang hadir. Disediakan jamuan makan dan minum kemudian acara itu disiarkan pula dalam telivisyen dan akhbar. Dipropagandakan secukupnya. Alih-alih projek itu tidak menjadi, malahan ia tidak pun dimulakan. Ia bermula setakat perletakan batu asas sahaja kemudian ditinggalkan begitu saja sehinggakan lokasi atau tapak projek itu menjadi semak samun.

Nah, begitu juga dengan rangka atau format isu kandungan sesebuah buku yang saya rancangkan. Ia banyak tertinggal begitu sahaja. Sebaliknya yang jadi, menulis secara ikut suka hati. Rubbish. Janji siap.

Keadaan ini berlaku kerana penghasilan buku, tidak ada penyelia (adviser) dan buku-buku saya tidak ada editor khas menyemak dan menyuntingnya. Jadi saya bebas menulis tanpa terikat dengan peraturan atau pun format tertentu. Mungkin kerana itu juga buku-buku saya (buku politik) dan sewaktu dengannya tidak dianggap buku yang ada standard tertentu untuk dinilai menerima apa-apa anugerah? Bagi kami yang penting buku “jalan” dapat dijual, pulang modal dan paling mustahak mesej yang dikandungnya dapat dihadam oleh pembaca.

Sudah 49 buah buku saya hasilkan semua mengikut kaedah ataupun “geragang” yang saya cipta sendiri. Sama ada ia jadi atau memenuhi kelasifikasi sebagai sebuah buku atau tidak, itulah yang dapat dipersembahkan. Itulah bentuk dan rupa buku-buku saya. ia terserah kepada penerimaan pembaca, kerana apa-apa perkara bersifat subjektif.

Mengenai buku ini, biarlah saya memulakan di mana-mana sahaja. Yang penting jadi dan sudah.

Saya hendak mulakan dengan menceritakan prihal sakit sebagai satu anugerah yang penuh dengan nikmat. Agak bambastik bunyinya. Sakit satu anugerah dan nikmat? Mungkin perkataan “anugerah” itu boleh diterima pakai. Anugerah boleh dianggap sebagai pemberian (tertakdir), tetapi tentang nikmat itu mungkin sukar untuk difahami. Mana ada nikmat dalam sakit?

Apabila sebut sakit sahaja maka terbayanglah bahana dari keadaan itu. Sakit, adalah kesusahan dan kesedihan dan tidak ada nikmat disebaliknya. Sakit suatu bencana dan musibah yang dirasai jasmani dan rohani. Justeru orang begitu takut dan menjaga diri agar tidak sakit. Sanggup habis beribu-ribu ringgit membeli ubat dan suplimen untuk mengelakkan daripada sakit. Sanggup menjual harta benda atau berhutang demi menyembuhkan sakit. Sanggup berjumpa pakar perunding atau dukun untuk menjaga kesihatan bagi mengelakkan diri daripada sakit. Perbuatan dan ikhtiar itu semua ialah kerana takutnya kepada sakit.

Usah cakap banyaklah, tidak perlu menanti sakit yang kronik, cukup sakit gigi sahaja menjadikan orang tidak senang duduk. Hilang segala tumpuan. Semua dipandang dan didengari tidak kena dan selesa. Pantang salah orang cakap dan melihat kelakuan sumbang membuat kita marah dan geram. Apa lagi kalau sakit lebih besar daripada itu seperti sakit jantung, sakit TB dan kanser, lagilah menakutkan.

Itulah realitinya. Jadi macam mana pula boleh dikatakan sakit sebagai satu nikmat?

Sakit sesuatu yang subjektif. Nilai sakit atau definasi sakit itu berbeza antara orang yang tahu alias kenal diri dengan orang yang jahil dan tidak kenal diri. Memang dasarnya sakit itu satu hal tidak menyenangkan. Satu hal menjadikan kita tidak normal lagi. Tetapi bagi mereka yang kenal diri, tahu asal usul diri, dari mana ke mana dan siapa pencipatanya, maka sakit dapat dianggapnya sebagai satu nikmat.

Mereka yang dapat melestarikan sakit itu akan menemui nikmat dan zat disebalik sakit itu. Sebaliknya mereka yang menerima sakit itu satu keadaan menyeksakan dan tidak selesa, tetap akan menganggap ia sesuatu yang menyusah dan mengacau bilaukan keadaan. Orang sebegilah menganggap sakit itu sesuatu hukuman dan denda daripada Pencipta. Mereka yang tidak mengenal diri, akan merasai keadaan itu. Sakit sesuatu yang menyulit dan menyusahkan.

Walhal kalau kita kenal diri, tahu hujung jatuh mengenai diri kita, bahawa diri kita adalah makhluk baharu (mahadith), akan menerima sakit sebagai satu nikmat dan bukan satu kesangsaraan yang sengaja diletakkan ke atas pundak kita. Atas keyakinan Pencipata, Tuhan tidak sengaja menjatuhkan sesuatu ke atas diri hambaNya dengan tujuan menyusahkannya. Untuk apa Dia mencipta hamba kemudian menyeksanya? Hakikat itulah sepatutnya diterima.

Ertinya sakit yang dialami itu adalah sesuatu yang unit dan istimewa. Kalau kita dapat menerima hakikat itu dan berpegang demikian di sinilah yang dikatakan sakit itu satu nikmat dan membawa hikmat. Pun begitu bukan semua orang dapat menerima hakikat itu. Hanya mereka yang kenal diri dan pencipatnya sahaja dapat menghayatinya.

Bagaimana untuk kita menerima sakit itu satu nikmat? Saya kembali kepada apa yang saya alami sekarang ini. Mudah-mudahan apa yang saya lalu, pengalaman yang tertimba dapat dijadikan iktibar. Sebelum ini belum pernah saya mengalami sakit yang tahap atau darjah seperti kini. Selama berbelas-belas tahun saya menghidap gaout, kencing manis dan darah tinggi. Namun nilainya atau darjah kebimbangan dan rasa cemas kerana sakit itu tidak seperti kali ini. Alah bisa tegal biasa. Semua “sakit-sakit” itu saya lalui persis seperti memakan kacang butir sahaja. Kenapa begitu? Kerana sakit itu tidak dikira mudah untuk membawa saya ke liang lahad. Sakit itu tidak dilihat serius dan kronik. Begitulah yang terpancar dan terfikir pada zahirnya.

Berbeza dengan kanser. Apabila saya disahkan menghidap kanser, penerimaan anugerah ini berbeza dengan penerimaan anugerah gout, kencing manis atau darah tinggi. Mungkin kerana tiga penyakit berangakai itu sudah lama ditanggungi oleh saya, lebih 15 hingga 25 tahun menyebabkan kesakitan dan penyeksaanya tidak terasa lagi. Ia menjadi sebahagian daripada teman dan rakan akrab kepada kehidupan saya.

Lagipun sakit atau penyakit itu tidak semerbahaya kanser. Kalau ia merupakan kawan, ia tidak seganas kanser. Ia bukan Mafia. Jarang diketahui penyakit itu membawa mati, walaupun ada yang menghadap Tuhan gara-garanya. Sebaliknya kanser sebut sahaja menyebabkan orang akan berkerut kening. Muka akan berubah serta merta. Phobia kanser sebagai “silent killer” sungguh menakutkan.

Mungkin kerana itu maka saya membuat penilaian berbeza mengenai penyakit ini, punya persepsi berlainan. Saya menjadi lebih fokus kepada kesakitan ini dan membawa jauh ke dalam diri. Menghayati secara mendalam dan membaca akibat dan natijahnya. Saya hadapi seperti seperti sedang berhadapan dengan pita penamat dalam sebuah pecutan, saya memerlukan tenaga sepenuhnya mahu menyudahi larian itu. Melupai segala-galanya yang lain dan memberi tumpuan sepenuh kepadanya. Penumpuan penuh itu menyebabkan saya terasak dengan pelbagai bayangan kemungkinan.

Alhamdulilah saya tidak lama berada dalam bayangan angan-angan mencari hakikat. Bertolak dari itu saya menjadi mudik semula ke hulu, kembali ke pengkalan yang telah ditinggalkan lebih setengah abad. Perjalanan saya terlalu jauh melalui pelbagai liku, lembah dan bukit Bukau. Kealpaan menjadi saya keliruan antara haq dan batil. Apabila sakit menyebabkan setiap malam saya menjenguk ke dalam diri, bermahasabah mencari erti dan membuat definasi demi definasi. Malam menjadi panjang dan ia berupa menjadi sebuah gua misteri kepada saya untuk mencari dan mengenali diri dengan lebih cerat lagi.

Bila berjalan terlalu jauh, maka bukan sahaja banyak pengalaman baharu, tetapi banyak sejarah lampau dilupakan. Segala kebaikan yang digenggam selama ini terlepas. Papan tanda perjalanan juga sudah terlupa disebabkan lama berjalan. Justeru kesakitan itu mengembalikan saya kepada asal, berpatah balik ke jalan yang ditinggalkan. sakit memberi kesempatan baik untuk menolek semula ke belakang melihat jalan yang ditinggalkan. Daripadanya kita datang dan kepadaNya kita kembali. Inalilahiwanailahirajiun.( ا إِلَيْ)هِ رَاجِعونَ).

Setelah memahami erti dan hakikat ini saya kata sakit itu sebagai sebuah nikmat. Sebuah anugerah yang sangat mahal untuk difahami. Pun begitu saya tegaskan nikmati ini hanya berlaku kepada mereka yang mengenali dirinya sendiri. Bagi mereka yang tidak mengenali diri, tidak akan menemui apa lagi merasai nikmati ini. Bahkan mereka akan merintih, menyesal dan terkilan dengan sakit yang ditanggungnya. Akan menganggap sakit itu sebagai satu kecelakaan. Merasakan dirinya dianiaya dan Tuhan tidak berlaku adil kepadanya. Subhanalllah. (سبحان الله ).

Percaya dan yakinlah sebenarnya bukan begitu.

Perasaan dan andaian itu wujud kerana kelemahan dan kejahilan diri kita yang tidak mengenal siapa kita dan mengenali Tuhan kita. Orang yang sedemikian seperti tidak pernah tersua dengan cermin hikmat untuk mematulkan rahsia dirinya yang sebenar.

10:04 am 19/7/16
Wangsa Melawati, Kuala Lumpur.
[wm.kl.9:57 am 15/07/16]




Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.