13
Aug
09

Aku Dan Tok Guru: Pengenalan

POTRET NIK AZIZ DIJADIKAN BENDERA

SEBAGAI anak seorang penyokong kuat parti Pas, saya terdedah dengan cerita-cerita mengenai politik dari sejak kecil lagi dari ayah. Apa yang saya dengar ketika itu ialah Pas dan Perikatan. Nama Umno jarang-jarang kedengaran dan disebut orang kampung saya. Pas sebagai parti Islam manakala Perikatan atau Umno sebagai parti kafir. Menurut ayah, kenapa Umno kafir ialah kerana mereka berkawan dengan Cina dan India. Mereka tubuhkan Perikatan. Alasan ayah seperti mana kata penceramah-penceramah Pas, tindakan Umno itu dilarang oleh al-Quran. Quran ada menyebut mengenai larangan berbaik atau pun berkawan dengan orang kafir apa lagi mengambil mereka sebagai pemimpin!

Logo 2

Antara ayat-ayat yang sering dibaca ialah ayat dalam surat al Maidah, ayat 51 bermaksud;
“Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu jadikan orang Yahudi dan Nasrani itu
sebagai ketua sebahagian yang lain. Sesiapa di kalangan kamu yang menjadikan mereka sebagai
pemimpin, maka sesungguhnya ia jadi golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi
petunjuk kepada orang yang zalim”.

Ayat dalam surah al-Maidah, ayat 57 bermaksud; “Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu jadikan (pemimpin atau ketua) orang yang menjadikan agama kamu sebagai ejekan dan permainan, daripada ahlil kitab yang sebelum kamu dan (jangan kamu jadikan) orang kafir sebagai ketua dan takutlah kepada Allah, jika kamu sungguh-sungguh orang beriman”.

Ayat dalam surah Ali Imran, ayat 188 pula bermaksud; “Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu ambil sebagai sahabat setia lain daripada golongan kamu; mereka itu tidak henti-hentinya berikhtiar menarik kecelakaan keatas kamu, mereka itu suka apa yang menyusahkan kamu. Sesungguhnya kebencian telah terbit dari mulut mereka itu, tetapi apa yang tersembunyi dalam hati mereka itu adalah lebih besar. Kami telah terangkan tanda-tanda kepada kamu, jika kamu (mahu berfikir)”.

Ayat dalam surah al-Nisa, ayat 144 bermaksud; “Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu jadikan orang kafir itu sebagai ketua (pemimpin); padahal mereka itu bukan dari kalangan Mukminin; apakah kamu mahu mangadakan satu alasan yang nyata bagi Allah buat (menghukum) kamu?”.

Ayat dalam surah Ali Imran, ayat 119 bermaksud: “Ingatlah! Kamu ini mengasihi mereka itu sedangkan mereka tidak mengasihi kamu dan kamu percaya kepada seluruh kandungan al-Quran sedang mereka apabila bertemu denganmu mereka berkata: ‘Kami beriman’, tetapi apabila berpisah, mereka gigit jari-jari mereka kerana marah bercampur benci kepada kamu. Katakanlah kepada mereka: ‘Matilah kamu bersama kemarahanmu itu’, Allah mengetahui apa yang terkandung dalam dadamu”.

Ayat dalam surah al-Nisa, ayat 139 yang bermaksud; “Berilah khabar kepada orang munafiq, iaitu orang yang mengangkat orang kafir sebagai pemimpin – bukan dari kalangan Mukminin. Patutkah mereka mencari kemuliaan daripada mereka itu? Sesungguhnya kemuliaan itu semuanya bagi Allah”.

Ayat dalam surah al Nisa, ayat 141 yang bermaksud; “Allah sekali-kali tidak memberi jalan bagi orang kafir untuk menguasai orang-orang mukmin”.

Dan juga ayat dalam surah al-Taubat, ayat 23 bermaksud; “Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu mangambil bapa-bapa, saudara-saudara kamu menjadi pemimpin, jika mereka memilih kafir daripada iman. Sesiapa mengangkatnya menjadi pemimpin di kalangan kamu, nescaya dia adalah orang yang zalim”.

Itulah antara ayat-ayat Quran yang sering dibaca dan dijadikan sandaran oleh penceramah Pas untuk mengatakan Umno kafir? Ayat-ayat inilah juga menjadi perisai untuk memperkasakan Pas dari dicerobohi ansir luar.

Inilah kertas cogan Nik Aziz yang saya jadikan bendera dan mengarakkanya dengan basik.

Inilah kertas cogan Nik Aziz yang saya jadikan bendera dan mengarakkanya dengan basikal.

