05
Sep
16

Kelapan: Gembira yang mengejutkan

PADA hari pertama pembedahan tidak ada apa-apa masalah yang saya hadapi, semuanya berjalan lancar. Memang benar ia satu pembedahan yang ringkas dan mudah. Ia tidak membimbangkan. Kemusykilan utama bersarang dalam minda ialah macam mana hendak makan sementara kesan pembedahan sembuh sepenuhnya? Tentu ianya menyukarkan saya untuk makan. Kenapa tidak, separuh daripada ruang atas dalam tekak saya dibakar dengan haba leser?

Apa yang dibayang dan dibimbangi itu meleset. Pada hari pertama saya masih boleh menghabiskan makanan lembek, (nasi bubur) semangkuk. Melihat keadaan itu ia menggembirakan saya dan juga orang-orang yang menyayangi saya. Terfikir kalau beginilah kesan dan keadaanya, rasa pembedahan itu tidak ada apa-apa masalah.

Tentulah kebahagiaan itu dikongsi dengan keprihatinan sanak saudara dan rakan taulan. Mana-mana yang mengetahui saya di wad dan menjalani pembedahan datang menziarahi saya. Seperti saya katakan MB Kelantan Ahmad Yakob adalah perasmi “upacara” lawatan. Paling punggungnya, (sejurus kepulangannya) adik beradik, anak saudara dan rakan terdekat serta rakan-rakan Facebook datang menjenguk saya. Mereka juga senang melihat keadaan saya. Saya ceria dan mampu berborak apabila ubat bius sudah “dawas”.

Saya hanya tiga malam sahaja dalam wad selepas itu dibenarkan keluar. Mereka yang baharu tahu dan tidak sempat ke wad bergegas ke rumah. Di rumah tetamu pula malam siang datang, sehingga terganggu masa untuk rihat. Walaupun terganggu tetapi tidak tergamak pula untuk mengunci pintu. Kedatangan rakan taulan dan anak-anak buah ini baharu menyedarkan saya bahawa saya disayangi. Itulah hikmat dan rahmat sakit kita dapat mrngukur sejauh mana kita dipedulikan orang. Ia juga mengenalkan kita mana kawan yang prihatin dan mana kawan yang hanya bersama ketika gembira sahaja.

Tiada nasihat doktor

Doktor tidak banyak memberi petua kepada saya untuk menghadapi pembedahan itu. Apabila mereka melihat ke dalam mulut saya dan didapati perkembangannya baik, dikira semua ok. Cuma doktor mengingatkan saya tidak perlu risau dan bimbang kalau di ruang pembedahan nanti menjadi putih. Yang penting mereka suruh saya makan sebanyak yang mungkin. Makan banyak boleh mempercepatkan kesembuhan. Tisu-tisu di ruang atas tekak akan tumbuh semula dalam beberapa hari saja.

Jururawat prihatin dan sudi pula berkongsi ilmu yang sudah fahami menghadapi pesakit menjalani pembedahan tonsil menyuruh saya memakan aiskrim vanila. Memakan makanan yang lembek, lembut dan sejuk. Makanan atau pun diet itu boleh bantu mempercepatkan proses penyembuhan.

Selepas tiga hari atau 72 jam kemudian keadaan jadi sebaliknya. Kesan sebenar pembedahan sudah mulai dirasai. Keadaan yang kondusif sebaik keluar wad tadi, sudah berubah. Keperitan untuk menelan sudah terasa kerana kesan luka, bakaran leser. Hakikat sebenar sebuah pembedahan baharu dirasai. Usahkan untuk makan makanan lembek, untuk menelan air pun sukar. Pedih dalam tekak tidak dapat hendak diterjemahkan dengan kata-kata. Tekak terasa macam dihiris sembilu.

Keazaban hanya diri sendiri sahaja yang tahu. Segala-gala cara makan dan minum juga berubah. Kalau sebelum ini saya minum macam lembu, tetapi selepas pembedahan minum air macam burung. Tidak boleh “diseroop”, hanya dititik ke dalam mulut. Air langsung tidak boleh diteguk, dan dikemen kemudian perlahan-lahan dibiarkan ia masuk. Untuk seteguk air memakan masa beberapa minit untuk menghabiskannya.

Minum bukan lagi seperti pahlawan yang baru lengsai bertarung tetapi laksana gadis sunti yang sedang dipersuntingkan, penuh teratur, beradab dan lemah lembut.

Keperitan ini memberi pengalaman baharu. Sakit akibat pembedahan ini satu nilai yang tidak akan terbayar sepanjang hidup. Di sinilah saya mengagahi diri dan berusaha menukar persepsi terhadap sakit ini daripada sebuah keperitan dan kesangsaraan kepada sebuah nikmat. Nikmat yang tidak akan dapat dibeli di mana-mana kedai dengan berapa harga sekali pun. Dan apabila menginsafinya ia datang daripada Allah, sakit ini adalah satu anugerah yang tidak boleh dipersia-siakan. Syukur.

Akibat kurang makan keadaan tubuh mula menjadi susut. Tubuh menjadi kering dan layu akibat kekurangan air. Berat badan juga mulai merosot. Air kencing pula berwarna kekuningan persis air kencing orang sakit urat. Para tetamu membawa pelbagai makanan, kueh mueh dan buah-buahan untuk saya. Ada yang bersusah payah membuat khusus untuk saya. Namun itu semua itu tidak memberi apa-apa erti lagi melainkan sebagai tanda kasih dan sayang kepada saya. Makanan hanya boleh dilihat tetapi tidak boleh dimakan.

image

Dua tiga hari selepas pembedahan sukar untuk minum dan makan, tubuh susut.

Masa dijangkakan kesan pembedahan itu pulih sudah lewat. Ini agak mencermaskan. Apa lagi temu janji dengan pakar ENT bagi melihat kesan pembedahan itu masih lambat, kena tunggu selepas seminggu. Temujanjinya pada 9 September 2015.

Penantian itu juga sesuatu meresahkan kerana akan diberi tahu keputusan biopsi terhadap tisu tonsil yang dianalisa di makmal. Biopsi itu akan menentukan apakan “cerita” tonsil itu akan berakhir di situ atau tersambung ke episod lain yang panjang dan dahsyat untuk dikenang. Dalam menanti keputusan itu saya tidak habis berdoa mudah-mudah ia tidak memudarat, dan tonsil akan berhenti setakat tonsil sahaja.


Muntah darah

Apabila berasakan proses penyembuhan agak lambat menyebabkan saya mencari ikhitiar lain. Kawan-kawan dan mereka yang menziarahi saya juga memberi berbagai-bagai cadangan alternatif termasuk mencari ubat (suplimen) sampingan. Salah satu ialah supaya mencuba meminum jus berubat (bervitamin C dan B yang diformulasikan oleh seorang doktor yang beroperasi di Bangi).

Selepas selesai berjumpa doktor di Bangi suatu petang itu, saya ke Putrajaya di kediaman anak perempuan. Menjadi rutin saya jam 3:00 hingga 4:00 petang waktu ini saya beristirehat petang. Dalam tempoh ini diharamkan sesiapa menghubungi saya. Kawan yang tahu rutin ini tidak akan menghubungi saya. Telefon saya akan bisu dan diam selama itu. Selalunya selepas jam 4:01 minit telefon mula berbunyi. Sebaik sampai di rumah anak di Putrajaya saya merebahkan badan disofa berharap dapat merihatkan badan barang sejenak.

Belum sempat “jenak” (lelap) tiba-tiba saya berasa ada sesuatu dalam mulut yang tidak menyenangkan saya. Saya bangkit dari sofa untuk ke sinki bagi meluahkannya. Baru dua tapak bergerak menuju ke ruang dapur, tiba-tiba terkular dari mulut ketukan cecair merah disertai degan ketulan berwarna merah macam agar-agar. Saya cuba melangkah tetapi ketulan itu makin banyak tersembur keluar.

Keadaan menjadi sedikit panik. Isteri saya terus menghubungi anak yang sedang membeli belah di pasar. Mereka cadangkan untuk masak tengah hari buat kami suami isteri. Saya mulanya tidak menaruh apa-apa kebimbangan dengan kejadian itu, tetapi turut berasa sedikit cemas apabila darah terus keluar. Sekejap kemudian anak menantu sampai dan saya di bawa ke unit kecemasan HUKM.

Proses di unit kecemasan hanya berlalu dengan biasa. Saya diberi pemeriksaan sebagai pesakit luar. Pemeriksaan awal dilakukan, ujian gerakan nadi, tekanan darah dan juga jantung. X-try juga dijalankan untuk melihat apa-apa yang mungkin berlaku dalam perut. Alhamdulilah hasil x-try tidak menunjukkan apa-apa membimbangkan. Tidak ada apa-apa kelukaan di usus dan bahagian lain. Untuk beberapa jam juga saya tersadar di unit kecemasan itu dibiarkan keadaan stabil. Menjelang tengah malam saya dirujuk ke klinik ENT di wad 6.

image

Tersadar di Unit Kecemasan.

Sebenarnya kejadian muntah darah itu tidak ada apa yang membimbangkan. Pendarahan yang saya alami itu rupa-rupanya perkara biasa dilalui oleh sesetengah orang menjalani pembedahan tonsil. Di klinik saya diberi rawatan dengan berkumur (gerga) dengan ais. Cukup sekole kumur dengan ais darah sudah tiada. Menurut doktor perkara itu biasa berlaku.

Setengah orang mengalami pendarahan awal. Apa yang saya alami itu pendarahan lewat (late bleeding). Darah keluar sedikit demi sedikit dan terhimpun dalam ruang tekak. Apabila ia sudah penuh darah itu akan terjeluak keluar. Keadaannya macam air yang bertakung di atas gunung akan melimpah apabila ia terlalu banyak.

“Iya tidak ada apa-apa?” Kata doktor yang merawat saya malam itu. Ia cukup melegakan saya. Masalahnya di sini doktor tidak memberi penjelasan awal-awal kepada saya akan kemungkinan berlaku hal itu. Kalau saya diberi tahu awal kaedah mengatasinya, tidak perlu saya digegaskan ke unit kecemasan dan ia tidak memanikkan orang lain. Timbul juga rasa hendak marah kepada doktor atas pengabaian ini.

Benar kata orang sesuatu detik dan peristiwa yang berlaku itu membawa makna dan pengertian berlapis. Muntah darah dan pemergian saya ke unit kecemasan itu telah memberi titik nokhtah kepada apa yang ditunggu selama ini. Malam itu juga doktor memberi tahu keputusan biopsi yang dijalankan ke atas sample tonsil.

“Pakcik dah tahu apa keputusan ujian makmal terhadap tisu tonsil tempoh hari?” Doktor lelaki bangsa Melayu yang on-call malam itu membuka cerita selepas melihat masalah muntah darah yang saya alami sudah selesai.

“Tidak,” kata saya menggeleng. Namun dalam hati sudah dapat meneka sesuatu yang tidak begitu menggembirakan. Doktor suruh memanggil isteri saya masuk ke dalam bilik rawatan untuk sama-sama mendengar apa yang hendak diberitahu. Isteri seakan gerum dia hanya berdiri di muka pintu dan tidak menghampiri ke meja doktor.

“Hasil ujian ke atas tisu tonsil hari itu menunjukkan ada sel kanser limpoma.,” jelas doktor penuh cermat dan diplomasi. Saya sedar dia merenung ke dalam mata saya menanti reaksi daripada saya.

Saya tidak berkata apa-apa melainkan mengangguk penuh takzim mendengar kata-kata doktor itu. Saya menerimanya sebagai satu keputusan yang telah saya duga. Isteri saya terdiam dan akur menerima penjelasan itu. Penjelasan doktor itu menamatkan penantian saya dan keluarga terhadap diri saya.

“Harap pakcik akan datang temu janji pada 9 Disember 2015,” kata doktor itu bersungguh. Temujanji dengan klinik ENT sudah dibuat sebaik saya dibenarkan keluar wad selepas pembedahan. Saya memahami permintaan itu kerana mungkin dia bimbang saya tidak akan hadir. Mungkin ada pesakit yang tidak bersedia untuk meneruskan temujanji dengan doktor apabila sudah mengetahui penyalit yang dihadapinya.

“Iya pasti.,” lafaz saya yakin dan tegas. Dan selepas mendengar segala nasihat dan juga cara-cara untuk mengawal pendarahan jika ia berulang lagi, saya meninggalkan klinik ENT menjelang diri hari dengan sebuah perasaan yang tidak mampu dilukiskan ketika itu. Apa yang tertanam dalam diri ialah bersedia untuk mendapat penjelasan secara rasmi berhubung keputusan biopsi di klinik ENT pada tarikh yang ditetapkan. Bersedia dengan berani menghadapi apa sahaja kemungkinan selepas ini. 🇲🇾

HUKM 30/8/16 Edit 9/9/16


0 Respon to “Kelapan: Gembira yang mengejutkan”



  1. Tinggalkan Komen

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s


September 2016
I S R K J S A
 1234
567891011
12131415161718
19202122232425
2627282930  

Kira Imbas (15 April 2009)

Laman


%d bloggers like this: