07
Ogo
16

Perhatian: Pembuka bicara

 

image

لا يكلف الله نفساً إلا وسعها , bahwa Allah tidak membebani seseorang diluar kemampuannya (Al-Baqarah: 286).

SAYA akan mula memuatkan tulisan mengenai diri saya ketika menghadapi sedikit ujian daripada Allah taala baru-baru ini apabila saya disahkan menghidap kanser Lymphoma (DLBCL) akhir tahun lepas. Ujian atau pun musibah yang terpikul atas pundak saya itu tidaklah “semencabar” kalau dibandingkan dengan kesangsaraan golongan mustadh’afin di Syaria, Pelastin dan lain-lain yang berjuang mempertahankan maruah diri, agama dan tanah air sejak berpuluh dekad lampau; namun begitu apa yang saya lalui itu ia cukup mencemaskan ahli keluarga.

Al maklumlah menjadi persepsi umum, kanser atau barah sejenis penyakit yang diketahui tidak ada penawar mujarab mengenainya. Jarang penghidap kanser dapat menyambung hayat lebih lama dan mereka seakan terbelenggu (menjadi phobia) dengan penyakit itu. Atas hakikat itu ujian tersebut tempoh hari mencemas dan membimbangkan.

Persepsi terhadap penghidap penyakit ini sangat buruk dan negatif sekali. Kerana phobia itu semua orang; keluarga, kenalan dan kawan-kawan jadi terdiam dan terbungkam apabila mendapat tahu saya menghidapinya. Lantas itu juga mereka yang menyayangi saya bangkit “membela” memberi semangat, mencari penawar dan berdoa.

Musibah yang kecil itu banyak membongkar rahsia dan memberi pengalaman baharu buat saya yang boleh dikongsikan. Setidak-tidaknya saya mengenali erti dan membuat definasi tersendiri kepada sebuah KESAKITAN. Mengenali tatacara kehidupan baharu dan segala macam kerencaman dalamnya yang perlu dipatuhi tanpa pamrih. Menjadi seorang pelanggan tegar hospital, memahami tanggungjawab sebagai seorang pesakit kronik dan juga cara doktor menangani dan menguruskan kita.

Mengenal karektor doktor, jururawat dan juga kaki tangan lain hospital; dari bilik kecemasan, pembedahan (OT), farmasi, radiologis, day care dan sebagainya. Tahu juga macam mana perkhidmatan teksi dan kenderaan awam untuk ke hospital, kerenah parking dan sebagainya termasuk juga rasa dan kelazatan kueh mueh dan makanan di kantin. Dan lebih diketahui ialah teknik perawatan yang saya lalu, kemotrapi. Tidak terlupa mengenai nilai seorang isteri, anak-anak, keluarga dan rakan sobat.

Dari dalam – psikologi sakit mengajar kita sebuah kesabaran dan kecekalan yang maha tinggi.

Kalau sebelum ini diri hanya sangat masak dengan dunia politik dan ragam pemainnya, tetapi dengan sakit itu menjadikan saya mengenali bidang lain pula; perubatan, hospitaliti, karektor doktor, jururawat dan lain-lain. Tahu akan etika perkhidmatan seorang doktor, serta susah senang sang jururawat yang berhadapan dengan pelbagai ragam dan kerenah pesakit.

Manakala berada dalam ward Hematologi, bermalam di sana, untuk memantau kanser, ambil darah, periksa tekanan darah dan sebagainya, (walaupun tidak sama) tetapi dirasakan sama berada dalam penjara. Bagi kakitangan hospital khasnya ward Hematologi, ward itu tidak ubah seperti bilik transit bagi banduan yang telah dijatuhi hukuman mati dan menanti saat di bawa ke dapan Algojo untuk dimuktamadkan.

Ini dapat ditafsirkan daripada wajah-wajah pesakit yang kelesuan dan putus asa di katil, khasnya kaum keluarga mereka yang menunggu siang dan malam. Cemas berbusa-busa di wajah, ia melekat bagaikan getah pulai yang disapu tidak mudah hilang, dibasuh tidak mahu bersih.

Senyuman penjaga pesakit yang kronik juga berbunga resah gelisah, muka berkerut dan berlegar seribu kewalangan. Itulah pengalaman cukup memberi makna kepada saya. Selama lebih enam bulan, bermula Disember 2015 – berulang alik ke hospital (Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia [PPUKM]) di Cheras, yang jaraknya dari rumah 25 km menjalani rawatan rutin dan penuh prihatin merupakan sekolah baharu buat saya.

Kerana senario dan keadaan dilalui itu penting, saya mengambil keputusan untuk menulis segala peristiwa, mencatat detik-detik yang saya telusuri sepanjang mejalani rawatan, baik kemotrapi, berada dalam ward, berada dalam bilik kecemasan, bilik radiologis dan juga peraturan mematuhi pesan-pesan daripada doktor yang menyelia sakit saya.

InsyaAllah saya akan tulis secara bersiri dan disiarkan dalam blog ini, secara berselang seli dengan posting-posting lain, yang tentunya mengenai dunia politik, sosial, budaya dan sebagainya.

Selepas itu saya bercadang untuk mengkompilasikan tulisan ini menjadi sebuah buku “bersejarah” – BIOGRAFI SEBUAH KESAKITAN – Pintu Ajal Belum Terbuka. Semoga saya diberi kesempatan, kekuatan dan semangat untuk menyiapkan tesis kecil ini guna menjadi panduan dan iktibar kepada yang memerlukannya. Salam hormat.

Wangsa Melawati,
Kuala Lumpur. [wm.kl.7:07 pm 10/07/16]


0 Respon to “Perhatian: Pembuka bicara”



  1. Tinggalkan Komen

Tinggalkan komen


Ogos 2016
I S R K J S A
1234567
891011121314
15161718192021
22232425262728
293031  

Kira Imbas (15 April 2009)

Laman