Menjadi kafir? Apa dia kafir? Kafir dalam pengertian dan pemahaman saya ketika itu ialah, puak jahat yang tidak menyeru untuk masuk syurga. Puak yang menentang Islam. Musuh Islam. Syurga adalah tempat indah di alam baqa nanti. Semua orang mengakui Islam dan mempercayai alam ghiab, hendak atau berazam untuk memasuki ke syurga. Orang akan melakukan apa saja untuk mendapat syurga. Jadi mana-mana kegiatan atau jalan menuju ke Neraka wajib dijauhi.

Parti Pas pula parti Islam; Parti Isalam se Malaysia, yang mengajar kepada kebaikan dan menentang kemungkaran. Yang mengajak manusia menuju ke syurga. Begitulah pandangan dan penerimaan saya ketika itu.

Sesungguhnya saya tidak memahami sebenar-benarnya apa itu Perikatan atau Umno. Selain itu, ayah sering menyebut perkataan siasah. Parti siasah! Bila bercakap dengan kawan-kawannya, saya dengar ayat kata, kita kena ada siasah. Kena pilih siasah Islam, kalau tidak kita akan jadi kafir. Saya memahami siasah itu ialah Pas.

Namun ayah seorang yang tidak suka mengata. Dia tidak ekstrim. Ayah seorang yang bertoleran dan tidak suka bergaduh. Apa yang ayah faham ayah tidak cakap kepada sesiapa melainkan untuk dirinya saja. Ayah juga bukan seorang pelanggan kedai kopi yang menjadi parlimen di kampung dan tempat mengulas isu-isu politik sehingga ada yang sampai bertampar dan bertumbuk atau bermasam muka bertahun-tahun.

Ayah sebagai anak tok guru lebih banyak di surau. Apa-apa yang penerangan dan penjelasan yang didapati dari ceramah digunakan untuk dirinya dan keluarganya saja. Sebab itu di kampung kami, kampung Gual Nibong, Rantau Panjang ayah dianggap sebagai seorang partisan yang tidak suka mengatakan orang. Dalam erti kata lain tidak mulut celupar. Gemulah Pak Nik Wil pernah mengatakan di Gual Nibong ini orang yang pandai main parti hanya Umur, (Omar Othman) dia tidak pernah mengatakan orang. Pak Nik Wil ialah penyokong kelat parti Perikatan. Di dinding rumahnya penuh dengan gambar Tunku Abdul Rahman dan Tun Razak. Sebab sikap dan toleran itulah menyebabkan ayah boleh berkawan dan baik dengan sesiapa saja. Politik ayah telan dalam perut dan tidak dibawa keluar. Saya kira itu kebijaksanaan ayah nyang harus saya hormati dan ikuti.

Saya kurang pasti pergerakan dan penglibatan ayah dalam politik. Apakah dia memegang jawatan sebagai ketua ranting (ketua cawangan) di kampung kami atau tidak. Cuma apa yang saya ingat, di rumah masih ada senaskah buku resit yuran keahlian Pas (cetekan 1961). Apakah ayah seorang Bendahari? Atau pun parti memang mengarahkan mana-man ahlinya memuggut yuran ahli dan penyokong mengikut kampung dan ayah mewakili kampung kami?

Selebihnya saya pernah tengok minit-minit mesyurat yang ada ayah bawa balik. Hampir setiap bulan ayah akan bermesyuatat di Balai Raya yang terletak kira-kira satu kilo meter dari rumah. Ayah rupanya ahli Majlis Kerajaan Tempatan Gual Periok (MTGP). Kerajaan local council. Dalam minit mesyuarat itu nama ayah dicatat sebagai ahli biasa dan di minit lain pula di tahun lain dicatat sebagai timbalan pengerusi. Mungkin itulah jawatan rasmi ayah sepanjang penglibatannya dalam politik.

Yang pastinya ayah tidak akan ketinggalan mengikuti majlis ceramah dan program parti khasnya yang diadakan di sekitar Rantau Panjang dan Pasir Mas. Cakap di mana sahaja ayah akan pergi. Kalau majlis itu agak jauh ayah akan meninggalkan rumah sebelum Magrib dan pulang lewat malam. Ini selalunya kalau majlis itu di luar kawasan.

Bila pualng nanti ayah akan membawa apa-apa risalah atau poster parti. Selalunya bila beliau ke tempat pilihan raya kecil. Ayah akan bawa balik gambar calon dan risalah-risalah tertentu untuk ditunjukkan kepada ibu atau disimpan sebagai dokumen peribadinya. Ayah seorang kolektor.

Di sinilah membolehkan saya selalu melihat poster dan kertas-kertas risalah yang tidak diketahui apa butirannya pada masa itu. Yang dapat dikenali ialah melihat lambang bulan bintang sabit yang di atasnya ada bintang pecah lima. Begitu anggun dan begitu mempersonakan sekali. Begitu indah dan menggamit jiwa. Bulan sabit dan bintang adalah cakrawala akronim kepada Islam. Ia digunakan hampir di seluruh dunia. Itulah lambang atau simbol digunakan Pas waktu itu.

Lambang ini menakutkan Perikatan hinggalah ianya diharam dan Pas terpaksa mengambil bulan purnama mengantikan lambang itu. Alasanya kerana bulan bintang itu digunakan secara rasmi oleh kerajaan untuk institusi kerajaan merujuk kepada hal ehwal agama Islam dan tidak boleh dipakai oleh badan-badan politik. Itu alasan saja. Hakikat sebenarnya Perikatan takut dan gentar dengan lambang berkenaan yang boleh menawan dan menarik hati sesiapa saja.

Selain lambang bulan bintang yang indah dan cantik itu, ayah juga akan bawa balik gambar cogan, maksudnya gambar calon. Biasanya dia akan tampal gambar cogan itu di dinding rumah. Alat pelakat (gamnya) dengan getah sagu. Ketika inilah saya disuruh ayah untuk mengambil pelepah sagu yang sebesar ibu kaki di hujung baruh untuk menampalkan gambar cogan tadi.

Semasa berlangsung pilihan raya kecil Parlimen Kelantan Hilir, (kini Pengkalan Chepa) pada 20 Oktober 1967, ayah tidak ketinggalan ikut sama meninjau dan membantu. Satu malam ayah menghilang diri, diberitahu dia ke Kota Bharu. Kota Bharu terlalu jauh dari rumah kami ketika itu. Kota Bharu adalah negeri asing. Bandar! Ayah pergi dengan siapa tidak diketahui.

Yang diketahui dia bersama dengan rakan-rakan sekampungya, Hassan Mahmud, (Pak Muda Hassan) Abdul Rahamn Yusuf (Ayah Su) (keduanya Allahyarham) yang terkenal dan dikenali sebagai penyokong Pas nombor wahid di kampung itu, dan beberapa kawan lain Hamzah Awang Hamat, (Pak Da Mejah) Nuh Mat Ali ataupun Yaacob Awang Besar (yang kemudian merupakan bapa mertua saya, semuanya Allahyraham). Inilah orang-orang kuat Pas di kawasan kami. Yang menjadi pengasas dibakar tidak hangus!

Mereka tidak ada kenderaan. Tentunya mereka menaiki kenderaan yang diarah oleh wakil rakyat Rantau Panjang, Ahmad Yatim. Selalunya kalau ada majlis ditempat jauh Ahmad Yatimlah akan mengambil mereka atau menyuruh pemandunya bernama abang Soh ipar kepada Pak Da Mejah datang menjemput ayah dan rakan-rakan yang akrab ini.

Pulang dari Kota Bharu malam itu ayah membawa balik beberapa helai poster dan risalah. Paginya sambil serapan pagi, ubi badak gaul dengan nyiur ayah memberi tahu ibu sambil menunjukkan poster. Katanya; inilah calon Pas yang akan bertanding di Kota Bharu Hilir, seorang ustaz. Namanya Ustaz Nik Abdul Aziz Nik Mat. Dia kelulusan dari universiti Azhar, Mesir. Ayah menekan perkataan ‘Mesir’. Mesir bagi penduduk kampung kami sangat mulia dan agung, hampir-hampir sama agung dengan Makkah dan Madinah. Sesiapa dapat ke Mesir dan belajar di universiti tertua di dunia itu dikira hebat. Sebelum itu tidak ada seorang pun penduduk kampung kami ke Mesir sehinggalah akhir tahun 70-an.

Omar Othman ayah yang mengajar erti siasah. Meninggal 24 Jun 1996.

Omar Othman ayah yang mengajar erti siasah. Meninggal 24 Jun 1996.

Saya mengambil poster berkenaan dan melihatnya. Gambar seorang anak muda bertubuh kurus berkaca mata. Atas kepalanya ada serban. Saya tidak tahu membaca apa yang dicatat di atas kertas itu yang merupakan slogan antara lain berbunyi; undilah Pas pangkah bulan bintang untuk agama, bangsa dan tanah air, dalam tulisan jawi.

Selepas makan saya dan ayah memasang poster itu di dinding rumah kami. Ayah memasang dua keping untuk menampakkan poster berkenaan gah dan hebat. Ayah ingin tunjukkan kepada orang kampung yang ziarah rumahnya. Begitulah cara ayah mengangungkan calon-calon Pas yang bergelar ustaz. Saya mengambil sehelai yang lebih kecil dan mengibar-ngibarkan dengan tangan. Saya membawa lari mengelilingi dalam rumah, seolah-olah macam bendera Malaysia dilarikan dimusim perarakan kemerdekaan.

“Boleh tak kalau bubuh di basikal,” kata saya kepada ayah. Fikir untuk memasang gambar calon itu dibasikal. Saya memang dibelikan ayah basikal berkaki tiga. Al maklumlah anak sulung dari isteri keduanya, Mek Thom Haji Salleh diberikan sedikit kelebihan.

“Awang nak buat apa?” tanya ayah membahasakan saya sebagai awang, sebagai anak manja dan kesayangan.

“Nak buat bendera,” jelas saya. Ayah tanpa banyak bercerita mengambil parang dan turun ke tanah. Dia mencari ranting buluh untuk dijadikan tiang bendera. Kemudian gambar cogan tadi dikepilkan dan diikatkan dengan getah di handle basikal.

Saya mengayuh basikal yang siap dipasang bendera itu. Untuk menjadikan ia berkibar saya mengayuh selaju mungkin mengeliling atas rumah. Bila bendera itu tidak berkibar kerana kurang kelajuan saya minta kepada ayah untuk turunkan ke tanah.

Di tanah saya mengeliling dan round di halaman rumah. Saya bangga kerana antara rakan-rakan sebaya, sayalah yang ada basikal dan ada bendera pula di atas handle. Megah sungguh. Bendera yang saya bawa dan pusing kampung itu ialah bendera cogan Pas calon Pas pilihan raya kecil Parlimen Kota Bharu Hilir bernama Nik Abdul Aziz bin Nik Mat. – 12/06/09 [Bersambung]


9 Responses to “Aku Dan Tok Guru: Pengenalan”


  1. Ogos 13, 2009 at 4:36 AM

    Salam Pak MSO..lama menyepi dalam diarymaya ini. hari ini saya sudah baca posting mengenai kisah MSO dan tok guru. Tahniah. Saya harap pak MSO rajin-rajinlah mengemaskini kisah sebegini kerana saya selaku orang muda tak mengetahui cerita dan kisah politik dulu-dulu. Terima kasih atas cerita ini. Sedap dibaca. Salam.

  2. Ogos 13, 2009 at 7:00 AM

    salam dari temasek, tuanku sayuti:
    wow ada blog baru.
    syabas.
    hamba masukkan dalam blogroll blog kerdil hamba.
    selamat berjaya. dah lama tak jumpa….

  3. 3 Ajeem
    Ogos 14, 2009 at 11:35 AM

    bagus kisah ni tapi kisah si baju petak2 macam mana?pembaca masih tertunggu-tunggu.

  4. 4 Permata
    Ogos 15, 2009 at 2:23 AM

    Salam.
    Setuju dgn Ajeem. Dalam keseronokan baca kisah baru ni, teringat juga apa sudahnya kisah si baju petak2 merah?

  5. Ogos 16, 2009 at 11:42 AM

    Salam pak…mana cerita baju petak ni…kalau dihentikan begitu saja macam pak sengaja menyerang Husam masa pemilihan..tak syook la mcm ni…kalau betul tak serang teruskan la cita syok tuuuu

  6. September 3, 2009 at 4:29 PM

    Tahniah dan diberkati sempena Ramadhan.
    Bertambah satu lagi khazanah bangsa dan agama. Harapnya ia menjadikan salah satu sumber untuk mengangkatkan martabat Islam dan bangsa Melayu. Bahan yang dapat mencuit hati….bertuah kerana telah melebihi dari minima “makan bersama dengan orang alim”…Inikan kisah ulamak yang memperjuangkan Islam. Harap panjang unur TGNA dan Tuan MSO dengan iman dan taqwa…tak terlupa saya sendiri dan para pejuang Islam di bumi Malaysia. Salam….Salam ‘satu Ramadhan’…Allah diutamakan…Islam didahulukan. Ketaqwaan diutamakan…Akhirat didahulukan !

  7. September 28, 2009 at 5:53 AM

    salam mso. semoga analisis tuan dalam ruangan ini makin menyengat. politik itu meruapakan sebahagian daripada kehidupan kita. kerana ia sebahagian dariopada kehiduoan, dedahkan yang benar untuk tatapan masyarakat. kebenaran itu harus dipaparkan dan jangan ada pemimpin yang cepat kaya kerana menipu rakyat dan membohongi rakyat. kadang-kadang asaya tidak setuju dengan Dato’ Dr. Hassan Ali mwengenai pendedahan kaki rasuah. di kalangan pegawai kerajaan. Kalau dia jahat terus masukkan dalam jeel. orang jahat tidak akan insaf setakat bagi amaran. yang jahat harus terima kemaluan yangv besar itu. wallahu alam.

  8. Oktober 18, 2009 at 12:09 PM

    mana entri baru ni wahai MSO?dah berkulat tunggu…

  9. Disember 5, 2009 at 12:52 PM

    syangnya entri baru tiada lagi.tutup jelah blog ni.mengecewakan hati.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: