Arkib untuk September 2016

25
Sep
16

Kesepuluh: kemo yang pertama

KIMOTRAPI merupakan antara prosuder atau keadah pengubatan untuk membunuh sel kanser. Pengubatan ini bertindak menjadi regim untuk menentang dan membunuh sel kanser. Setakat ini rawatan keadah ini terbaik dalam aspek rawatan moden (medis).

Bagaimana pun rawatan ini dianggap sebagai satu keadah yang tidak digemari dan menakutkan kerana ia dikatakan menyeksakan mereka yang melaluinya. Betapa tidak prosuder ini bukan sahaja membunuh sel jahat tetapi ia turut membunuh berjuta-juta sel lain yang baik. Keadah ini akan membunuh kedua-dua sekali sel baik dan sel jahat.

image

Menjalani kemotrapi.

Kesan sampingan yang dihidapi setelah atau semasa menjalani rawatan kemotrapi juga sesuatu yang menggerikan. Ia bukan sahaja setakat meninggal kesan kepada fizikal seperti keguguran rambut, kulit terbakar, kuku menjadi hitam, muntah, loya, mual, kulit bergelupas, bibir mulut pecah dan sebagainya, tetapi ia boleh menjejaskan struktur organ dalaman lain seperti; usus, hati, buah pinggang, paru-paru dan sebagainya.

Tidak menghairanlah kenapa begitu teruk sekali kesannya. Apabila membelek sejarah bagaimana kaedah pengubatan ini ditemui ia memberi gambaran yang menggerikan. Keadah pengubatan cara ini tidak menggunakan bahan-bahan biasa sebagai penawarnya, tetapi ia menggunakan bahan kimia bernama “mustrad”. Bahan kimia ini digunakan semasa dalam Perang Dunia.

Penemuannya bermula pada Perang Dunia I, apabila gas mustrad digunakan sebagai agen perang itu disedari telah memberi sesuatu kesan yang menakjubkan. Ia disedari apabila sekumpulan orang tanpa sengaja terkena dengan bahan berkenaan didapati tahap keupayaan (imuniti daya tahan yakini darah putihnya rendah). Darah putih adalah imuniti sistem pertahanan dalam tubuh manusia.

Lanjutan itu para doktor membuat kesimpulan bahan kimia itu boleh digunapakai untuk dijadikan regim bagi menentang pembiakan sel kanser. Tahun 1940 penghidap kanser limpoma mula disuntik ubat melalui darah dan bukan menerusi pernafasan dengan mencerekopkan cerong ke hidung. Kaedah ini menunjukkan perkembangan yang lebih baik.

Sejarah penemuan dan penggunaan bahan kimia itu menggambarkan betapa parah dan kejamnya kesan kemotrapi. Makanya apabila saya menceritakan kepada rakan-rakan yang saya akan melalui rawatan berkenaan macam-macam nasihat diberikan kepada saya. Hampir 90 peratus orang yang ditanyai memberi nasihat agar tidak menjalani rawatan berkenaan. Mereka mahu saya mencari alternatif lain sebelum memutuskan untuk kemo.

Semua cerita itu berdasarkan hearsay dan bukan pengalaman dihadapinya sendiri. Mereka mendapat maklumat dari mulut ke mulut atau daripada sumber pembacaan mengenai orang pernah melalui rawatan itu yang menghadapi kesan buruk. Macam-macam kesan dan akibat daripada kemo diceritakan. Semuanya negatif ini menyebabkan timbul juga rasa seram di hati. Orang yang mendengar juga jadi kecut perut.

Sekiranya saya mendengar serta mengambil peduli kepada cerita-cerita itu, mungkin saya juga akan berfikir dua tiga kali untuk menerima rawatan ini yang boleh jadi membawa kepada membatalkannya. Setengah pesakit hanya sanggup menjalani proses ini separuh jalan kemudian berundur untuk mencari alternatif lain. Mungkin mereka tidak tahan dengan kesan-kesan sampingan itu. Sebab itu setengah orang sanggup mengambil alternatif lain misalnya dengan memakan herba dan ubat-ubatan kampung.

Kerana kanser menakutkan dan dianggap belum ada penawar mujarab, maka ada juga yang sanggup berbelanja puluhan ribu untuk membeli ubat-ubatan atau pil bagi tujuan menentang sel kanser. Mereka yang berwang dan kaya sanggup ke luar negeri, China, India dan juga Eropah untuk tujuan berubat. Berpuluh bahkan beratus ribu ringgit terpaksa dikeluarkan. Beberapa wakil rakyat yang saya kenali yang diserang kanser berulang alik ke China beberapa kali. Kononnya pengubatan tradisional China memberi kesan yang baik.

Begitu juga dengan India. India mempunyai kaedah tersendiri dalam pengubatan kanser. Khabarnya cara pengubatan tradisi China dan India boleh menyembuhkan kanser atau mengurangkannya. Maaf saya kurang yakin, mungkin kerana sudah mendapat maklumat atau lebih percaya kepada kaedah modern secara saintifik. Saya pula seorang yang lebih menggunakan akal dan berfikiran secara logikal dalam sesuatu.

Dua orang wakil rakyat yang menghidapi kanser, keduanya dari Kelantan telah mendapat rawatan di China dan India, dukacita rawatan itu tidak dapat menyelamatkan mereka. Usia mereka pendek. Akhirnya kanser membawa mereka ke pusara. Sudah ketentuan begitu bagi mereka.

Ketakutan atau salah anggap mengenai kemotrapi ini bukan sahaja semasa atau sesudah proses pemasukan regim kanser ke dalam tubuh kita. Tetapi beberapa prosuder lain sebelum proses itu dimulakan juga menakutkan. Ada gambaran-gambaran yang perit dan ngeri apabila mendengarnya apa lagi berhadapan sendiri.

Seseorang yang menghidap kanser, sebelum melalui prosuder berkenaan, perlu disahkan dahulu tahap (stages) kanser dihidapinya bagi disesuaikan dengan ubat yang akan digunakan atau prosuder yang hendak dilakukan. Untuk tujuan itu ada beberapa prosduer yang perlu dilaluinya. Selain pengambilan darah, ialah mengambil air tulang belakang atau sum-sum (bone marrow). Pengambilan air tulang belakang atau sum-sum dari pinggung (punggung) ini penting dan di sinilah tahap kanser itu diketahui selain menerusi pengimbasan (x-tray), CT Scan atau Pet Scan.

Apabila saya memberi tahu ini, seorang kawan kepada kawan saya memberi nasihat dan pencerahan panjang lebar. Kawan kepada kawan saya bukan sembarangan orang, dia bergelar Dato’ dan bekas pengarah di sebuah jabatan kerajaan. Biasanya orang bergelar Dato’ dianggap berpengetahuan walaupun tidak semua begitu kerana ada pangkat itu diperolehi secara beli atau Dato’-Dato’ yang diimport dari luar negara? Apa diceritakan berdasarkan kepada peristiwa yang dilalui isterinya.

“Kalau boleh elaklah dari diambil air tulang belakang,” katanya penuh berhati-hati memahami apa yang saya tanggung. Bicaranya lembut seakan-akan mahu menyembunyikan sesuatu daripada saya. Dia memandang ke muka saya dengan serius. Saya membalasnya dengan sedikit tanda tanya?

“Kenapa?” Tanya saya sudah dapat mengagak apa yang akan ditutur seterusnya, dari wajah mukanya saya dapat membaca dia serius.

“Janganlah…kalau boleh cari ikhtiar lain,” katanya pendek seolah tidak mahu menyebut langsung apakah kesannya. Mungkin bimbang kerana ia akan menggetarkan saya. Semacam apa dilalui satu tragedi menakutkan.

Akhirnya dia menceritakan juga apa dilaluinya. Isterinya meninggal selepas tidak sedarkan diri setelah proses pengambilan air tulang belakang (bone marrow) selesai. Isterinya berhadapan dengan kanser payu darah ditahap empat.

Kejadian dan pengalaman dilalui itulah menyebabkan dia menasihati saya agar tidak membenarkan air tulang belakang diambil atau dibuat bone marrow. Bersungguh benar dia meminta saya agar tidak melalui proses berkenaan.

“Kita akan megerekokkan belakang macam undang…,” jelasnya menceritakan macam mana proses itu dilakukan. Cara dia bercerita menggambarkan kesakitan dan keazaban. Saya sendiri tidak dapat bayangkan keadaanya. Cara dia memberi tahu itu seolah-olah cara itu sangat menyakitkan.

Back view of a male patien laying on his side. The insertion site for bone marrow aspiration is highlighted.

Gambarajah proses bone marrow.

Saya hanya mendegar dengan penuh prihatin dan menganggap ia sesuatu nasihat yang ikhlas. Fikiran melayang jauh beberapa jurus tanpa melayani ceritanya itu. Saya tidak mahu terganggu dengannya. Cerita itu bukan positif buat saya. Keputusan sudah saya buat. Saya seorang bukan mudah mendengar nasihat yang tidak praktikal begitu. Penerangan Dr Phakariah Abu Bakar dari klinik Hemato memberikan saya kepercayaan dan keyakinan. Saya tidak ada cara lain untuk mengubati melainkan dengan cara itu sahaja.

Prinsip saya apabila saya menyerahkan  atau membuat keputusan ia sukar untuk dirombak dan diubah lagi. Saya akan meneruskannya sampai ke akhir, biarlah pengakhiran yang memberi jawaban. Dan soal hidup dan mati adalah dalam genggam Rabul Jalil.

Mula menjalani kemotrapi

Tanggal 27 Disember 2015 saya diminta memasuki wad sekali lagi bagi persiapan menjalani proses kemotrapi. Sebelum menempuhi proses yang ditakuti itu; kesihatan saya serbi serbi harus dipantau. Darah, tekanan darah, gula dan jantung. Saya juga menjalani ujian ultrasound untuk menentukan kekuatan jatung saya. Inilah kali pertama dalam hidup lebih setengah abad saya menjalani proses ini.

Kemudian saya perlu membuat Pet Scan (pasition emission thomography) untuk menentukan tahap kanser. CT Scan (computed thomogrphy) yang dibuat pada (seminggu sebelum itu) tidak dapat mengesahkan kedudukan. Imbasan imej yang ditunjukkan menerusi x-try itu tidak begitu jelas. Lantaran itu doktor menasihati saya agar menjalani Pet Scan untuk melihat dengan lebih jelas kedudukan atau pun tahap kanser. Kebetulan pula mesyen Pet Scan di PPHUM ketika itu rosak menyebabkan saya direkmin agar menjalaninya diluar. Keputusan akan diperolehi pada hari sama sebaik proses itu selesai. Petscan, satu lagi termalogi perubatan yang harus saya pelajar dan mengetahuinya.

image

Mesyen Pet Scan.

Peralatan ini dikira paling canggih di antara beberapa mesyen imbasan imej yang ada. Hasil atau imej ditunjukkan lebih halus berbanding dengan MRI atau CT Scan. Peralatan ini adalah kombinasi dua teknologi atau kecanggihan dua dalam satu, CT Scan dan Pet San. CT Scan hanya menunjukkan imej hitam putih sahaja tetapi Pet Scan menerakan imej dalam warna. Kegandaan imej yang diperolehi menerusi Pet Scan.

Sebenarnya bagi mereka yang lemah semangat dan takut, melalui imbasan imej ini pun sudah menggerunkan. Peralatan ini berbentuk atau seperti melalui sebuah terowong. Kita akan baring atas katil persis keranda kemudian ia melalui terowong.  Kaki dan tangan diikat, kita berkedudukan seperti mayat. Selama menjalani proses ini kita tidak dibenarkan bergerak, batuk, berdaham atau sebagainya. Kita perlu mengakukan diri sediam mungkin.

Bagi mereka yang alahan akan berhadapan dengan implikasai ketika melalui proses ini. Ada yang muntah bahkan ada yang pengsan. Ia bergantung kepada kondisi atau penerimaan dan ketahanan tubuh seseorang. Sebelum seseorang melalui ujian ini tekanan darah dan kadar gula juga akan diperiksa dan dipantau. Kadar gula atas 9 mmol tidak dibenarkan melalui proses ini. Kadar gula tinggi dalam darah menyebabkan imej yang diterakan tidak jelas menyebabkan proses Pet Scan itu membazir.

Menjalani imbasan dengan Pet Scan ini juga kurang baik kerana ia boleh menjejaskan saraf dan sel dalam tubuh kita. Sebelum melalui mesyen canggih ini kita akan disuntikan dengan cecair radio aktif (rediasi). Tujuan rediasi dimasukkan ke dalam tubuh kita untuk mengenal pasti kedudukan DNA sel kanser.

Sementara sewaktu proses itu hendak dimulakan seseorang yang melalui proses itu akan disuntik dengan cecair (nama) kontras. Semasa cecair ini dimasukkan seluruh tubuh akan kediginan dan meruap panas. Saat inilah bagi mereka yang ada atau mengalami kompilasi berasa tidak tahan dan kemungkinan tidak akan meneruskan proses Pet Scan.

Kaedah proses ini kurang baik kerana ia boleh mematikan sel. Rediasi yang dimasukkan boleh mengancam sistem perkembangan sel dan boleh menyebabkan kerosakan kekal terhadap sel ini mengakibatkan sel-sel menjadi cacat.

Saya tidak diberi maklumat dan memiliki pengetahuan itu semua. Sekali lagi kerana yakin dan percaya kepada kepakaran doktor saya menyerah sahaja. Alhamdulilah semasa melalui ujian mesyen ini tidak ada apa yang berlaku.

Dan ternyata berbaloi proses Pet Scan yang saya lalui itu menjelaskan akan kedudukan sel kanser dalam tubuh saya. Ia berada dalam tahap dua.

Wangsa Melawati/HUKM

12-25/09/16 reedit 8/3/17

09
Sep
16

Kesembilan: Disahkan kanser Lymphoma

PERTEMUAN susulan dengan doktor pakar ENT pada 9 Disember 2015 untuk memantau pembedahan tonsil memuktamadkan sebuah penantian yang sudah diduga akan natijahnya. Namun walaupun begitu masih tersisa harapan dalam diri semoga ia tidak begitu rumit dan komplikasi.

Apabila doktor menjelaskan apa yang sudah tersurat maka ia membuatkan saya tidak boleh “mengogeh-ogehkan” apa-apa lagi. Hanya dengar dengan penuh pasrah. Keputusan dan hasil yang diuji itu hanya boleh diubah oleh Tuhan Rabuljalil sahaja. Kita hanya mampu bermunajat dan berdoa.

image

Selepas menjalani PatScan

“Pak cik sudah tahukan hasil ujian makmal tisu tonsil tempoh hari?” Kata doktor perempuan bangsa Melayu dengan penuh hati-hati sebaik saya tenang mengambil tempat di hadapa meja dinasnya. Saya sedar dia mengamati wajah saya sedalam-dalamnya.

Dia sudah biasa berhadapan dengan pesakit yang “menanti” keputusan dari setiap apa yang diujikaji. Keadaan pesakit yang mahu memperolehi penjelasan hasil biopsi tidak ubah seperti pesalah dibawa Akta 302 yang boleh membawa mati ditali gantung menanti keputusan hasil selepas selesai perbicaraan penuh.

“Amm…,” kata saya perlahan menunjukkan reaksi yang tenang dan bersedia mendengar penerangan seterusnya. Sebenarnya saya sudah tahu dan mengagak apa yang berlaku, dan punishment  yang akan dikeluarkan. Lagi pun doktor pakar ENT di wad sudah membayangkan hasilnya kepada saya pada malam saya dirujuk ke klinik itu selepas peristiwa muntah darah malam mengejutkan, 4 Disember 2015.

“Pakcik ada kanser,” katanya dalam bahasa mudah dengan wajah bersimpati. Menerima itu saya menelan air liur perlahan-lahan, biarpun nampak mudah terasa panjang proses penelannya.

Isteri yang berada di sebelah terdiam. Saya tidak dapat merasai apakah perasaannya ketika itu. Pasti denyutan jantungnya menjadi kencang sebaik menerima pengesahan berkenaan. Baginya penjelasan doktor itu sesuatu yang muktmad yang harus diterima dengan penuh tabah dan pasrah. Apalah yang dia mampu lalukan selain itu? Bagi seorang perempuan air mata adalah “aspreasi” jiwanya. Tetapi saya bernasib baik kerana tidak pernah terpandang titisan air matanya disepanjang melalui detik-detik yang kritikal ini.

Seharusnya saya tidak membawa sama isteri untuk mengetahui apa-apa perkembangan mengenai diri saya. Saya tidak perlu menyusah dan memenderitakannya. Itulah yang berlaku dan disaksikan dalam drama-drama Melayu atau novel; pesakit kanser akan menyembunyikan sakitnya kerana mahu mengelak orang lain turut sama merasai dan berkongsi stress.

Tetapi itu bukan prinsip saya. Saya terbuka dan suka berterus terang. Biarlah isteri dan sesiapa sahaja termasuk anak-anak mengetahui kedudukan (sakit) tanpa melindungi atau “bersoksek soksek” dengannya. Kita tidak perlu menabir diri kita dengan tirau kepalsuan. Bagi saya dalam hidup ini tidak ada apa yang perlu dirahsiakan melainkan kita dengan Allah.

Doktor lelaki berbangsa Cina yang ada bersama memberi penjelasan lanjut bertujuan menenangkan kami suami isteri. Penjelasannya sangat tertib, melegakan. Bicaranya penuh diplomasi secara tidak langsung mengawal perasaan saya dan isteri saya juga. Dia tidak mahu saya terkejut dengan apa yang berlaku.

“Jangan bimbang pakcik, kanser ini tidak serius dan juga senang untuk ditangani, Lymphoma,” kata-katanya sekaligus menjelaskan kanser itu tanpa menghurai secara mendalam jenis dam implikasinya. Penjelasan itu menyenangkan boleh meredakan debaran di dada. Sebuah kata-kata penuh psykologis yang menguatkan semangat. Di sinilah kehematan seorang doktor, ada kalanya cara seseorang doktor menangani pesakit sudah merupakan penawar mujarab lebih baik daripada segala ubat-ubatan yang diberi. Sebab itu tatkala sakit sementara menanti ketibaan doktor, sebaik melihat wajahnya tiba-tiba sakit mereda secara automatik.

Waktu itu tahap kanser yang saya hadapi masih belum diketahui, ia hanya diukur kepada tahap atau keadaan (kondisi) darah sahaja. Atau dalam kata lain hasil makmal itu mengesahkan sel kanser dalam tubuh saya ada yang aktif.

“InsyaAllah pakcik,” tambah doktor perempuan itu lagi  memberi keyakinan sambil menegaskan agar saya mengikut prosuder perawatan yang akan dilalui. Perkataan “Insya-Allah” adalah sebuah doa dan pengharapan yang sebjektif?

“Selepas ini pakcik akan ke klinik Hematologi, kes pakcik dirujuk ke sana. Hemato ialah klinik berkaitan dengan darah. Di sana pakcik akan mendapat penjelasan lanjut dan juga prosuder rawatan,” jelasnya lagi. Tambahnya kerja atau penangannya mengenai saya sudah selesai. Kesan pembedahan tonsil memuaskan.

Atas segala penjelasan dan nasihat itu saya hanya akur dan cuba memahami apa itu Hematologi. Sebelum ini perkataan itu haram tidak pernah wujud dalam kamus hidup saya. Ia adalah entry baharu dalam hidup saya. Oh.. sakit ini menambahkan pembendaharaan kata dan ilmu buat kita.

Setelah mengetahui keputusan itu secara rasmi dan penjelasan dari segi prosuder rawatan, apa lagi yang hendak dan boleh saya kata melainkan redha dan pasrah. Tunduk penuh keakuran penuh tawaduk dan insaf. Iya saya terima, itulah termampu diucap dan itulah reaksi sewajarnya. Siapa pun tidak akan terlawan takdir yang dicampak ke atas diri kita. Laa hula wa Laa Quwwata illa Billah  (وَلَاْ حَوْلَ وَلَاْ قُوَّةَ اِلَّاْ بِالله ِ)
– tidak ada upaya melainkan Allah.

Walaupun ada bahasa lain yang terperap di hati namun itulah perkataan yang paling afdal. Untuk seketika saya berpandangan dengan isteri sejenak tanpa disedari oleh dua doktor muda itu. Hati kami berbicara dengan bahasa penuh kerahsiaan rasa.

Kandatipun saya sudah bersedia menerima hakikat, kerana sudah membayangkan dan mendapat maklumat dari doktor di ENT, keputusan rasmi itu tidak bisa diubah hasil biopsinya. Justeru melainkan ia diterima dan bersedia menghadapi tindakan lanjutnya.

Isteri yang menjadi teman setia penuh kecintaan tidak terkata apa-apa. Dia juga kehilangan kata tidak terkutip tanpa menunjukkan reaksi ketara. Namun saya memahami perasaanya ketika itu. Dia juga perlu menerima hakikat bahawa suaminya menghidap sakit (kanser) merupakan sakit kronik yang perlu disokong sepenuhnya. Nilai kasih dan cinta juga perlu ditambah dan dikeluarkan kesemuannya. Saya sudah menghayati perasaanya sejak saat doktor memaklumkan hasil ujian makmal terhadap specimen tisu tonsil itu tempoh hari. Cuma apalah yang dia mampu bersuara mengenainya melainkan pasrah dan redha. Hidupnya selepas itu disendaki doa-doa panjang dan mendalam. Tidur dan makannya juga saya perasaan ia sangat terganggu?

Sepanjang perjalanan pulang selepas meninggal klinik ENT itu, benak dipenuhi dengan fikiran bersiap sedia untuk menghadapi proses rawatan. Kemotrapi? Iya kemotrapi satu lagi perkataan menambahkan pembendaharaan kata-kata dalam kamus hidup saya. Sebelum ini saya hanya mendengar perkataan itu tetapi tidak mengetahui apa yang berlaku sebenarnya. Proses dan kesannya. Saya lebih banyak menghimpun istilah atau pun teori politik, tetapi tidak mengenai istilah perubatan dan medic.

Penjelasan lanjut mengenai proses itu akan saya ketahui selepas berjumpa dengan doktor di klinik Hemato kelak.

Saya boleh mencari (geoogle) untuk mengetahui apakah makna dan maksud istilah-istilah termalogi perubatan itu semua, tetapi saya tidak berbuat demikian. Saya tidak mahu menambahkan maklumat-maklumat umum dari geoogle yang tidak tepat pengertiannya kerana bagi saya ia sesuatu membebankan dan boleh menganggu pemikiran. Maka saya tunggu waktu berjumpa dengan doktor di klinik Hemato. Biarlah doktor bercerita secara berdepan penuh berdisiplin. Penjelasan langsung dari doktor lebih menyakinkan dan tepat.

Rujuk ke Hematologi

Tanggal 15 Disember 2015 saya ke klinik Hematologi seperti mana yang diarahkan. Bohong kalau saya mengatakan saya tidak gelisah dengan temujanji itu. Cuma sesuatu yang saya bernasib baik, apa-apa tentang diri saya (yang negatif ) ia tidak menganggu pemikiran saya sehingga misalnya tidak dapat tidur dan tidak selera makan dan sebagainya. Prinsip hidup saya, “berterus terang itu lebih baik daripada segala-galanya” saya praktik dalam hidup saya. Hampir semua mengenai diri saya tidak ada yang dirahsiakan. Rupa-rupanya falsafah ini memberi kebaikan buat saya.

Apa yang berlaku adalah sesuatu takdir yang harus didepani dengan penuh yakin dan bersiap sedia. Kita tidak boleh menolak apa-apa yang Khaliq jatuhkan ke atas kita dan menganggap ia satu anugerah. Sesungguhnya Dia tidak pernah melakukan zalim ke atas hamba-Nya. Itulah penawar dan azimat ketuhanan yang saya pakai. Saya sangat mempercayai dan sayangi Tuhan.

Menyambut saya di klinik Hemato pagi itu Dr Phakariah Abu Bakar. Beliau menyambut saya bersama isteri dengan sopan dan senyum.  Kesedarhaaan cara doktor ini berpakaian sudah cukup menyenangkan saya! Daripada laporan perubatan saya yang ada di hadapannya dia sudah tahu apa masalah, sakit saya dan rawatan yang diperlukan. Saya perlu menjalani proses Kemotrapi.

Dr Phakariah memberi penjelasan panjang lebar mengenai rawatan, kaedah serta kesan sampingan Kemotrapi yang akan saya jalani.

Menurutnya ada beberapa kesan sampingan yang dilalui oleh mereka yang melalui proses ini. Yang paling ketara antaranya rambut dan segala bulu-bulu ditubuh akan gugur. Ia juga boleh merosakkan gigi, kuku menjadi hitam dan kulit juga akan hangus terbakar. Manakala mereka yang alahan boleh menyebabkan ceret berek, sembelit, mutah-muntah, pening dan sebagainya.

Sejajar dengan menerima rawatan itu beberapa kaedah lain juga akan dikenakan ke atas saya, pengambilan air tulang belakang dan sum-sum dalam tulang. Proses ini dinamakan IT (intra techal)  dan “bone marrow”. Proses IT, ialah memasukkan sejenis ubat cecair sebanyak (…). Sebelum ubat itu dimasukkan air tulang belakang dikeluarkan terlebih dahulu sebanyak (…). Air tulang belangkang ini akan dikaji untuk mengetahui tahap dan kedudukan sel kanser.

Bone marrow pula ialah, pengambilan sum-sum tulang untuk dikaji apakah sel kanser sudah memasuki ke dalam sum-sum yang menganggu kilang pemerosesan darah sepenuhnya. Sum-sum adalah kilang pemerosesan darah. Kedua proses ini menurut Dr Phakariah ia mudah dan ringkas sahaja. Tetapi dalam pada itu ada pesakit yang tidak membenarkannya kerana takut dan bimbang risikonya?

“Mudah sahaja Pakcik, doktor akan ambil sum-susm di pinggung. Caranya akan dicocok dengan jarum. Jarumnya kecil sahaja sebesar mata pena bola. Pakcik akan baring mengiring dengan mengerekokkan lutut keadaanya macam undang,” jelas Dr Phakariah.
Saya mendengar dengan teliti dan cuba membayangkan keadaan itu.

“Ia tidak sakit dan prosesnya sekejap sahaja, melainkan sekiranya sum-sum itu sukar didapati menyebabkan ia akan dicocok beberapa kali. Ini mungkin sakit sedikit, tapi tak apa,” terang doktor berasal dari Kuala Terengganu itu penuh sopan santun.

Saya mendengar sambil membayangkannya. Dr Phakriah seakan bimbang kesediaan saya untuk melalui proses itu semua. Beliau bertanya saya; “apakah Pakcik bersedia?” Tanyanya mahukan kepastian daripada saya.

Katanya ada sesetengah pesakit enggan membenarkan air tulang belakang dan sum-sum diambil kerana terpengaruh dengan berbagai-bagai tanggapan negatif. Yang anih katanya, pesakit sedia untuk diambil tetapi keluarga pula menasihat agar jangan.

Menurutnya yang bersikap begitu bukan sembarangan orang tetapi dari kalangan yang berlatar belakang dan berpendidikan tinggi. Ada juga yang berpangkat dan berkedudukan serta bergelar Datuk.

Bagi saya Dr Phakariah seorang doktor yang jujur dan berterus terang. Berkhidmat dengan penuh etika. Dia tidak memaksa saya dan menceritakan apa yang sebenarnya. Selepas memberi penjelasan itu beliau memberi peluang kepada saya bertanya apa-apa yang mungkin saya tidak faham dan mahu penjelasan lebih mendalam lagi.

“Pakcik ada nak tanya apa-apa?” Tanyanya memberi peluang kepada saya untuk mengetahui sedalam-dalamnya.

Sebenarnya semua penjelasan dibuatnya cukup terang dan saya faham. Begitu juga dengan risiko dan kesan sampingan. Saya sudah bersedia segala-galanya. Bagi saya mudah sahaja, apabila saya telah sedia untuk menerima rawatan secara moden (saitifik) maka saya percaya kepada ilmu dan kepakaran yang ada kepada doktor. Saya berfikiran positif, sebelum sesuatu jenis rawatan diperkenalkan sudah pasti ia telah melalui ujian dan percubaan yang rapi berkali-kali.

Tetapi kerana beliau memberi peluang saya menggunakan ruang itu untuk berintraksi lebih lanjut lagi sekadar mengelakkan daripada saya menerima bulat-bulat tanpa sebarang persoalan agar tidak dituduh begitu pasrah dengan doktor.

“Ada berbagai persepsi mengenai kemotrapi ini ia mengazabkan. Dan pengambilan air tulang belakang menyebabkan akan lumpuh. Sejauh mana kemungkinan ini, doktor?” Tanya saya.Sebenarnya sekadar memenuhi peluang yang diberikan.

“Tidak ada Pakcik, itu hanya persepsi sahaja. Dalam prinsip kedoktoran kita tidak akan berbuat sesuatu yang boleh mendatang akibat buruk. Prinsip utama kami ialah menjaga nyawa pesakit,” katanya bercakap berdasarkan falsafah perubatan yang dipelajarinya.

“Iya saya faham itu dan saya percaya kepada kepakaran doktor, tetapi itu yang hendak saya tahu,” balas saya.

“Insya-Allah semuanya akan selamat Pakcik,” tungkasnya. “Kalau Pakcik bersedia untuk melalui proses itu Pakcik kena singn (consent), saya akan bagi borang persetujuan untuk Pakcik tanda tanganinya.

“Selepas Pakcik menanda tangani saya akan buat temujanji untuk Pakcik menjalankan rawatan berkenaan.” Katanya lanjut sambil terus membelek-belek dokumen laporan perubatan mengenai saya yang diterima daripada doktor dalam wad.

“Saya akan percepatkan untuk Pakcik menjalani Pat Scan, imbasan ini untuk mengetahui tahap kanser Pakcik hidapi di tahap ke berapa,” katanya lagi. Dr Phakariah terus membelek dokumen saya kemudian berkata; “Temu janji untuk Pakcik buat Pat Scan lambat lagi, sebulan… tak apa saya akan percepatkan..”

Dalam pada itu beliau mencadangkan kepada saya agar menjalani Pat Scan di luar,  pusat x-try swasta. “Pakcik boleh buat di luar cepat sikit. Lagipun di sini mesyen selalu rosak. Tetapi diluar kena bayar agak banyak juga,” beliau berhenti sejenak kemudian menyambung, “Pakcik bincanglah dahulu dengan keluarga, kemudian saya akan keluar surat rekmin kepada Pat Scan berkenaan,” terang beliau lagi.

Di negara ini peralatan dan kemudahan mesyen Pat Scan ini masih belum banyak hanya ada dua  atau tiga pusat sahaja. Kesemua alat itu bertempat di ibukota Kuala Lumopur menyebabkan mereka yang mahu mendapat khidmatnya dari Timur, Utara, Selatan bahkan Sabah dan Sarawak terpaksa turun ke Kuala Lumpur.

Cara Dr Phakariah berintraksi dengan saya dan penjelasannya sangat menyakinkan. Nampak kesungguhan dan keikhlasan doktor yang sedang menyiap tesis Master  untuk membantu saya. Saya berterima kasih banyak kepada doktor ini. Layanan dan khidmat doktor seperti inilah yang diperlukan, berusaha untuk memberi perkhidmatan dan kebajikan yang terbaik.

Saya meninggalkan klinik Hemato dan Dr Phakariah dengan senang sekali dan saya seakan sudah diberikan keyakinan besar untuk menghadapi kanser. 🇲🇾

wangsa melawati,kl 7/9/16

05
Sep
16

Kelapan: Gembira yang mengejutkan

PADA hari pertama pembedahan tidak ada apa-apa masalah yang saya hadapi, semuanya berjalan lancar. Memang benar ia satu pembedahan yang ringkas dan mudah. Ia tidak membimbangkan. Kemusykilan utama bersarang dalam minda ialah macam mana hendak makan sementara kesan pembedahan sembuh sepenuhnya? Tentu ianya menyukarkan saya untuk makan. Kenapa tidak, separuh daripada ruang atas dalam tekak saya dibakar dengan haba leser?

Apa yang dibayang dan dibimbangi itu meleset. Pada hari pertama saya masih boleh menghabiskan makanan lembek, (nasi bubur) semangkuk. Melihat keadaan itu ia menggembirakan saya dan juga orang-orang yang menyayangi saya. Terfikir kalau beginilah kesan dan keadaanya, rasa pembedahan itu tidak ada apa-apa masalah.

Tentulah kebahagiaan itu dikongsi dengan keprihatinan sanak saudara dan rakan taulan. Mana-mana yang mengetahui saya di wad dan menjalani pembedahan datang menziarahi saya. Seperti saya katakan MB Kelantan Ahmad Yakob adalah perasmi “upacara” lawatan. Paling punggungnya, (sejurus kepulangannya) adik beradik, anak saudara dan rakan terdekat serta rakan-rakan Facebook datang menjenguk saya. Mereka juga senang melihat keadaan saya. Saya ceria dan mampu berborak apabila ubat bius sudah “dawas”.

Saya hanya tiga malam sahaja dalam wad selepas itu dibenarkan keluar. Mereka yang baharu tahu dan tidak sempat ke wad bergegas ke rumah. Di rumah tetamu pula malam siang datang, sehingga terganggu masa untuk rihat. Walaupun terganggu tetapi tidak tergamak pula untuk mengunci pintu. Kedatangan rakan taulan dan anak-anak buah ini baharu menyedarkan saya bahawa saya disayangi. Itulah hikmat dan rahmat sakit kita dapat mrngukur sejauh mana kita dipedulikan orang. Ia juga mengenalkan kita mana kawan yang prihatin dan mana kawan yang hanya bersama ketika gembira sahaja.

Tiada nasihat doktor

Doktor tidak banyak memberi petua kepada saya untuk menghadapi pembedahan itu. Apabila mereka melihat ke dalam mulut saya dan didapati perkembangannya baik, dikira semua ok. Cuma doktor mengingatkan saya tidak perlu risau dan bimbang kalau di ruang pembedahan nanti menjadi putih. Yang penting mereka suruh saya makan sebanyak yang mungkin. Makan banyak boleh mempercepatkan kesembuhan. Tisu-tisu di ruang atas tekak akan tumbuh semula dalam beberapa hari saja.

Jururawat prihatin dan sudi pula berkongsi ilmu yang sudah fahami menghadapi pesakit menjalani pembedahan tonsil menyuruh saya memakan aiskrim vanila. Memakan makanan yang lembek, lembut dan sejuk. Makanan atau pun diet itu boleh bantu mempercepatkan proses penyembuhan.

Selepas tiga hari atau 72 jam kemudian keadaan jadi sebaliknya. Kesan sebenar pembedahan sudah mulai dirasai. Keadaan yang kondusif sebaik keluar wad tadi, sudah berubah. Keperitan untuk menelan sudah terasa kerana kesan luka, bakaran leser. Hakikat sebenar sebuah pembedahan baharu dirasai. Usahkan untuk makan makanan lembek, untuk menelan air pun sukar. Pedih dalam tekak tidak dapat hendak diterjemahkan dengan kata-kata. Tekak terasa macam dihiris sembilu.

Keazaban hanya diri sendiri sahaja yang tahu. Segala-gala cara makan dan minum juga berubah. Kalau sebelum ini saya minum macam lembu, tetapi selepas pembedahan minum air macam burung. Tidak boleh “diseroop”, hanya dititik ke dalam mulut. Air langsung tidak boleh diteguk, dan dikemen kemudian perlahan-lahan dibiarkan ia masuk. Untuk seteguk air memakan masa beberapa minit untuk menghabiskannya.

Minum bukan lagi seperti pahlawan yang baru lengsai bertarung tetapi laksana gadis sunti yang sedang dipersuntingkan, penuh teratur, beradab dan lemah lembut.

Keperitan ini memberi pengalaman baharu. Sakit akibat pembedahan ini satu nilai yang tidak akan terbayar sepanjang hidup. Di sinilah saya mengagahi diri dan berusaha menukar persepsi terhadap sakit ini daripada sebuah keperitan dan kesangsaraan kepada sebuah nikmat. Nikmat yang tidak akan dapat dibeli di mana-mana kedai dengan berapa harga sekali pun. Dan apabila menginsafinya ia datang daripada Allah, sakit ini adalah satu anugerah yang tidak boleh dipersia-siakan. Syukur.

Akibat kurang makan keadaan tubuh mula menjadi susut. Tubuh menjadi kering dan layu akibat kekurangan air. Berat badan juga mulai merosot. Air kencing pula berwarna kekuningan persis air kencing orang sakit urat. Para tetamu membawa pelbagai makanan, kueh mueh dan buah-buahan untuk saya. Ada yang bersusah payah membuat khusus untuk saya. Namun itu semua itu tidak memberi apa-apa erti lagi melainkan sebagai tanda kasih dan sayang kepada saya. Makanan hanya boleh dilihat tetapi tidak boleh dimakan.

image

Dua tiga hari selepas pembedahan sukar untuk minum dan makan, tubuh susut.

Masa dijangkakan kesan pembedahan itu pulih sudah lewat. Ini agak mencermaskan. Apa lagi temu janji dengan pakar ENT bagi melihat kesan pembedahan itu masih lambat, kena tunggu selepas seminggu. Temujanjinya pada 9 September 2015.

Penantian itu juga sesuatu meresahkan kerana akan diberi tahu keputusan biopsi terhadap tisu tonsil yang dianalisa di makmal. Biopsi itu akan menentukan apakan “cerita” tonsil itu akan berakhir di situ atau tersambung ke episod lain yang panjang dan dahsyat untuk dikenang. Dalam menanti keputusan itu saya tidak habis berdoa mudah-mudah ia tidak memudarat, dan tonsil akan berhenti setakat tonsil sahaja.


Muntah darah

Apabila berasakan proses penyembuhan agak lambat menyebabkan saya mencari ikhitiar lain. Kawan-kawan dan mereka yang menziarahi saya juga memberi berbagai-bagai cadangan alternatif termasuk mencari ubat (suplimen) sampingan. Salah satu ialah supaya mencuba meminum jus berubat (bervitamin C dan B yang diformulasikan oleh seorang doktor yang beroperasi di Bangi).

Selepas selesai berjumpa doktor di Bangi suatu petang itu, saya ke Putrajaya di kediaman anak perempuan. Menjadi rutin saya jam 3:00 hingga 4:00 petang waktu ini saya beristirehat petang. Dalam tempoh ini diharamkan sesiapa menghubungi saya. Kawan yang tahu rutin ini tidak akan menghubungi saya. Telefon saya akan bisu dan diam selama itu. Selalunya selepas jam 4:01 minit telefon mula berbunyi. Sebaik sampai di rumah anak di Putrajaya saya merebahkan badan disofa berharap dapat merihatkan badan barang sejenak.

Belum sempat “jenak” (lelap) tiba-tiba saya berasa ada sesuatu dalam mulut yang tidak menyenangkan saya. Saya bangkit dari sofa untuk ke sinki bagi meluahkannya. Baru dua tapak bergerak menuju ke ruang dapur, tiba-tiba terkular dari mulut ketukan cecair merah disertai degan ketulan berwarna merah macam agar-agar. Saya cuba melangkah tetapi ketulan itu makin banyak tersembur keluar.

Keadaan menjadi sedikit panik. Isteri saya terus menghubungi anak yang sedang membeli belah di pasar. Mereka cadangkan untuk masak tengah hari buat kami suami isteri. Saya mulanya tidak menaruh apa-apa kebimbangan dengan kejadian itu, tetapi turut berasa sedikit cemas apabila darah terus keluar. Sekejap kemudian anak menantu sampai dan saya di bawa ke unit kecemasan HUKM.

Proses di unit kecemasan hanya berlalu dengan biasa. Saya diberi pemeriksaan sebagai pesakit luar. Pemeriksaan awal dilakukan, ujian gerakan nadi, tekanan darah dan juga jantung. X-try juga dijalankan untuk melihat apa-apa yang mungkin berlaku dalam perut. Alhamdulilah hasil x-try tidak menunjukkan apa-apa membimbangkan. Tidak ada apa-apa kelukaan di usus dan bahagian lain. Untuk beberapa jam juga saya tersadar di unit kecemasan itu dibiarkan keadaan stabil. Menjelang tengah malam saya dirujuk ke klinik ENT di wad 6.

image

Tersadar di Unit Kecemasan.

Sebenarnya kejadian muntah darah itu tidak ada apa yang membimbangkan. Pendarahan yang saya alami itu rupa-rupanya perkara biasa dilalui oleh sesetengah orang menjalani pembedahan tonsil. Di klinik saya diberi rawatan dengan berkumur (gerga) dengan ais. Cukup sekole kumur dengan ais darah sudah tiada. Menurut doktor perkara itu biasa berlaku.

Setengah orang mengalami pendarahan awal. Apa yang saya alami itu pendarahan lewat (late bleeding). Darah keluar sedikit demi sedikit dan terhimpun dalam ruang tekak. Apabila ia sudah penuh darah itu akan terjeluak keluar. Keadaannya macam air yang bertakung di atas gunung akan melimpah apabila ia terlalu banyak.

“Iya tidak ada apa-apa?” Kata doktor yang merawat saya malam itu. Ia cukup melegakan saya. Masalahnya di sini doktor tidak memberi penjelasan awal-awal kepada saya akan kemungkinan berlaku hal itu. Kalau saya diberi tahu awal kaedah mengatasinya, tidak perlu saya digegaskan ke unit kecemasan dan ia tidak memanikkan orang lain. Timbul juga rasa hendak marah kepada doktor atas pengabaian ini.

Benar kata orang sesuatu detik dan peristiwa yang berlaku itu membawa makna dan pengertian berlapis. Muntah darah dan pemergian saya ke unit kecemasan itu telah memberi titik nokhtah kepada apa yang ditunggu selama ini. Malam itu juga doktor memberi tahu keputusan biopsi yang dijalankan ke atas sample tonsil.

“Pakcik dah tahu apa keputusan ujian makmal terhadap tisu tonsil tempoh hari?” Doktor lelaki bangsa Melayu yang on-call malam itu membuka cerita selepas melihat masalah muntah darah yang saya alami sudah selesai.

“Tidak,” kata saya menggeleng. Namun dalam hati sudah dapat meneka sesuatu yang tidak begitu menggembirakan. Doktor suruh memanggil isteri saya masuk ke dalam bilik rawatan untuk sama-sama mendengar apa yang hendak diberitahu. Isteri seakan gerum dia hanya berdiri di muka pintu dan tidak menghampiri ke meja doktor.

“Hasil ujian ke atas tisu tonsil hari itu menunjukkan ada sel kanser limpoma.,” jelas doktor penuh cermat dan diplomasi. Saya sedar dia merenung ke dalam mata saya menanti reaksi daripada saya.

Saya tidak berkata apa-apa melainkan mengangguk penuh takzim mendengar kata-kata doktor itu. Saya menerimanya sebagai satu keputusan yang telah saya duga. Isteri saya terdiam dan akur menerima penjelasan itu. Penjelasan doktor itu menamatkan penantian saya dan keluarga terhadap diri saya.

“Harap pakcik akan datang temu janji pada 9 Disember 2015,” kata doktor itu bersungguh. Temujanji dengan klinik ENT sudah dibuat sebaik saya dibenarkan keluar wad selepas pembedahan. Saya memahami permintaan itu kerana mungkin dia bimbang saya tidak akan hadir. Mungkin ada pesakit yang tidak bersedia untuk meneruskan temujanji dengan doktor apabila sudah mengetahui penyalit yang dihadapinya.

“Iya pasti.,” lafaz saya yakin dan tegas. Dan selepas mendengar segala nasihat dan juga cara-cara untuk mengawal pendarahan jika ia berulang lagi, saya meninggalkan klinik ENT menjelang diri hari dengan sebuah perasaan yang tidak mampu dilukiskan ketika itu. Apa yang tertanam dalam diri ialah bersedia untuk mendapat penjelasan secara rasmi berhubung keputusan biopsi di klinik ENT pada tarikh yang ditetapkan. Bersedia dengan berani menghadapi apa sahaja kemungkinan selepas ini. 🇲🇾

HUKM 30/8/16 Edit 9/9/16




September 2016
I S R K J S A
 1234
567891011
12131415161718
19202122232425
2627282930  

Kira Imbas (15 April 2009)

Laman