Aku dan Tok Guru: Mentafsir Nik Aziz Sebagai Politician dan Ulama, akan muncul
InsyaAllah dalam masa terdekat ini saya akan memuatkan beberapa kisah dan kenangan saya bersama Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menerusi diarymaya ini. Catatan ini merupakan pengamatan peribadi saya terhadap beliau sebagai ahli politik dan sebagai seorang murabbi. Ianya akan bermula seawal pertama kali saya menyebut namanya dan melihat wajahnya disekeping poster pilihan raya yang dibawa balik arwah ayah ke rumah sekitar tahun 1967.
Waktu itu usia saya dalam lingkungan tujuh atau lapan tahun. Catatan ini akan dinamakan “Aku dan tok Guru – Mentafsir Nik Aziz sebagai politician dan ulama”. Catatan ini adalah pandangan peribadi saya dan penilaian saya selama saya menuruti jejak perjuangannya dalam Pas, disamping cerita-cerita tentangnya dari pertuturan yang dapat diyakini.
Kemunculan catatan ini juga tidak berkala, maksudnya tidak ada jadual khususnya. Kemunculannya ia bergantung atas kerajinan dan selera saya untuk menggarapkannya. Mudah-mudahan Allah s.w.t. memberi kekuatan untuk saya mengerjakannya. Juga diharap catatan ini akan memberi gambaran dan maklumat sebenarnya kepada umum mengenai keistimewaan dan kelemahan Nik Aziz sebagai politician dari aliran tinta pena saya. Kepada peminat diarymaya diucapkan selamat mengikuti catatan ini. MSO