07
Aug
16

Pertama: Sakit satu nikmat

DI MANA hendak saya mulakan penulisan buku, BIOGRAFI SEBUAH KESAKITAN ini? Kadang kala kebuntuan dalam mencari pemulaan ini menjadikan kerja sesuatu penulisan tidak bermula. Berhari-hari fail atau floder yang sudah dibuka ditinggalkan sepi. Ada kalanya fail dan floder berkenaan menjadi masam dan kasum begitu saja. Jadi biarlah saya memulakan penulisan ini dari mana-mana sahaja, janji penulisannya sudah bermula. Yang penting ia dimulakan.

 

Foto 2

Dimana hendak mulakan penulisan ini?

Untuk buku ini saya telah membuat rangka dan format isi kandungannya. Tetapi itu sebenarnya sebagai tanda letak kerja sahaja. Ia tidak semestinya menjadi dan lengsai. Seperti kerajaan hendak membina projek besarlah, buat majlis letak batu asas. Bukan main lagi majlis itu meriah, dikerah segala orang hadir. Disediakan jamuan makan dan minum kemudian acara itu disiarkan pula dalam telivisyen dan akhbar. Dipropagandakan secukupnya. Alih-alih projek itu tidak menjadi, malahan ia tidak pun dimulakan. Ia bermula setakat perletakan batu asas sahaja kemudian ditinggalkan begitu saja sehinggakan lokasi atau tapak projek itu menjadi semak samun.

Nah, begitu juga dengan rangka atau format isu kandungan sesebuah buku yang saya rancangkan. Ia banyak tertinggal begitu sahaja. Sebaliknya yang jadi, menulis secara ikut suka hati. Rubbish. Janji siap.

Keadaan ini berlaku kerana penghasilan buku, tidak ada penyelia (adviser) dan buku-buku saya tidak ada editor khas menyemak dan menyuntingnya. Jadi saya bebas menulis tanpa terikat dengan peraturan atau pun format tertentu. Mungkin kerana itu juga buku-buku saya (buku politik) dan sewaktu dengannya tidak dianggap buku yang ada standard tertentu untuk dinilai menerima apa-apa anugerah? Bagi kami yang penting buku “jalan” dapat dijual, pulang modal dan paling mustahak mesej yang dikandungnya dapat dihadam oleh pembaca.

Sudah 49 buah buku saya hasilkan semua mengikut kaedah ataupun “geragang” yang saya cipta sendiri. Sama ada ia jadi atau memenuhi kelasifikasi sebagai sebuah buku atau tidak, itulah yang dapat dipersembahkan. Itulah bentuk dan rupa buku-buku saya. ia terserah kepada penerimaan pembaca, kerana apa-apa perkara bersifat subjektif.

Mengenai buku ini, biarlah saya memulakan di mana-mana sahaja. Yang penting jadi dan sudah.

Saya hendak mulakan dengan menceritakan prihal sakit sebagai satu anugerah yang penuh dengan nikmat. Agak bambastik bunyinya. Sakit satu anugerah dan nikmat? Mungkin perkataan “anugerah” itu boleh diterima pakai. Anugerah boleh dianggap sebagai pemberian (tertakdir), tetapi tentang nikmat itu mungkin sukar untuk difahami. Mana ada nikmat dalam sakit?

Apabila sebut sakit sahaja maka terbayanglah bahana dari keadaan itu. Sakit, adalah kesusahan dan kesedihan dan tidak ada nikmat disebaliknya. Sakit suatu bencana dan musibah yang dirasai jasmani dan rohani. Justeru orang begitu takut dan menjaga diri agar tidak sakit. Sanggup habis beribu-ribu ringgit membeli ubat dan suplimen untuk mengelakkan daripada sakit. Sanggup menjual harta benda atau berhutang demi menyembuhkan sakit. Sanggup berjumpa pakar perunding atau dukun untuk menjaga kesihatan bagi mengelakkan diri daripada sakit. Perbuatan dan ikhtiar itu semua ialah kerana takutnya kepada sakit.

Usah cakap banyaklah, tidak perlu menanti sakit yang kronik, cukup sakit gigi sahaja menjadikan orang tidak senang duduk. Hilang segala tumpuan. Semua dipandang dan didengari tidak kena dan selesa. Pantang salah orang cakap dan melihat kelakuan sumbang membuat kita marah dan geram. Apa lagi kalau sakit lebih besar daripada itu seperti sakit jantung, sakit TB dan kanser, lagilah menakutkan.

Itulah realitinya. Jadi macam mana pula boleh dikatakan sakit sebagai satu nikmat?

Sakit sesuatu yang subjektif. Nilai sakit atau definasi sakit itu berbeza antara orang yang tahu alias kenal diri dengan orang yang jahil dan tidak kenal diri. Memang dasarnya sakit itu satu hal tidak menyenangkan. Satu hal menjadikan kita tidak normal lagi. Tetapi bagi mereka yang kenal diri, tahu asal usul diri, dari mana ke mana dan siapa pencipatanya, maka sakit dapat dianggapnya sebagai satu nikmat.

Mereka yang dapat melestarikan sakit itu akan menemui nikmat dan zat disebalik sakit itu. Sebaliknya mereka yang menerima sakit itu satu keadaan menyeksakan dan tidak selesa, tetap akan menganggap ia sesuatu yang menyusah dan mengacau bilaukan keadaan. Orang sebegilah menganggap sakit itu sesuatu hukuman dan denda daripada Pencipta. Mereka yang tidak mengenal diri, akan merasai keadaan itu. Sakit sesuatu yang menyulit dan menyusahkan.

Walhal kalau kita kenal diri, tahu hujung jatuh mengenai diri kita, bahawa diri kita adalah makhluk baharu (mahadith), akan menerima sakit sebagai satu nikmat dan bukan satu kesangsaraan yang sengaja diletakkan ke atas pundak kita. Atas keyakinan Pencipata, Tuhan tidak sengaja menjatuhkan sesuatu ke atas diri hambaNya dengan tujuan menyusahkannya. Untuk apa Dia mencipta hamba kemudian menyeksanya? Hakikat itulah sepatutnya diterima.

Ertinya sakit yang dialami itu adalah sesuatu yang unit dan istimewa. Kalau kita dapat menerima hakikat itu dan berpegang demikian di sinilah yang dikatakan sakit itu satu nikmat dan membawa hikmat. Pun begitu bukan semua orang dapat menerima hakikat itu. Hanya mereka yang kenal diri dan pencipatnya sahaja dapat menghayatinya.

Bagaimana untuk kita menerima sakit itu satu nikmat? Saya kembali kepada apa yang saya alami sekarang ini. Mudah-mudahan apa yang saya lalu, pengalaman yang tertimba dapat dijadikan iktibar. Sebelum ini belum pernah saya mengalami sakit yang tahap atau darjah seperti kini. Selama berbelas-belas tahun saya menghidap gaout, kencing manis dan darah tinggi. Namun nilainya atau darjah kebimbangan dan rasa cemas kerana sakit itu tidak seperti kali ini. Alah bisa tegal biasa. Semua “sakit-sakit” itu saya lalui persis seperti memakan kacang butir sahaja. Kenapa begitu? Kerana sakit itu tidak dikira mudah untuk membawa saya ke liang lahad. Sakit itu tidak dilihat serius dan kronik. Begitulah yang terpancar dan terfikir pada zahirnya.

Berbeza dengan kanser. Apabila saya disahkan menghidap kanser, penerimaan anugerah ini berbeza dengan penerimaan anugerah gout, kencing manis atau darah tinggi. Mungkin kerana tiga penyakit berangakai itu sudah lama ditanggungi oleh saya, lebih 15 hingga 25 tahun menyebabkan kesakitan dan penyeksaanya tidak terasa lagi. Ia menjadi sebahagian daripada teman dan rakan akrab kepada kehidupan saya.

Lagipun sakit atau penyakit itu tidak semerbahaya kanser. Kalau ia merupakan kawan, ia tidak seganas kanser. Ia bukan Mafia. Jarang diketahui penyakit itu membawa mati, walaupun ada yang menghadap Tuhan gara-garanya. Sebaliknya kanser sebut sahaja menyebabkan orang akan berkerut kening. Muka akan berubah serta merta. Phobia kanser sebagai “silent killer” sungguh menakutkan.

Mungkin kerana itu maka saya membuat penilaian berbeza mengenai penyakit ini, punya persepsi berlainan. Saya menjadi lebih fokus kepada kesakitan ini dan membawa jauh ke dalam diri. Menghayati secara mendalam dan membaca akibat dan natijahnya. Saya hadapi seperti seperti sedang berhadapan dengan pita penamat dalam sebuah pecutan, saya memerlukan tenaga sepenuhnya mahu menyudahi larian itu. Melupai segala-galanya yang lain dan memberi tumpuan sepenuh kepadanya. Penumpuan penuh itu menyebabkan saya terasak dengan pelbagai bayangan kemungkinan.

Alhamdulilah saya tidak lama berada dalam bayangan angan-angan mencari hakikat. Bertolak dari itu saya menjadi mudik semula ke hulu, kembali ke pengkalan yang telah ditinggalkan lebih setengah abad. Perjalanan saya terlalu jauh melalui pelbagai liku, lembah dan bukit Bukau. Kealpaan menjadi saya keliruan antara haq dan batil. Apabila sakit menyebabkan setiap malam saya menjenguk ke dalam diri, bermahasabah mencari erti dan membuat definasi demi definasi. Malam menjadi panjang dan ia berupa menjadi sebuah gua misteri kepada saya untuk mencari dan mengenali diri dengan lebih cerat lagi.

Bila berjalan terlalu jauh, maka bukan sahaja banyak pengalaman baharu, tetapi banyak sejarah lampau dilupakan. Segala kebaikan yang digenggam selama ini terlepas. Papan tanda perjalanan juga sudah terlupa disebabkan lama berjalan. Justeru kesakitan itu mengembalikan saya kepada asal, berpatah balik ke jalan yang ditinggalkan. sakit memberi kesempatan baik untuk menolek semula ke belakang melihat jalan yang ditinggalkan. Daripadanya kita datang dan kepadaNya kita kembali. Inalilahiwanailahirajiun.( ا إِلَيْ)هِ رَاجِعونَ).

Setelah memahami erti dan hakikat ini saya kata sakit itu sebagai sebuah nikmat. Sebuah anugerah yang sangat mahal untuk difahami. Pun begitu saya tegaskan nikmati ini hanya berlaku kepada mereka yang mengenali dirinya sendiri. Bagi mereka yang tidak mengenali diri, tidak akan menemui apa lagi merasai nikmati ini. Bahkan mereka akan merintih, menyesal dan terkilan dengan sakit yang ditanggungnya. Akan menganggap sakit itu sebagai satu kecelakaan. Merasakan dirinya dianiaya dan Tuhan tidak berlaku adil kepadanya. Subhanalllah. (سبحان الله ).

Percaya dan yakinlah sebenarnya bukan begitu.

Perasaan dan andaian itu wujud kerana kelemahan dan kejahilan diri kita yang tidak mengenal siapa kita dan mengenali Tuhan kita. Orang yang sedemikian seperti tidak pernah tersua dengan cermin hikmat untuk mematulkan rahsia dirinya yang sebenar.

10:04 am 19/7/16
Wangsa Melawati, Kuala Lumpur.
[wm.kl.9:57 am 15/07/16]


0 Responses to “Pertama: Sakit satu nikmat”



  1. Tinggalkan Komen

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: