09
Sep
16

Kesembilan: Disahkan kanser Lymphoma

PERTEMUAN susulan dengan doktor pakar ENT pada 9 Disember 2015 untuk memantau pembedahan tonsil memuktamadkan sebuah penantian yang sudah diduga akan natijahnya. Namun walaupun begitu masih tersisa harapan dalam diri semoga ia tidak begitu rumit dan komplikasi.

Apabila doktor menjelaskan apa yang sudah tersurat maka ia membuatkan saya tidak boleh “mengogeh-ogehkan” apa-apa lagi. Hanya dengar dengan penuh pasrah. Keputusan dan hasil yang diuji itu hanya boleh diubah oleh Tuhan Rabuljalil sahaja. Kita hanya mampu bermunajat dan berdoa.

image

Selepas menjalani PatScan

“Pak cik sudah tahukan hasil ujian makmal tisu tonsil tempoh hari?” Kata doktor perempuan bangsa Melayu dengan penuh hati-hati sebaik saya tenang mengambil tempat di hadapa meja dinasnya. Saya sedar dia mengamati wajah saya sedalam-dalamnya.

Dia sudah biasa berhadapan dengan pesakit yang “menanti” keputusan dari setiap apa yang diujikaji. Keadaan pesakit yang mahu memperolehi penjelasan hasil biopsi tidak ubah seperti pesalah dibawa Akta 302 yang boleh membawa mati ditali gantung menanti keputusan hasil selepas selesai perbicaraan penuh.

“Amm…,” kata saya perlahan menunjukkan reaksi yang tenang dan bersedia mendengar penerangan seterusnya. Sebenarnya saya sudah tahu dan mengagak apa yang berlaku, dan punishment  yang akan dikeluarkan. Lagi pun doktor pakar ENT di wad sudah membayangkan hasilnya kepada saya pada malam saya dirujuk ke klinik itu selepas peristiwa muntah darah malam mengejutkan, 4 Disember 2015.

“Pakcik ada kanser,” katanya dalam bahasa mudah dengan wajah bersimpati. Menerima itu saya menelan air liur perlahan-lahan, biarpun nampak mudah terasa panjang proses penelannya.

Isteri yang berada di sebelah terdiam. Saya tidak dapat merasai apakah perasaannya ketika itu. Pasti denyutan jantungnya menjadi kencang sebaik menerima pengesahan berkenaan. Baginya penjelasan doktor itu sesuatu yang muktmad yang harus diterima dengan penuh tabah dan pasrah. Apalah yang dia mampu lalukan selain itu? Bagi seorang perempuan air mata adalah “aspreasi” jiwanya. Tetapi saya bernasib baik kerana tidak pernah terpandang titisan air matanya disepanjang melalui detik-detik yang kritikal ini.

Seharusnya saya tidak membawa sama isteri untuk mengetahui apa-apa perkembangan mengenai diri saya. Saya tidak perlu menyusah dan memenderitakannya. Itulah yang berlaku dan disaksikan dalam drama-drama Melayu atau novel; pesakit kanser akan menyembunyikan sakitnya kerana mahu mengelak orang lain turut sama merasai dan berkongsi stress.

Tetapi itu bukan prinsip saya. Saya terbuka dan suka berterus terang. Biarlah isteri dan sesiapa sahaja termasuk anak-anak mengetahui kedudukan (sakit) tanpa melindungi atau “bersoksek soksek” dengannya. Kita tidak perlu menabir diri kita dengan tirau kepalsuan. Bagi saya dalam hidup ini tidak ada apa yang perlu dirahsiakan melainkan kita dengan Allah.

Doktor lelaki berbangsa Cina yang ada bersama memberi penjelasan lanjut bertujuan menenangkan kami suami isteri. Penjelasannya sangat tertib, melegakan. Bicaranya penuh diplomasi secara tidak langsung mengawal perasaan saya dan isteri saya juga. Dia tidak mahu saya terkejut dengan apa yang berlaku.

“Jangan bimbang pakcik, kanser ini tidak serius dan juga senang untuk ditangani, Lymphoma,” kata-katanya sekaligus menjelaskan kanser itu tanpa menghurai secara mendalam jenis dam implikasinya. Penjelasan itu menyenangkan boleh meredakan debaran di dada. Sebuah kata-kata penuh psykologis yang menguatkan semangat. Di sinilah kehematan seorang doktor, ada kalanya cara seseorang doktor menangani pesakit sudah merupakan penawar mujarab lebih baik daripada segala ubat-ubatan yang diberi. Sebab itu tatkala sakit sementara menanti ketibaan doktor, sebaik melihat wajahnya tiba-tiba sakit mereda secara automatik.

Waktu itu tahap kanser yang saya hadapi masih belum diketahui, ia hanya diukur kepada tahap atau keadaan (kondisi) darah sahaja. Atau dalam kata lain hasil makmal itu mengesahkan sel kanser dalam tubuh saya ada yang aktif.

“InsyaAllah pakcik,” tambah doktor perempuan itu lagi  memberi keyakinan sambil menegaskan agar saya mengikut prosuder perawatan yang akan dilalui. Perkataan “Insya-Allah” adalah sebuah doa dan pengharapan yang sebjektif?

“Selepas ini pakcik akan ke klinik Hematologi, kes pakcik dirujuk ke sana. Hemato ialah klinik berkaitan dengan darah. Di sana pakcik akan mendapat penjelasan lanjut dan juga prosuder rawatan,” jelasnya lagi. Tambahnya kerja atau penangannya mengenai saya sudah selesai. Kesan pembedahan tonsil memuaskan.

Atas segala penjelasan dan nasihat itu saya hanya akur dan cuba memahami apa itu Hematologi. Sebelum ini perkataan itu haram tidak pernah wujud dalam kamus hidup saya. Ia adalah entry baharu dalam hidup saya. Oh.. sakit ini menambahkan pembendaharaan kata dan ilmu buat kita.

Setelah mengetahui keputusan itu secara rasmi dan penjelasan dari segi prosuder rawatan, apa lagi yang hendak dan boleh saya kata melainkan redha dan pasrah. Tunduk penuh keakuran penuh tawaduk dan insaf. Iya saya terima, itulah termampu diucap dan itulah reaksi sewajarnya. Siapa pun tidak akan terlawan takdir yang dicampak ke atas diri kita. Laa hula wa Laa Quwwata illa Billah  (وَلَاْ حَوْلَ وَلَاْ قُوَّةَ اِلَّاْ بِالله ِ)
– tidak ada upaya melainkan Allah.

Walaupun ada bahasa lain yang terperap di hati namun itulah perkataan yang paling afdal. Untuk seketika saya berpandangan dengan isteri sejenak tanpa disedari oleh dua doktor muda itu. Hati kami berbicara dengan bahasa penuh kerahsiaan rasa.

Kandatipun saya sudah bersedia menerima hakikat, kerana sudah membayangkan dan mendapat maklumat dari doktor di ENT, keputusan rasmi itu tidak bisa diubah hasil biopsinya. Justeru melainkan ia diterima dan bersedia menghadapi tindakan lanjutnya.

Isteri yang menjadi teman setia penuh kecintaan tidak terkata apa-apa. Dia juga kehilangan kata tidak terkutip tanpa menunjukkan reaksi ketara. Namun saya memahami perasaanya ketika itu. Dia juga perlu menerima hakikat bahawa suaminya menghidap sakit (kanser) merupakan sakit kronik yang perlu disokong sepenuhnya. Nilai kasih dan cinta juga perlu ditambah dan dikeluarkan kesemuannya. Saya sudah menghayati perasaanya sejak saat doktor memaklumkan hasil ujian makmal terhadap specimen tisu tonsil itu tempoh hari. Cuma apalah yang dia mampu bersuara mengenainya melainkan pasrah dan redha. Hidupnya selepas itu disendaki doa-doa panjang dan mendalam. Tidur dan makannya juga saya perasaan ia sangat terganggu?

Sepanjang perjalanan pulang selepas meninggal klinik ENT itu, benak dipenuhi dengan fikiran bersiap sedia untuk menghadapi proses rawatan. Kemotrapi? Iya kemotrapi satu lagi perkataan menambahkan pembendaharaan kata-kata dalam kamus hidup saya. Sebelum ini saya hanya mendengar perkataan itu tetapi tidak mengetahui apa yang berlaku sebenarnya. Proses dan kesannya. Saya lebih banyak menghimpun istilah atau pun teori politik, tetapi tidak mengenai istilah perubatan dan medic.

Penjelasan lanjut mengenai proses itu akan saya ketahui selepas berjumpa dengan doktor di klinik Hemato kelak.

Saya boleh mencari (geoogle) untuk mengetahui apakah makna dan maksud istilah-istilah termalogi perubatan itu semua, tetapi saya tidak berbuat demikian. Saya tidak mahu menambahkan maklumat-maklumat umum dari geoogle yang tidak tepat pengertiannya kerana bagi saya ia sesuatu membebankan dan boleh menganggu pemikiran. Maka saya tunggu waktu berjumpa dengan doktor di klinik Hemato. Biarlah doktor bercerita secara berdepan penuh berdisiplin. Penjelasan langsung dari doktor lebih menyakinkan dan tepat.

Rujuk ke Hematologi

Tanggal 15 Disember 2015 saya ke klinik Hematologi seperti mana yang diarahkan. Bohong kalau saya mengatakan saya tidak gelisah dengan temujanji itu. Cuma sesuatu yang saya bernasib baik, apa-apa tentang diri saya (yang negatif ) ia tidak menganggu pemikiran saya sehingga misalnya tidak dapat tidur dan tidak selera makan dan sebagainya. Prinsip hidup saya, “berterus terang itu lebih baik daripada segala-galanya” saya praktik dalam hidup saya. Hampir semua mengenai diri saya tidak ada yang dirahsiakan. Rupa-rupanya falsafah ini memberi kebaikan buat saya.

Apa yang berlaku adalah sesuatu takdir yang harus didepani dengan penuh yakin dan bersiap sedia. Kita tidak boleh menolak apa-apa yang Khaliq jatuhkan ke atas kita dan menganggap ia satu anugerah. Sesungguhnya Dia tidak pernah melakukan zalim ke atas hamba-Nya. Itulah penawar dan azimat ketuhanan yang saya pakai. Saya sangat mempercayai dan sayangi Tuhan.

Menyambut saya di klinik Hemato pagi itu Dr Phakariah Abu Bakar. Beliau menyambut saya bersama isteri dengan sopan dan senyum.  Kesedarhaaan cara doktor ini berpakaian sudah cukup menyenangkan saya! Daripada laporan perubatan saya yang ada di hadapannya dia sudah tahu apa masalah, sakit saya dan rawatan yang diperlukan. Saya perlu menjalani proses Kemotrapi.

Dr Phakariah memberi penjelasan panjang lebar mengenai rawatan, kaedah serta kesan sampingan Kemotrapi yang akan saya jalani.

Menurutnya ada beberapa kesan sampingan yang dilalui oleh mereka yang melalui proses ini. Yang paling ketara antaranya rambut dan segala bulu-bulu ditubuh akan gugur. Ia juga boleh merosakkan gigi, kuku menjadi hitam dan kulit juga akan hangus terbakar. Manakala mereka yang alahan boleh menyebabkan ceret berek, sembelit, mutah-muntah, pening dan sebagainya.

Sejajar dengan menerima rawatan itu beberapa kaedah lain juga akan dikenakan ke atas saya, pengambilan air tulang belakang dan sum-sum dalam tulang. Proses ini dinamakan IT (intra techal)  dan “bone marrow”. Proses IT, ialah memasukkan sejenis ubat cecair sebanyak (…). Sebelum ubat itu dimasukkan air tulang belakang dikeluarkan terlebih dahulu sebanyak (…). Air tulang belangkang ini akan dikaji untuk mengetahui tahap dan kedudukan sel kanser.

Bone marrow pula ialah, pengambilan sum-sum tulang untuk dikaji apakah sel kanser sudah memasuki ke dalam sum-sum yang menganggu kilang pemerosesan darah sepenuhnya. Sum-sum adalah kilang pemerosesan darah. Kedua proses ini menurut Dr Phakariah ia mudah dan ringkas sahaja. Tetapi dalam pada itu ada pesakit yang tidak membenarkannya kerana takut dan bimbang risikonya?

“Mudah sahaja Pakcik, doktor akan ambil sum-susm di pinggung. Caranya akan dicocok dengan jarum. Jarumnya kecil sahaja sebesar mata pena bola. Pakcik akan baring mengiring dengan mengerekokkan lutut keadaanya macam undang,” jelas Dr Phakariah.
Saya mendengar dengan teliti dan cuba membayangkan keadaan itu.

“Ia tidak sakit dan prosesnya sekejap sahaja, melainkan sekiranya sum-sum itu sukar didapati menyebabkan ia akan dicocok beberapa kali. Ini mungkin sakit sedikit, tapi tak apa,” terang doktor berasal dari Kuala Terengganu itu penuh sopan santun.

Saya mendengar sambil membayangkannya. Dr Phakriah seakan bimbang kesediaan saya untuk melalui proses itu semua. Beliau bertanya saya; “apakah Pakcik bersedia?” Tanyanya mahukan kepastian daripada saya.

Katanya ada sesetengah pesakit enggan membenarkan air tulang belakang dan sum-sum diambil kerana terpengaruh dengan berbagai-bagai tanggapan negatif. Yang anih katanya, pesakit sedia untuk diambil tetapi keluarga pula menasihat agar jangan.

Menurutnya yang bersikap begitu bukan sembarangan orang tetapi dari kalangan yang berlatar belakang dan berpendidikan tinggi. Ada juga yang berpangkat dan berkedudukan serta bergelar Datuk.

Bagi saya Dr Phakariah seorang doktor yang jujur dan berterus terang. Berkhidmat dengan penuh etika. Dia tidak memaksa saya dan menceritakan apa yang sebenarnya. Selepas memberi penjelasan itu beliau memberi peluang kepada saya bertanya apa-apa yang mungkin saya tidak faham dan mahu penjelasan lebih mendalam lagi.

“Pakcik ada nak tanya apa-apa?” Tanyanya memberi peluang kepada saya untuk mengetahui sedalam-dalamnya.

Sebenarnya semua penjelasan dibuatnya cukup terang dan saya faham. Begitu juga dengan risiko dan kesan sampingan. Saya sudah bersedia segala-galanya. Bagi saya mudah sahaja, apabila saya telah sedia untuk menerima rawatan secara moden (saitifik) maka saya percaya kepada ilmu dan kepakaran yang ada kepada doktor. Saya berfikiran positif, sebelum sesuatu jenis rawatan diperkenalkan sudah pasti ia telah melalui ujian dan percubaan yang rapi berkali-kali.

Tetapi kerana beliau memberi peluang saya menggunakan ruang itu untuk berintraksi lebih lanjut lagi sekadar mengelakkan daripada saya menerima bulat-bulat tanpa sebarang persoalan agar tidak dituduh begitu pasrah dengan doktor.

“Ada berbagai persepsi mengenai kemotrapi ini ia mengazabkan. Dan pengambilan air tulang belakang menyebabkan akan lumpuh. Sejauh mana kemungkinan ini, doktor?” Tanya saya.Sebenarnya sekadar memenuhi peluang yang diberikan.

“Tidak ada Pakcik, itu hanya persepsi sahaja. Dalam prinsip kedoktoran kita tidak akan berbuat sesuatu yang boleh mendatang akibat buruk. Prinsip utama kami ialah menjaga nyawa pesakit,” katanya bercakap berdasarkan falsafah perubatan yang dipelajarinya.

“Iya saya faham itu dan saya percaya kepada kepakaran doktor, tetapi itu yang hendak saya tahu,” balas saya.

“Insya-Allah semuanya akan selamat Pakcik,” tungkasnya. “Kalau Pakcik bersedia untuk melalui proses itu Pakcik kena singn (consent), saya akan bagi borang persetujuan untuk Pakcik tanda tanganinya.

“Selepas Pakcik menanda tangani saya akan buat temujanji untuk Pakcik menjalankan rawatan berkenaan.” Katanya lanjut sambil terus membelek-belek dokumen laporan perubatan mengenai saya yang diterima daripada doktor dalam wad.

“Saya akan percepatkan untuk Pakcik menjalani Pat Scan, imbasan ini untuk mengetahui tahap kanser Pakcik hidapi di tahap ke berapa,” katanya lagi. Dr Phakariah terus membelek dokumen saya kemudian berkata; “Temu janji untuk Pakcik buat Pat Scan lambat lagi, sebulan… tak apa saya akan percepatkan..”

Dalam pada itu beliau mencadangkan kepada saya agar menjalani Pat Scan di luar,  pusat x-try swasta. “Pakcik boleh buat di luar cepat sikit. Lagipun di sini mesyen selalu rosak. Tetapi diluar kena bayar agak banyak juga,” beliau berhenti sejenak kemudian menyambung, “Pakcik bincanglah dahulu dengan keluarga, kemudian saya akan keluar surat rekmin kepada Pat Scan berkenaan,” terang beliau lagi.

Di negara ini peralatan dan kemudahan mesyen Pat Scan ini masih belum banyak hanya ada dua  atau tiga pusat sahaja. Kesemua alat itu bertempat di ibukota Kuala Lumopur menyebabkan mereka yang mahu mendapat khidmatnya dari Timur, Utara, Selatan bahkan Sabah dan Sarawak terpaksa turun ke Kuala Lumpur.

Cara Dr Phakariah berintraksi dengan saya dan penjelasannya sangat menyakinkan. Nampak kesungguhan dan keikhlasan doktor yang sedang menyiap tesis Master  untuk membantu saya. Saya berterima kasih banyak kepada doktor ini. Layanan dan khidmat doktor seperti inilah yang diperlukan, berusaha untuk memberi perkhidmatan dan kebajikan yang terbaik.

Saya meninggalkan klinik Hemato dan Dr Phakariah dengan senang sekali dan saya seakan sudah diberikan keyakinan besar untuk menghadapi kanser. 🇲🇾

wangsa melawati,kl 7/9/16


0 Respon to “Kesembilan: Disahkan kanser Lymphoma”



  1. Tinggalkan Komen

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s


September 2016
I S R K J S A
 1234
567891011
12131415161718
19202122232425
2627282930  

Kira Imbas (15 April 2009)

Laman


%d bloggers like this: