Arkib untuk Mei 2011

25
Mei
11

Husam Buat Ralat Memperbetulkan Semula Nawaitu Perjuangan

TAMPAKNYA ruang fikir yang saya berikan menerusi catatan (posting pada 23 April, dibawah tajuk “Mentafsir Kenyataan Husam Yang Mahu Memperkasakan Hadi” diberi perhatian dan dinilai baik oleh Husam. Di hujung catatan itu saya menulis; “Sesungguhnya masa masih tersisa kalau Husam mahu mengubah niatnya untuk ikut sama memeriahkan muktamar dengan bertanding mana-mana jawatan yang lebih tinggi daripada Jawatankuasa Agung.”

Husam Musa

Selepas sebulan saya memberi mesej itu akhirnya Husam mengeluarkan kenyataan yang saya kira mengembirakan para penyokongnya dan juga orang-orang Pas Kelantan. Nun jauh di Chengdu China, beliau membuat kenyataan ingin ikut sama merebut jawatan Naib Presiden yang pernah dimenanginya selama dua penggal.

Tidak syak lagi perubahan sikap dan ralat fikir Husam itu ekoran perubahan sikap dan pendirian Tuan Ibrahim Tuan Man yang hari ini telah menyatakan kesediaanya untuk bertanding jawatan timbalan presiden. Bermula dari keputusan inilah maka Husam turut mengubah sikap dan belajar dari ulama? Kalau Tuan Ibrahim seorang ulama boleh mengalih kata, kenapa tidak dengan Husam lagi pun mereka dalam ‘game’ politik.

Apakah ini kebetulan atau ada strategi, tidak perlu difikirkan. Yang penting demikianlah politik yang mana keputusan, kenyataan dan sikap tidak rigid. Pergaduhan juga tidak kekal hingga ke neraka! Ia boleh berubah-berubah mengikut masa dan keadaan. Perubahan ini pula bukan dosa, kerana politik itu sendiri unik dan mempunyai empat rukun yang mesti dilalui. Rukun itu ialah 4C.

Biarlah saya tidak mahu mengulas apakah Husam akan menang atau tidak. Itu perkara nombor dua. Yang penting beliau ikut sama memeriahkan muktamar dan memberi kepuasan kepada penyokongnya. Seperti mana katanya kesediaan itu membawa agenda untuk memprofesionalkan ulama dan mengulamakan profesional. Saya rasa satu “tag line” menarik yang mana realitinya bukan mudah untuk diurus dan laksanakan. Alasan lain kata Husam kesediaan itu kerana Kelantan perlu ada seorang pemimpin diperingkat tertinggi.

Alasan benar dan tepat malahan itulah keperluannya kalau sesiapa bertanding jawatan tertinggi. Sebabnya Tok Guru Nik Abdul Aziz akhirnya akan meninggalkan juga serambi politik Kelantan. Kelantan adalah sebuah negeri yang menjadi pemandu kepada kerajaan Pas lain. Wajar ianya diurus tadbir dengan baik dan impaktif. Malahan ketika kali pertama saya menyokong beliau bertanding jawatan naib presiden tahun 2004 itulah juga alasan dan nawaitunya untuk mencetakkan seorang pemimpin yang berkebolehan dan ada keupayaan. Begitu juga dengan penurunanya ke Kelantan untuk membantu pentadbiran Tok Guru yang pada masa itu dalam perhatian saya kurang bermaya.

Saya sangat berharap dengan turunnya Husam, beliau boleh berpadu dengan beberapa pemimpin pelapis lain bagi menguat dan mempertahankan Kelantan. Sayangnya ia berjalan sekerat jalan saja, cita-cita dan impian murni yang saya sandarkan kepadanya untuk menjadi penyalin kepada kumpulan ‘Tiga Abdul” tidak menjadi. Salahnya bukan Husam seratus peratus tetapi orang lain juga yang semacam cemburu kepada kelajuan Husam dan gagal pula untuk mengikut rentak Husam yang bergerak secara bersendirian yang seakan tidak lagi mahu menoleh kepada kawan-kawan.

Ternyata penurun Husam tidak sia-sia. Dalam sekelip mata sahaja dia dapat menjana ekonomi dan meletakkan Kelantan sebagai negeri popular. Kerajaan Kelantan dalam suasana hidup dan menjadi sebutan. Berbagai-bagai idea dan karjaya ekonomi yang dibuatnya. Walaupun ada setengahnya tidak berjaya kerana pelaksanaanya tidak ikhlas dan kompeten, tetapi yang nyata Husam telah berjaya mencetuskan satu suasana baru di Kelantan. Dalam kata lain Husam ada “penyembah” semangat untuk anak-anak muda.

Sekiranya Husam tidak membuat kesilapan-kesilapan kecil (sama ada disedari atau tidak) yang akhirnya mencacatkan dirinya, tentu Husam hari ini sudah menjadi tokoh yang hebat berada di setiap hati rakyat. Dalam tilikan saya beliau bukan sahaja material untuk setakat menjadi timbalan presiden Pas, tetapi presiden juga. Saya pernah mengatakan kepadanya yang saya ketika itu sedang mencipta malam untuk bermimpikan dia jadi presiden.

Tanpa prejudis dan mahu bernostalgik kisah dan kelukaan-kelukaan lampau, langkah Husam itu perlu dialu-alukan. Dalam soal ini jangan meletakkan kehendak peribadi sebaliknya mengutamakan kepentingan diri dan kerajaan negeri. Semua orang harus memberi semangat baru kepadanya dan mudah-mudahan dengan adanya cocokan semangat Husam akan kembali kepada tempat selayaknya.

Bagi saya langkah diambil Husam itu sesuatu yang bijak dan tentu sudah difikir semasak-masakanya. Langkah itu bolehlah disifatkan Husam mahu memperbetulkan semula kesalahan dan akan cuba untuk bangkit sekali lagi dari bawah dengan penuh kewaspadaan dan tawaduk. Jadi apa salahnya kalau beliau diberi peluang untuk mahasabah diri, kerana tidak terkecuali siapa di antara kita semuanya ada kesilapan. Kesilapan itu pula harus dilupakan kalau sudah ada niat untuk memperbetulkannya. [wm.kl.8:35 am 25/05/11]

23
Mei
11

Calon Senator Kelantan

Tiga Tokoh Ini Rasanya Layak Jadi Senator

SELEPAS saya postingkan catatan bertajuk siapa “Siapa dipilih jadi Senator Kelantan” dua tiga orang penjenguk bertanya kepada saya, siapakah gerangan mereka. Ada juga yang berani menelefon untuk mengetahuinya. Saya kata, saya tidak tahu, tapi mereka paksa juga, sambil beranggapan saya sudah tahu nama bakal senator berkenaan.

Memang saya tidak tahu cuma apa yang didengari Pas Kelantan sedang mengenal pasti beberapa nama baru untuk dilantik jadi senator sebab salah seorang senator lantikan kerajaan Kelantan sudah tidak akan disambung lagi. Manakala seorang lagi senator masih belum tamat tempoh penggalnya.

Saya juga tidak tahu kalau sudah ada mereka yang melobi untuk mendapatkan jawatan itu. Katanya sudah ada yang sering bertanya ke mana Tok Guru sembahyang untuk diekorinya. Saya tidak fikir kalau ada sanggup berbuat demikian kerana untuk dipilih jadi senator.

Sehubungan itu saya cuba merisik apakah sudah ada calonnya. Dan kalau ada apakah ianya sesuai atau sebaliknya. Saya sebagai rakyat Kelantan sangat mengharap mereka yang dilantik menjadi Ahli Dewan Negara nanti biarlah orang yang benar-benar ingin berkhidmat kepada rakyat dan bukan menjadikannya jawatan itu sebagai batu loncatan saja. Itu merugikan masa dan rakyat Kelantan.

Jadi apabila saya ditanya pandangan peribadi mengena kriteria calon, maka saya terpaksa menyuluh ke Kelantan melihat tokoh-tokoh yang berwibawa dan munasabah untuk dilantik menjadi senator.

Ada beberapa nama yang tersaul dek akal. Mereka ini bukan usahawan atau bangsawan, tetapi mereka yang setia dan banyak berkorban kepada parti. Mereka juga setia dan wala’ kepada pemimpin dalam keadaan apa juga. Mereka juga telah teruji, ikhlas dan tidak mudah merajuk apabila sesuatu tidak diberikan kepada mereka.

Sebenarnya orang-orang seperti inilah patut dipilih dan dinilai untuk menjadi senator. Kalau perlantikan senator itu sebagai membalaskan jasa mereka kepada parti, orang inilah juga gerangannya. Mereka ini bukan baru dalam parti dan sudah lama berjuang untuk parti dan memikul amanah parti dengan penuh istiqamah.

Begitu juga ketaatan mereka kepada pemimpin juga tidak boleh dinafikan. Dari segi kebolehan dan profesional tidak terkalah kalau dibandingkan dengan senator jantan yang sudah tamat tempoh penggal pertama itu.

Tokoh yang saya maksud itu ialah Dr Izani Husin dari Pengkala Chepa Kelantan. Beliau merupakan ahli jawatankuasa Pas kawasan itu. Pernah dilantik menjadi Bendari Pas Kelantan. Sekurang-kurang dua kali disebut akan diletak bertanding di salah satu kerusi Dun di Pengkalan Chepa tetapi tidak pernah menjadi kenyataan.

Beliau juga pernah disebut untuk dilantik menjadi Pengurus PKINK dan juga Pengurus Eksekutif PMBK untuk mengganti tempat Ariffahami Abdul Rahaman. Tetapi kedua-dua itu tidak menjadi. Bagaimana pun Dr Izani tidak pernah kecewa dengan apa yang berlaku dan menganggapnya sebagai takdir.

Secara peribadi beliau banyak membantu Tok Guru bila MB itu di dalam kesusahan. Beliaulah yang berdiri di belakang membela Tok Guru tatakala MB itu berserabut. Bagaimana pun peranan ini tidak pernah diketahui umum kecuali Tok Guru sendiri.

Seorang lagi ialah Dr Zulkefli Mohamad bekas Ketua Pas Kawasan Gua Musang. Sudah tiga kali bertanding dalam pilihan raya, namun semuanya kalah. Terbaru beliau diletak menjadi calon Pas pilihan raya kecil Galas, Gua Musang.

Zulkefli tidak pernah kecewa dan tidak pernah kata ‘heh..’ kepada parti yang memberi tanggungjawab untuk menentang Tengku Razaleigh. Beliau juga dikenali sebagai aktivis parti yang ulet dan rajin. Semasa menjadi ketua Pas kawasan Gua Musang beliau tidak pernah mis menghadiri mesyuarat badan perhubungan Pas di Kota Bharu. Kerajinan dan keikhlasan inilah kalau Pas ingin membalas jasa-jasanya dengan melantik senator. Perlantikan itu juga akan menjadi cenderamata untuknya walaupun ia bukan atas permintaannya.

Kalau Dr Zulkefli dilantik menjadi senator juga ia merupakan sejarah buat Pas kerana itulah ahli Pas Gua Musang yang pertama kali dilantik menjadi senator. Sebelum ini perlantikan senator berkisar kepada ahli-ahli parti di sekitar Kota Bharu sahaja.

Dalam pada itu ada seorang lagi tokoh yang gigih dan tabah dalam perjuangan. Beliau tidak pernah teralat dengan apa yang dialaminya. Tidak pernah menuangkan aktviti parti. Tokoh dimaksudkan itu ialah bekas Ahli Parlimen Jeli, Mohd Apandi Mohamad.

Selama tujuh tahun beliau terpaksa naik turun ke mahkamah atas tuduhan rasuah semasa menjadi ahli parlimen. Beliau hadapinya dengan bersendirian dan keluarganya. Tuduhan berupa fitnah yang dilemparkan kepadanya itu bukan kecil tetapi amat besar menimpa jiwanya. Calang-calang orang mempunyai daya dalaman seperti beliau. Pun begitu ia sedikit pun tidak menjejaskan semangat perjuangannya.

Walaupun Apandi boleh mencari jalan untuk menyelesaikan kesnya dengan tidak menentang Mustapa Mohamed di Jeli, tetapi beliau tidak berbuat begitu. Pernah terdengar ada tawaran secara lisan dibuat kepadanya agar kes itu diselesaikan. Namun beliau tidak pernah menerima. Mustapa dihadapinya juga dengan keyakinan Mustapa bukan saja musuh politiknya di Jeli tetapi musuh Pas.

Selama berdepan dengan risiko itu beliau menangis sendiri. Beliau tidak pernah merenget dan merintih apa lagi cuba menyalahkan parti. Setiap kali ke mahkamah untuk menghadapi perbicaraan beliau tidak pernah pun diiringi oleh penyokong Pas usahkan ribuan, belasan pun tidak. Kalau yang senantiasa menamaninya ialah para pemimpin dan ahli Pas Jeli saja. Tetapi itu bukan alasan Apandi untuk dia merasa kesal dan kecewa. Atas kesedaran menhaj perjuangan ditanggungnya risiko itu bersendirian penuh sabar.

Alhamdulih akhir kebenaran menjelama juga. Beberapa bulan lalu Apandi dibebaskan dari tuduhan yang cukup memakan hati dan jiwanya itu. Hari ini Apandi bersih sebersih bayi atas tuduhan itu dan semangat juangnya makin berkorbar-kobar.

Keistimewaan Apandi bukan itu saja. Dia juga dikenali sebagai dermawan di kalangan parti Pas. Selain itu dia juga seorang komited dan beriltizam. Peluang menjadi ahli Parlimen selama sepenggal 1999 – 2008 membuktikan bahawa Apandi seorang pembahas yang baik dan lantang di dewan rakyat yang setanding dengan Husam Musa, Ibrahim Ali dan lain-lain.
Kalau Pas mengenangkan jasa Apandi maka nama beliau tidak seharusnya tercicir dalam pemilihan untuk dilantik menjadi senator. Berbanding dengan dua nama tadi Apandi lebih berkelayakan kerana beliau sudah ada pengalaman. Lainlah kalau Apandi tidak berminat menjadi senator tetapi lebih suka menjadi ahli Parlimen.

Selain daripada tiga tokoh berkenaan saya tidak nampak ada lagi tokoh lain yang berwibawa. Kalau pun ada dan terliur untuk menjadi senator adalah mereka yang tidak cukup inci, kurang daripada 5 kaki 2 inci yang ilmu politiknya sebanyak darah nyamuk saja. Apakah salah seorang daripa mereka calonnya? Walahu’alam. [wm.kl.8:10 pm 23/05/05]

13
Mei
11

Kali Ini Polis Ada Betul Sikit

MENURUT Timbalan Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar tidak ada keperluan bagi polis untuk mendedahkan identiti lelaki yang mirip Anwar Ibrahim dalam video lucah yang dijadikan isu politik ke belakangan ini kerana tidak ada keperluan undang-undang untuk bertindak demikian.

Apa yang boleh difahamkan tiada undang-undang untuk mendakwa mana-mana orang yang terlibat dalam video sex di negara ini. Apa lagi kalau penglibatan itu bersifat peribadi. Sebenarnya banyak lagi mereka yang jelas terlibat dalam pembikinan video lucah secara peribadi, tetapi tidak dikenakan apa-apa tindakan undang-undang.

Beberapa orang artis dan pelakun drama juga sebelum ini dkenal pasti menerusi tape dan rakaman camera melakukan kegiatan sek mereka. Misalnya seorang pelakun drama didapati bertelanjang bulat di rumahnya. Rakaman itu dibuat oleh tuan rumah dengan menggunakan camera yang disembunyikan di sebalik langsir. Rakaman berkenaan tersebar luas dan dijadikan bahan perniagaan.

Sehingga kini tidak ada pula tindakan dikenakan kepada artis atau dramatis berkenaan mungkin kerana tiada peruntukan undang-undang.

Jadi apabila Khalid mengatakan tidak ada keperluan untuk didedahkan indetiti lelaki yang mirip wajah Anwar itu ia adalah tepat. Sebaliknya dalam konteks video itu apa yang harus disegerakan ialah mendakwa mereka yang terbabit membikin dan menyebarkannya kepada umum kerana itu ada peruntukan undang-undang. Malangnya tidak ada pula dari NGO Islam atau NGO nasionalis Melayu mendesak agar orang bertanggungjaawb menyanagkan video berkenaan dikenakan tindakan.

Malangnya sehingga kini belum ada apa-apa tindakan. Polis sudah pun selesai membuat siasatan tetapi pihak AG – Peguam Negara masih membisu. Orang berkenaan juga telah mengakui dengan sumpah laknat akan penglibatan mereka. Apakah peguam negara sudah merasai cukup dengan sumpah laknat mereka itu maka tindakan berupa undang-undang tidak perlu lagi.

Inilah keterbalikan didalam pelaksanaan undang-udang di negera ini. Sebenarnya kesongsangan ini sedang diperhati oleh dunia dan rakyat seluruhnya.

Bagaimana pun tidak mustahil kalau tiba-tiba esok lusa yang akan didakwa dalam kes video lucah itu Anwar bukannya Datuk T. Apakah pertuduhan mungkin sedang direka cipta. Pihak berwajib tidak akan pedulikan apalkah tindakan itu betul atau tidak yang penting Anwar terus boleh dijadikan mangsa dengan harapan sokongan rakyat kepada pembangkang masih kuat.

Di sinilah kesilapan pihak bermotif politik dalam kes Anwar ini. Mereka mengira apabila mereka melakukan tindakan songsang dan tidak masuk akal terhadap Anwar menyebabkan sokongan rakyat kekapda pembangkang makin kurang. Walhal apa rakyat tidak saja melihat kekuatan itu terletak kepada Anwar tetapi kekuatan sebenarnya ialah kepada Pakatan Rakyat. [ttdi.kl 4:50 pm 13/05/11]

13
Mei
11

Nurul Izzah Sudah Buat Laporan Polis

SEPERTI mana yang dilaporakan semalam, (menerusi blog MERAH TINTA) pagi ini Nurul Izzah telah membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi Kuala Lumpur mengenai tiga SMS yang berunsur ancaman untuk melakukan sesuatu ke atas anaknya sekira beliau terus menyokong ayahnya, Anwar Ibrahim.

Izzah mendukung anak lelakinya ke semasa berkempen dalam pilihan raya Sarawak.

Menurut Izzah SMS yang diterima dari seseorang yang tidak dikenali itu berbunyi, “bahawa anak saya akan menerima nasib seperti Sharline jika saya menyokong ayah saya, (Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya tidak menyelamat ayah saya. Dia juga mengancam bahawa jika saya tidak mendesak berhenti ayah saya berhenti dari politik maka sesuatu akan berlaku kepada anak saya. SMS itu diterima pada 11 Mei 2011 jam 2:45 pagi ketika beliau berada di Doha Qatar.

Manalaka SMS kedua pula berbunyi; “sesuatu yang tidak elok akan berlaku ke atas anak saya kecuali jika saya berhenti menyokong ayah saya.” SMS tadi diterima 12 Mei 2011 pukul 3:46 petang.

Sebelum itu menurutnya pada 5 Mei 2011 pukul 9:45 malam beliau menerima SMS pertama dari individu tersebut yang ada perkara penting untuk memberi tahu saya dan dia juga meminta saya menelefon dia. SMS itu diulang dua kali pada hari yang sama.

Nurul Izzah menganggap SMS itu ancama serius dan berbau politik.

Kerana bimbangan berlaku sesuatu ke atasnya beliau membuat laporan polis sebagai melindungi dirinya. Nurul Izzah berharap semoga polis membuat siasatan segera berhubung laporan berkenaan.

Dalam pada itu Anwar Ibrahim malam tadi melahirkan rasa kesal atas apa yang berlaku itu sambil menyifatkan satu tindakan yang sangat jahat dan tidak bermoral. “Setelah saya dimalukan, isteri saya diganggu, kini anak saya, dan cucu saya pula cuba diganggu dan dijadikan mangsa. Ini melambangkan politik terdesak,” kata Anwar dengan nada marah dan kesal.

Ikut sama mengiringi Nurul Izzah membuat laporan polis tadi, ibunya Dr Wan Azizah Wan Ismail, pengaum Latifa Koya dan beberapa pemimpin serta pembantu peribadi Nurul Izzah dan Dr Wan Azizah.

Sementara itu pagi tadi juga Dewan Pemuda Pas Wilayah Persektuan telah membuat laporan polis terhadap Presiden MCA, Chua Soi Lek berhubung beberapa kenyataan beliau yang dianggap menghina Islam. Laporan polis itu diketuai oleh Ketua Dewan Pamuda Pas, Wilayah Persekutuan. [wm.kl.12: 30 t/hari 13/05/11]




Mei 2011
I S R K J S A
 1
2345678
9101112131415
16171819202122
23242526272829
3031  

Kira Imbas (15 April 2009)

Laman