18
Ogo
16

Ketujuh: Keluar OT disambut MB

TIDAK ada sesuatu yang paling gembira dan membahagiakan apabila proses pembedahan berjaya dilakukan dengan selamat dan jaya. Sepanjang tempoh pembedahan tidak ada apa-apa yang tidak diingini berlaku. Seperti diceritakan, tempo pembedahan tidak diketahui, tahu-tahu saya sudah hendak dibawa ke wad.

image

Ahmad  menziarahi saya bersama Dr Wan Suhaimi.

Syukur panjang saya kepada Allah SWT yang memberi kesempurnaan itu. Tidak pernah terlupa juga kepada setiap mereka yang mendoakan ke atas kesempurnaan itu. Orang paling berharga dan dihargai ialah isteri, anak-anak serta menantu. Mereka sudah pasti berdoakan untuk saya.

Tidak terlupa walaupun ibu tidak dapat bersama, kerana nun jauh di kampung di Rantau Panjang yang berjarak 403 km, juga berdoa untuk saya. Mungkin pada malam sebelumnya ibu mengadakan solat Hajat untuk mendoakan kesejahteraan saya. “Masalah” dan alasan yang sering dihadapi orang tua, menyebabkan beliau tidak hadir bersama untuk berada di sisi. Namun saya tetap yakin dan percaya ibu melihat saya, seumpama Tuhan mengawal saya. Seorang ibu kasihnya kepada anak tidak pernah terucap persis sang suami yang ikhlas cintanya kepada isteri akan memendamkan perasaan itu tanpa disebut.

Saya bermadah mengenai kasih dan ingatan seseorang ibu kepada anaknya. Harapan dan bantuan doa tidak payah diminta-minta daripadanya sebab sebaik terbentuk janin (kita) dalam kandungannya dia tidak habis-habis mendoakan untuk kesejahtraan kita. Bahkan sebelum kita terbentuk lagi dia sudah memohon kepada Tuhannya agar mengurniakan seorang anak yang baik. Kasih bapa dan ibu membawa ke syurga.

Sesudah pembedahan tidak ada apa-apa simptom atau pun alahan. Kepala tidak pening dan tekak tidak loya. Kandati tubuh masih lemah kerana ubat bius, tetapi ia tidak meralatkan saya. Ini terbukti apabila saya terus dapat menerima tetamu pertama saya selepas pembedahaan.

Tetamu atau orang pertama menziarahi saya selepas bedah ialah Ahmad Yakob Menteri Besar Kelantan. Belum sampai 10 minit saya keluar dari dewan bedah, beliau sudah terjolor sampai bersama dua orang pegawainya, dan teman seharian saya Dr Wan Suhami Wan Daud (Dr Phd).

Agak terkejut juga saya dengan kedatangan tetamu terhormat itu. Tidak sangka beliau hadir menziarahi saya. Apa lagi saya tidak pun dimaklum kedatangannya itu. Kunjungan itu atu kejutan.

Seperti setiap kali bertemu kami bersalaman penuh mesra dan keakraban. Ahmad meminta saya supaya jangan banyak bergerak. Dia begitu prihatin sekali. Dia sendiri tidak banyak bertanya dan hanya memerhati sahaja, seakan-akan bimbang untuk bercakap bagi mengelak saya keletihan. Kunjungan MB itu ternyata memberi kekuatan kepada saya. Al maklumlah MB Kelantan yang juga timbalan Mursyidul Am Pas, pemimpin kerohanian kedua dalam Pas. Seharusnya saya berbangga dan bertuah.

Bagaimana pun betapa niat dan tujuan beliau ikhlas tetapi kapasitinya sebagai orang politik kunjungan beliau itu tetap disuluh dari mata politik. Semua gerak gerinya sama ada sengaja atau tidak tetap ditafsirkan dengan berbagai makna. Kalau pun mereka ikhlas tetapi pengulas dan penyokongnya akan membuat tafsiran sendiri untuk kepentingan diri. Teori 4C tetap akan berlaku, “mengeksploitasi”.

Demikian buruknya persepsi kepada orang politik. Walaupun kunjungan Ahmad itu sebagai tanggungjawab pemimpin dan atas dasar perhubungan antara saya dengan dia, tetapi ia diambil kesempatan untuk kepentingan politiknya. Sekejap sahaja gambar Ahmad menziarahi saya dan kami bersalaman didedahkan dan menjadi viral dalam Facebook dengan keterangan yang cukup menyinis saya dan memberi muka kepada Ahmad.

Kononnya kunjungan ziarah itu menunjukkan kebaikan dan keikhlasan pemimpin Pas itu, yang sedia melawat saya walaupun saya vokal mengkritiknya. Dalam satu posting berbunyi; walaupun dikritik tetapi MB tetap menziarahi MSO, ini menunjukkan betapa tingginya akhlak pemimpin Pas. Adus…

Gambaran yang hendak diberikan, Ahmad seorang baik dan tidak mengambil hati kepada saya yang mengkritiknya. Mulanya saya tidak mahu menyebut di sini macam mana MB Kelantan itu boleh mengunjungi saya. Biarlah permainan politik murahan berlalu begitu sahaja. Kita yang sihat politik sepatutnya tidak terperosok sama dalam pemahaman politik yang sempit. Tetapi kerana ingin mendedahkan perkara benar, elok kalau saya mengisahkan macam mana MB Kelantan boleh melawat saya.

Tanggal 25 Disember, 2015 adalah tarikh yang dijanjikan untuk kami bertemu di Kuala Lumpur. Ia ditetapkan dua minggu sebelum itu. Pertemuan itu atas permintaan saya. Saya telah memgutus surat kepadanya. Tujuan pertemuan itu bagi mendapat penjelasan beberapa perkara berkaitan dengan kerajaan Kelantan yang ada kena mengena dengan dirinya, terutamanya mengenai beberapa tuduhan terhadap pentadbirannya yang dilihat pincang dan kegagalannya selaku MB menyelesai masalah yang timbul. Bagi saya beliau perlu memberi penjelasan atau menjawab segala kritik itu agar tidak mengelirukan orang ramai.

Saya mengambil inisiatif menulis surat kepadanya menyatakan maksud dan keperluan saya untuk berjumpa dengannya. MB menjawab menyatakan persetujuan untuk berjumpa dengan saya. Pada mulanya tarikh diberikan pada 7 November 2015 sebelum saya ke Sri Lanka, tetapi kerana kebetulan pada masa itu saya ke luar negeri ia dibatal dan dianjakkan pada tarikh 25 Disember. Tanggal 25 Disember adalah tarikh temujanji kedua.

Tarikh 25 itu juga berkebetulan kerana Ustaz Mat ada urusan di Kuala Lumpur. Kalau tidak silap menghadiri persidangan Majlis Raja-Raja. Jadi beliau mengambil pelung untuk berjumpa dengan saya. Malangnya pada tarikh ditetapkan itu sekali lagi tidak kesampaian saya berada dalam wad untuk menjalani pembedahan. Gara-gara itu pertemuan itu tidak dapat diadakan pada tarikh ditetapkan. Kebetulan masa saya operate (27 Disember) beliau masih berada di Kuala Lumpur dan mengambil peluang untuk menziarahi saya.

Saya percaya dan yakin beliau ikhlas melawat saya dan tidak pun ada niat untuk mengeksploitasikan bagi kepentingan politiknya. Saya percaya dan yakin beliau tidak pandai bermuka-muka dalam kehidupan, apa lagi mempolitikan kunjungan itu. Hubungan saya dengannya bukan intim setelah beliau menjadi MB, tetapi sebelum itu lagi. Yang menjadi masalah ialah para pendokong Pas yang suka mengambil apa sahaja kesempatan. Jadi kunjungan Ahmad itu adalah sebagai kunjungan seorang pembesar kepada rakyatnya sahaja.

image

Bersama Ahmad ketika mengunjungi pejabatnya di Kota Darulnaim.

Tidak sampai setengah jam Ahmad berada bersama saya, kemudian beliau pergi. Sementara pertemuan yang dirancangkan itu tidak terjadi sampai kini. Mungkin ia sudah dianggap selesai?

Ahmad boleh dikatakan merasmi upacara melawat saya oleh sanak saudara dan rakan-rakan terdekat. Saya tidak menghebahkan akan pembedahan itu. Hanya rakan-rakan terdekat atau yang bertemu setiap hari sahaja diberi tahu. Berita pembedahan itu tidak pun saya masukkan ke dalam Facebook atau pun blog. Saya tidak mahu menyusahkan orang.

Pun rakan-rakan yang makrifat dengan saya dapat menghidu apa yang berlaku kepada saya. Dan ada juga yang tidak sedar pun saya masuk wad ataun dirawat kerana hubungan dan kegiatan saya seharian di media sosial tidak terjejas. Saya terus update dan membuat pengeposan baharu dalam blog, facebook dan twiter.

Masa di atas katil pun saya masih membuat pengeposan baharu dalam blog, dan pengeposan ini menyebabkan rakan-rakan media sosial tidak mengsyaki sesuatu.

Wangsa Melawati, Kuala Lumpur.

Edit 9/9/16


0 Respon to “Ketujuh: Keluar OT disambut MB”



  1. Tinggalkan Komen

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s


Ogos 2016
I S R K J S A
1234567
891011121314
15161718192021
22232425262728
293031  

Kira Imbas (15 April 2009)

Laman


%d bloggers like this: