SEPERTI mana ditetapkan saya mendaftar masuk ke wad 6H pada 24 November 2015 jam 9:45 pagi. Saya hanya membawa surat kuning, surat arahan memasuki wad yang dikeluarkan oleh klinik ENT. Mulai hari itu saya rasmi menjadi warga HUKM dengan pendaftaran No: N 617505.

Butiran peribadi dalam wad.
Sebaik masuk saya diberikan persalinan, sepasang baju hospital – sehelai baju dan seluar “sapok” berwarna hijau yang siap tertulis HUKM.
Sejurus kemudian saya diberikan taklimat khas berhubung prosuder dan peraturan sepanjang berada dalam wad. Mengenai masa lawatan, kemudahan-kemudahan disediakan dalam wad dan cara-cara untuk menggunaknya. Tidak terlupa juga penjelasan mengenai apabila berlaku kecemasan dan cara untuk memanggil jururawat.
Seorang jururawat membidik sebuah fail dipenuhi beberapa helai borang datang ke katil saya untuk merekod butiran mengenai saya. Nama, umur, alamat tempat tinggal. Kemudian mengambil tekanan darah, menguji denyut nadi, timbang berat, ukur ketinggian. Saya juga ditanya apakah merokok dan minum (maksudnya minum minuman keras). Satu tag dilekatkan di lengan saya. Tag itu menandakan identiti pesakit dan warga negara HUKM.
Kemudian saya diberi taklimat mengenai peraturan dalam wad. Masa lawatan dari jam 12: 30 hingga 5:00 petang. Makan diberikan sebanyak dua kali, tengah hari dan malam disamping sarapan pagi dan teh waktu petang. Lain-lain peraturaan mengenai penggunaan segala kemudahan dalam wad; bilik air, air panas, bakul sampah dan sebagainya. Beberapa helai risalah juga diberikan ini termasuk risalah cara-cara mendirikan solat bagi orang sakit.
Masuk dalam wad secara automatik kita kena menjadi penghuni wad, berkawan dengan pesakit lain. Mana-mana pesakit yang sudah berhari dalam wad akan menegur kita, bertanya khabar. Pertanyaan yang popular ialah sakit apa, berapa lama dan datang dari mana.

Bersiap sedia untuk memasuki OT.
Manakala yang kurang ramah pula akan melemparkan senyuman, seolah-olah
menyambut kehadiran kita sebagai penghuni wad. Mengenang susana dalam wad itu teringat saya semasa muda-muda dahulu ketika menghadiri pelbagai kursus dimana peserta ditempatkan dalam dome terbuka. Kami tinggal untuk beberapa hari, berkenalan dan berkawan penuh mesra.
Kawan sewad saya yang pertama ialah, sdr Sabri Zakaria. Dia juga merupakan rakan media sosial saya. Kedatangan Sabri ke wad itu dianggap sebagai balik ke rumah keduanya. Dia sudah berkali-kali memasuki wad berkenaan.
Saya tidak perasaan kehadirannya dalam wad itu. Tidak sangka sama sekali. Kerana itu saya tidak menyapanya saat di berjalan di hadapan katil saya untuk mengambil tempatnya di pojok. Dia yang mengecami saya dan mendekati, minta untuk berselfie. Pertemuan ini adalah hasil jalinan menerusi media sosial.
Wad HUKM canggih
Walaupun saya pernah masuk wad tahun 1983, di Hospital Universiti Sains (HUSM) Kubang Kerian, tetapi tidak banyak pengalaman dilalui. Wad di HUKM lebih “canggih” apa lagi kebebasan menggunapakai android, telefon bimbit, laptop dan sebagainya. Kemudahan itu semua menyebabkan kita berasakan seolah-olah tidak berada dalam sebuah bilik pesakit, tetapi semacam bilik rehat sahaja.
Menjelang pembedahan keesokan hari persiapan untuk proses pembedahan dilakukan. Beberapa perkara rutin sebelum pembedahan diteliti. Sebelah petang saya menjalani ujian jantung, melakukan ECG, stress test. Tekanan darah dan kadar gula, sudah semestinya turut diambil. Lebih-lebih lagi gula perlu distabilkan kerana saya penghidap debetis yang lama. Pagi-pagi lagi sebelum menjelang Subuh tekanan darah sudah diambil kemudian diikuti ujian tahap gula. Lebih awal dari itu berat badan ditimbang. Pendeknya persekiaran wad dan perawatan sungguh rapi sekali.
Segala dekomentasi diri dan proses pembedahan juga dipersiapkan. Saya diminta untuk menandatangani persetujuan (consent) pembedahaan.
Sebelah malamnya, sebelum lampu wad ditutup pakar bius datang memberi motivasi dan menerangkan seluk beluk pembiusan. Pakar bius itu berbangsa Cina, beliau memberi penerangan dengan begitu teliti dan cermat sekali. Segala maklumat diri diambil dan ditanya berulang kali, tentang apa ubat-ubatan dan makanan yang mendatang alergik. Semua itu harus dipastikan bagi mengelak kompilasi jika berlaku sesuatu semasa pembedahan.
Pakar bius itu juga memberi tahu jangka masa proses pembedahan sekitar satu jam atau satu jam setengah sahaja. Itu berdasarkan pengalamannya.
Sebelum meninggalkan saya, dan minta saya berihat, pakar bius turut bertanyakan saya, apakah perlu ubat penenang atau tidak. Ubat ini guna memberi ketenangan jiwa bagi menghadapi pembedahaan. Ia untuk mengatasi kemungkinan stress atau pun rasa cemas.
“Pakcik perlu ubat penenang ke, nanti saya berikan,” katanya.
“Penenang, untuk apa?” Tanya saya seakan keliru. Apakah dia melihat saya gelisah menanti saat pembedahan esok maka ditawarkan ubat untuk menenangkan hati dan fikiran?
“Ubat agar cepat tidur dan tidak gerum untuk hadapi pembedahan,” teranngya lagi.
“Oh… tidak perlu,” balas saya. Iya saya tidak memerlukan apa-apa ubat untuk menenangkan fikiran kerana saya sudah siap sedia untuk menghadapinya dari segi mental dan fizikal. Saya sedikit pun tidak cemas menanti saat penuh suspen itu. Sebanyak-banyaknya saya bertakwal kepada Rabuljalil.
Sebelum melelapkan mata malam itu, percakapan saya dengan Sabri di sebelah paginya terngian-ngian di telinga. Sabri mengisahkan mengenai riwayatnya kenapa berada di hospital. Menurutnya dia sudah beberapa kali membuat penetapan tarikh untuk pembedahan, tetapi tidak pernah jadi kerana dia minta tangguh.
Dia menghadapi masalah perut, usus perutnya membesar sehingga mengatasi paru-paru menyebabkan dia mudah menjadi “sosong” menyebabkan sukar bernafas. Doktor Pakar mencadangkan kepadanya agar melakukan pembedahan untuk buang separuh daripada perutnya. Sebelum ini dia sudah menjalani satu pembedahan berkaitan dengan hati.
Mulanya dia bersetuju, tetapi ditangguhkan. Dia mahu mendapat khidmat nasihat beberapa orang pakar lagi.
Memasuki dewan bedah (OT)

Ditolak masuk ke OT.
Memasuki ke OT (Operation Theatre) merupakan pengalaman pertama dalam hidup.
Tepat jam 8:30 pagi jururawat datang meminta saya menukar baju sambil meletakkan sehelain baju berwarna putih. Baju itu merupakan seragam khas untuk pembedahan. Rupanya untuk ke OT ada baju khas. Ia agak pelik sedikit kerana kancing, tali ikatan terletak di bahagian belakang.
Semasa saya sudah bersiap sedia untuk ditolak masuk ke OT, isteri masih belum sampai lagi. Dia menghantar SMS sudah bertolak dari rumah selepas solat Subuh dan tentunya berdoa panjang. Sebenarnya kalau dia tidak sampai pun tidak mengapa. Saya lebih senang menjalani pembedahan atau memasuki ke dewan bedah tanpa diteman dan ditunggu sesiapa. Saya mahu dia atau sesiapa sahaja, datang sesudah semuanya beres. Biar surprise sedikit.
Mernjadi prinsip hidup saya. Hidup kalau pun tidak boleh membantu orang lain tetapi jangan sampai menyusah orang. Misalnya kita tidak mampu memberi pinjaman wang tetapi jangan sesekali meminjam. Sebab itu selama merantau dan hidup di Kuala Lumpur, lebih 35 tahun saya tidak ada hutang dengan sesesiapa walaupun satu sen. Biarlah saya, anak dan isteri makan atau pakai ala kadar sahaja, tidak kisah. Sebaliknya ada orang berhutang dengan saya, yang jumlah cukup untuk rawatan kemoterapi sebanyak 10 kali. Sampai kini belum dilunasi walaupun sudah lebih satu dekad.
Semalam isteri bertanya mahu ditunggu atau tidak. Saya jawab tidak payah, lagi pun wad di HUKM tidak ada ruang untuk menunggu. Tambahan saya tidak ada apa-apa masalah untuk diawasi serapi mungkin. Jadi pagi-pagi selepas Subuh isteri dan anak-anak sudah bergerak dari rumah. Dan kedatangan mereka juga tepat kerana beberapa minit selepas itu saya mula ditolak untuk menuju ke dewan bedah.
Kandati pun saya tenang sahaja untuk menghadapi pembedahan, tetapi bunga-bunga perasaan cemas ada juga bersarang dalam hati, maklumlah ini pertama kali.
Dalam pada itu bermacam-macam cerita atau implikasi digambarkan akibat pembiusan berbagar-bagar dalam benak. Pelawat atau rakan-rakan yang ada pengalaman menceritakan tentang proses bius dan implikasinya. Yang paling banyak diceritakan, kesakitan akan terasa selepas ubat bius habis. Paling menakutkan ia boleh menganggu saraf, pemikiran, menyebabkan memori boleh hilang dan ini agak membimbangkan.
Mengenang ini saya teringat kepada keadaan komputer yang “korup” menyebabkan segala memori dalam hard-disk hilang, menyebabkan seluruh data hilang. Alangkah kalau ini terjadi parah juga. Tetapi saya ketepikan itu kerana ia bukan penjelasan atau pun kenyataan daripada mereka bertauliah. Ia bergantung kepada persepsi seseorang yang dikutip dari cerita atas cerita yang didengarinya.
Menaiki keranda
“Jom Pakcik kita ke OT,” jururawat bersama attandan yang bertugas untuk membawa pesakit ke OT mendekati saya.
Tepat jam 8:45 katil saya didorong keluar dari ruang di wad menuju ke luar wad mengarah ke OT yang terletak di tingkat bawah. Isteri dan anak-anak mengekori dari belakang. Anak perempuan saya sempat merakam gambar saya sedang ditolak, menuju ke OT.
Keluar dari wad menuju ke lif untuk turun ke dewan bedah utama. Saya hanya terbaring di atas katil sambil merasai keenakan berbaur kecemasan di atas katil. Bunyi roda katil bergeseran dengan lantai masuk ke dalam telinga. Menuruti lenggang lenguk perjalanan dan ada kala cepat adakalanya perlahan.
Saya baring bagaikan mayat, mulut tidak habis-habis beristghafar dan berzikir menyebut nama Allah dan memujiNya. Zikir lazim saya, Subhanallah, waalahamdulilah, wailailahaillah ( سُبْحَانَ اللَّهِ وَ الْحَمْدُ لِلَّهِ وَ لاَ اِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَ اللَّهُ أَكْ, ) diselang seli dengan ayat Quran Nurkarim menjadi amalan saya, Al Arsh. Saya membayangkan saya sekujur jasad di atas keranda yang sedang ditolak untuk dimasukkan ke dalam liang lahad. Ah!
Kenangan 45 tahun lalu semasa melalui ujian badanian dalam satu pengajian, kembali ke dalam diri. Iya.. inilah manfaat hasil daripada demostras. Masa kecil dulu saya pernah diusung dalam keranda buluh dalam satu permainan “spiritual” mati olok-olok.
Permainan itu kononnya dilakukan upacara pengembumian. Saya seorang anak yang agak nakal dan tidak tahu takut. Kami ke kuburan, kebetulan dua tiga hari lepas ada jiran yang baharu meninggal. Jadi kerandanya masih belum dirombak dan dibiarkan di atas kubur. (Dulu keranda dibuat daripada buluh setiap kali ada kematian). Kami gunakan keranda itu untuk main mati-mati.
Selepas Asar saya dan kekawan ke kubur. Salah seorang ditawarkan untuk menjadi si mati. Selepas tidak ada sesiapa untuk jadi mati, maka saya menyanggupi. Maka saya masuk ke dalam keranda dan berbaring. Kawan-kawan mengangkat dan mengusung mengeliling wakaf dua tiga kali. Sambil mengusung mereka berzikir dan berselawat. Selepas beberapa kali mengelilingi wakaf mereka letak perlahan-lahan betul-betul dekat dengan kuburan yang baharu itu.
Selepas diletakkan mereka membaca Talkin kemudian bertahlil. Saya yang menjadi mayat terus terkujur kaku di atas tanah, tanpa bergerak sambil kedua belah mata pejam rapat. Kenangan itu datang menerawang ke dalam diri di sepanjang berada atas katil yang sedang ditolak ke bilik OT. Apa dirasai 45 tahun lalu semacam berulang kepada saya ketika ditolak masuk ke dewan bedah. Bertuah juga saya kerana pernah main mati-mati sekurang-kurangnya dapat merasaikan keadaan itu pada saat yang genting begitu.
Iya walaupun pembedahan itu ringkas sahaja, – minor surgery, demikian menurut pakar ENT, tetapi sesekali fikiran liar menerawang juga kepada situasi yang pernah dilalui itu. Angkara bius menyebab kita tidak sedar, ada kes-kes langsung tidak sedar yang membawa kepada kematian? Perasaan itu agak mengusik hati juga. Jadi saya harus sumbatkan diri dengan zikir sebanyak mungkin bagi menghilang kebimbangan itu.
Perjalanan ke lif, dirasakan sekejap sahaja. Memang pun attandan yang menolak cepat dan agak rakus. Mereka sudah tidak ada rasa simpati dan kesian belas lagi. Apa yang mereka tahu ialah menjalankan urusan mereka. Hantar di bilik OT, tinggal dan bila sudah sampai tempoh mereka datang untuk mengambil bagi dihantar semula ke wad. Bila ia sudah menjadi rutin begitulah kerja dan cara bekerjanya. Perasaan (feeling) sudah tidak ada lagi.
Perjalanan ke OT melalui dua lif, selepas masuk lif dari tingkat sesarata dengan wad, kemudian keluar lif dan masuk lif khas laluan pesakit menuju dewan bedah. Sampai di satu sudut saya “disendur” di situ, terdapat beberapa katil lain dengan pesakit masing-masing menanti giliran untuk ditolak ke dalam dewan bedah. Keadaannya seperti di ruang kecemasan, penuh dengan katil.
Di sebelah saya seorang kanak-kanak yang juga berpakaian seperti saya. Dia juga akan menjalani pembedahan, tetapi tidak pasti apa jenis penyakitnya. Dia ditemani ibunya sejak dari luar lagi. Wajah si ibu kelihatan sugul sekali. Melihat itu menimbulkan simpati saya kepada kanak-kanak itu memandangkan dia kanak-kanak yang kalau ikut keadaannya tidak sepatut berada di situ, tapi itulah dinamakan takdir. Sakit dan ujian tidak terkecuali dan mengikut usia. Ia boleh singgah ke atas sesiapa sahaja yang telah ditetapkan.
Menanti di situ menunggu rasa sahaja bila akan ditolak ke ruang pembedahan. Saya menanti-nanti apakah yang akan dilakukan seterusnya. Saya mengira saya akan disuntik dengan obat tertentu. Tidak ada penerangan apa-apa dibuat lagi. Cuma jururawat dalam OT bertanya saya, apakah nama saya “Mohd Sayuti bin Omar”, dia mahu pastikan bahawa saya adalah saya. Atau pertanyaan itu termasuk dalam proses menguji ingatan saya dan disamping pengesahan bahawa pesakit yang berada di katil itu adalah benar saya.
Di sudut yang tersendur itu, saya hanya menanti tindakan seterusnya. Di dinding tergantung tiga keping potret pembesar yang salah seorangnya memedihkan mata untuk melihatnya. Tetapi apakan daya, tidak ada apa-apa yang hendak direnungkan. Fikiran sesekali berputar ke luar mengintai isteri dan anak-anak, kadang kala sampai ke rumah. Jenguk masuk ke dalam rumah. Anihnya tidak ada apa-apa yang tersandar dalam kepala.
Tiba-tiba katil saya bergerak. “Encik Sayuti kita nak masuk ke OT,” ujar jururawat perlahan dan sangat jelas bagi telinga saya.
“Ok,” balas saya menurut sahaja dan terus menanti rasa dan tindakan selanjutnya. Mulanya saya ingin menolek untuk merenung isteri dan anak-anak, tetapi mereka sudah terhalang oleh tembok OT.
Kemudian katil saya ditolak masuk ke satu ruangan khas. Bilik yang aneh. Di bahagian atas ada alat semacam “sakak” ayam. Kepala saya diletakkan betul-betul bertentangan dengannya. Kiri kanan ada wayer dan beberapa barang berbentuk kotak, penal. Satu wayer dimasukkan ke tangan saya menerusi “tali hidung” (pot) yang sedia dipasang sejak dalam ward.
Ada beberapa orang team bedah. Saya tidak kenal siapa mereka. Mukanya bertutup dengan topeng macam orang atas kapal angkasa. Tetapi jauh di sudut hati saya mengira dia ialah Prof Madya Razif, doktor pakar yang mula-mula memeriksa saya semasa saya mendapatkan pemeriksaan minggu lepas. Menurutnya dialah yang mengetuai pembedahan?
Dalam menanti dengan penuh perasaan itu, tiba-tiba saya hanyut dan ghaib. Saya tidak tahu apa yang berlaku lagi selepas itu. Pakar mana yang berdiri di kepala dan hujung kaki dan sebelah kiri dan kanan. Semua muka berbungkus macam hantu. Tidak kenal sesiapa. Mereka juga tidak bercakap antara satu sama lain. Mereka berkomunikasi menerusi kod atau pun body language yang mereka sahaja fahami.
Sedar-sedar saya sudah berada di luar.
“Encik Sayuti, kita nak bawa balik?” Begitahu jururawat yang membawa saya tadi.
“Nak balik?” Saya terkejut dalam keadaan sedar dengan tidak. Mumai. “Kenapa? Tidak jadi operate ke?” Tanya saya sedikit gusar takut ada apa-apa yang tidak beres, sedangkan saya mengharap ianya semua OK.
“Dah selesai kita nak bawa ke wad,” jelas jururawat itu ia sungguh melegakan.
Terasa sekali proses itu begitu cepat sekali. Tempoh pembedahan selama satu jam lebih itu dirasakan hanya dua minit setengah sahaja. Saya sangat gembira dan seronok dengan apa yang berlaku. Rasa gerum dan takut yang bertandang di hujung hati tidak sediki pun menakutkan saya.
Begitulah keadaan kalau kita tidak sedarkan diri. Apa yang dilakukan kepada kita tidak diketahui. Fikir saya begitulah juga setelah mati nanti kelak. Masa yang dilalui sekejap sahaja, bagi yang ralik dan lena, tetapi menjadi panjang kepada yang resah dengan penantian. Soal tempoh adalah subjektif kepada seseorang hamba itu.

Dalam wad diteman anak, sebelah Sabri Zakaria.
Apakah masa bagi seseorang itu sesudah mati kelak bergantung kepada keadaan dirinya. Amalannya. Dia akan merasakan masa di akhirat nanti begitu panjang dan menjemukan. Begitulah yang diajarkan. Sebaliknya ia akan menjadi cepat dan “bangat” bagi mereka yang penuh dengan amalan dan bersiap siaga.
Keadaan ini dapat dipadankan dengan apa yang berlaku hari ini. Masa itu akan cepat berlalu bila kita ralik dan seronok dengan sesuatu keadaan. Semisalnya masa bertemu kekasih atau menonton sesuatu pertunjukkan yang menggembirakan kita, ia akan berlalu sangat cepat. Masa berdecak lalu tidak disedari. Sebaliknya kalau menanti sesuatu yang memerlukan segera ia akan lambat, menjemu dan meresahkan. 🇲🇾
Wangsa Melawati.
29/03/16
0 Respon to “Keenam: Menaiki keranda”