Husam dan buku Tiga Abdul
RASA takut dan kecut perut Wan Abdul Rahim Wan Abdullah (cikgu Rahim) kepada Husam Musa tidak dapat diselindungkan. Cikgu Rahim jealous dan dia juga seorang yang cerdik. Cikgu Rahim seorang politician yang licit, membelut. Dia tidak ‘makan’ orang di hadapan tetapi akan menelannya di belakang, memakan orang secara api dalam sekan.
Panjang cerita kalau nak dikisahkan mengenai cikgu Rahim ini yang saya kenal sejak tahun 1980-an lagi. Bagaimana pun satu hal yang saya puji mengenai cikgu Rahim ialah cara dia berpolitik kelas dan tidak suka konfrontasi dengan sesiapa. Betapa cikgu Rahim bergelegak nak marah dia boleh senyum. Saya ada pengalaman dalam hal. Cikgu Rahim bukan senang dengan saya apabila saya menulis buku Tiga Abdul, yang turut mencalarkan kanvas politiknya. Namun dia masih boleh tersenyum dan minum sekali.
Itu yang saya kata dulu cikgu Rahim adalah antara orang yang ada pakai ilmu dan azimat politik Mohd Asri Muda. Boleh tersenyum pada musuh meskipun di dalam hati panas mendidih. Inilah politik stail orang dulu, profesional! Jauh berbanding dengan orang politik hari ini, pantang tegur sikit rajuk dan marahnya sukar diubat. Dahlah itu liat untuk menerima nasihat orang.
Kembali meriwayatkan perihal Husam dulu si baju petak-petak merah ini bergerak aktif dalam Pas kawasan Kota Bharu. Dia adalah ketua pemuda Kota Bharu. Dari sinilah dia naik perlahan-lahan dan akhirnya menguasai Dewan Pemuda Pas Kelantan, menjadi ketua pemuda. Kedudukannya selepas itu berganjak menjadi Naib Yang Dipertua Kota Bharu.
Kemaraan Husam setangga demi setangga ini membimbangkan cikgu Rahim yang dilihat bakal menjadi pesaingannya di Kota Bharu. Cikgu Rahim dapat melihat kehebatan Husam ini sewaktu Husam menjadi setiausaha politik Tok Guru Nik Abdul Aziz. Serentak dengan kenaikan dalam jemaah, jawatan politiknya dan hubungan dengan Nik Aziz juga semakin rapat. Keadaan ini menyebabkan cikgu Rahim tidak lagi menjadi penasihat kepada Nik Aziz.
Cikgu Rahim memerhati perkembangan ini penuh waspada. Kerana sudah membaca apa yang akan berlaku akhirnya, sebelum ular lidi menjadi naga, beliau merasakan perlu berbuat sesuatu bagi mengekang kemaraan Husam di Kota Bharu. Sesuatu harus dibuat segera untuk membendung keadaan sebelum menjadi buruk. Sebagai orang politik lama cikgu Rahim cukup arif dengan politik langkah kepala!
Kebetulan tahun 1999 Husam mula menjadi seorang wakil rakyat sebagai ahli Parlimen Kubang Kerian. Kedudukan ini sangat baik untuk digunakan cikgu Rahim bagi mengawasi Husam dan sekaligus menyahkan Husam dari kawasan Kota Bharu.
Maka proses penghalauan Husam dari Kota Bharu dijalan dengan penuh diplomasi.
Perundingan lantas diadakan dan orang yang memainkan peranan berunding ialah bekas Setiausaha Pas Kawasan Kota Bharu, Allahyarham Zainuddin Abdullah yang dikenali dengan Zainuddin Kubur Maras.
Zainuddinlah yang berunding dengan Husam sambil memberi pandangan untuk politik masa depannya. Rahsia yang tersirat disebalik proses itu ialah untuk menyelamatkan cikgu Rahim.
Disebabkan Husam adalah ahli Parlimen Kubang Kerian jadi eloklah kalau Husam berpindah kawasan dari Kota Bharu ke Kubang Kerian. Dengan bergerak aktif dalam kawasan Kubang Kerian ia memberi dua manfaat kepada Husam dapat membantu Pas Kawasan Kubang Kerian dan sekaligus menambahkan darjat dan sufaatnya dalam politik.
Kubang Kerian dikira kawasan sesuai bagi Husam. Kawasan ini juga mempunyai pengundi yang bercampur, sedarhana dan elit. Dengan kelulusan dan latar belakang Husam kawasan itu pantas untuknya. Kubang Kerian juga dikenali dengan kawasan Pas sejak lama dulu. Mungkin atas perkiraannya sendiri Husam bersetuju berpindah ke kawasan ini.
Mulanya beliau dipilih menjadi Naib Yang Dipertua Kubang Kerian. Disebabkan keuzuran Muhamamd Iraqi yang menjadi ketua ketika itu, akhirnya beliau mengambil alih jawatan YDP hingga sekarang?
Apa yang berlaku di Kota Bharu dan dilakukan oleh cikgu Rahim itu menunjukkan cikgu Rahim bimbang dengan gelagat Husam. Sebagai seorang ahli politik yang suka bermuslihat dan menjerat orang tentu cikgu Rahim walang dia akhirnya terjerat kepada Husam. Bagi cikgu Rahim, Husam bukan kecil anak. Hang Nadim perlu dibunuh.
Dengan perpindah secara terhormat Husam itu maka selamatlah cikgu Rahim kekal di Kota Bharu sehingga hari ini.
Pun begitu politik Husam terus diperhatikan oleh cikgu Rahim. Peristiwa dan kejadian sebelum ini menyebabkan beliau tidak mudah menerima seperti mana yang ada. Dengan apa cara dan apa tindakan, Husam perlu dipantau agar ianya tidak sampai memenjalar dan melembarkan pengaruhnya di Kota Bharu dan juga Kelantan. Tetapi caranya tetap halus dan berhemah iaitu dengan berbaik-baik dengan Husam.
Mulanya ada usaha untuk mengekang Husam dan juga beberapa pemimpin muda seperti Wan Ismail Wan Jusoh, Takiyuddin Hassan dan lain-lain yang dicemburui oleh cikgu Rahim and the geng, kumpulan Tiga Abdul. Tetapi nampaknya tidak berkuasa. Kelicitan dan politik golongan muda khasnya Husam yang canggih menyebabkan cikgu Rahim dan the gengnya terpaksa mengaku kalah.
Kejatuhan cikgu Rahim bersama Abdul Halim Abdul Rahman dan Abdul Fatah Haron yang saya akronimkan menjadi Tiga Abdul memberi ruang cukup baik kepada Husam untuk terus naik kemudian menguasai politik Kelantan. Kejatuhan Tiga Abdul sebenarnya membantu mempercepatkan proses kenaikan Husam dalam politik di Kelantan. Dalam tragedi itu cikgu Rahim dilucutkan jawatan setiausaha badan perhubungan Pas Kelantan manakala Abdul Fatah dilucutukan jawatan ketua penerangan. Perlucutan ini memalukan mereka berdua.
Walaupun Abdul Halim dikekalkan sebagai timbalan pesuruhjaya namun tanpa cikgu Rahim dan Fatah, Abdul Halim tidak dapat berbuat apa-apa. Kehilangan dua kawannya itu menyebabkan tungku yang didakwa mendokong Tok Guru runtuh.

Buku Tiga Abdul menjadi sejarah ianya sangat nostalgik buat saya,
Ada orang mengatakan Husam terlibat dalam menjatuhkan Tiga Abdul, terutamanya bila dikaitkan dengan penulisan buku Tiga Abdul oleh saya. Ingin dijelaskan, Husam tidak terlibat dengan penulisan buku berkenaan. Husam sangat baik ketika itu dan beliau tidak menunjukkan politik-politik buruk saat itu. Malahan ketika saya menulis buku itu dan memberi tahunya, beliau hanya diam, suruh tidak larang pun tidak.
“Apakah ia tidak memecahkan parti?” begitulah tanya beliau kepada saya bila saya menceritakan perihal buku berkenaan. Ketika itu kami baru lepas makan malam di Gombak. (Aduh… makan bersama…).
“Tidak…!” balas saya. “Dan enta jangan larang ana daripada menulisnya,” begitulah balas saya menjadi dia terdiam. Saya menulis Tiga Abdul setelah mendapat green light dan mempunyai cukup bukti dari pihak-pihak yang berautoriti. Sebab itu saya berani dan ia bukan dibuat secara wewenang. Sikap Husam saya lihat begitu terhormat dan berahlak tika itu menyebabkan saya senang berkawan dengannya.
Dijelaskan sebelum saya menulis saya sudah pun mengingatkan watak-watak berkenaan secara baik. Tetapi selepas ingatan dan ‘nasihat’ itu tidak dipedulikan menyebabkan saya tidak ada pilihan lain. Orang politik yang degil, ego dan cuba membuat onar ke atas orang lain patut dibalun! Dan kerana itulah saya membalun sesiapa saja yang dikenali jahat meskipun orang yang pernah saya makan sehidangan.
Bersambung…