Archive for the 'Uncategorized' Category



25
Mei
11

Husam Buat Ralat Memperbetulkan Semula Nawaitu Perjuangan

TAMPAKNYA ruang fikir yang saya berikan menerusi catatan (posting pada 23 April, dibawah tajuk “Mentafsir Kenyataan Husam Yang Mahu Memperkasakan Hadi” diberi perhatian dan dinilai baik oleh Husam. Di hujung catatan itu saya menulis; “Sesungguhnya masa masih tersisa kalau Husam mahu mengubah niatnya untuk ikut sama memeriahkan muktamar dengan bertanding mana-mana jawatan yang lebih tinggi daripada Jawatankuasa Agung.”

Husam Musa

Selepas sebulan saya memberi mesej itu akhirnya Husam mengeluarkan kenyataan yang saya kira mengembirakan para penyokongnya dan juga orang-orang Pas Kelantan. Nun jauh di Chengdu China, beliau membuat kenyataan ingin ikut sama merebut jawatan Naib Presiden yang pernah dimenanginya selama dua penggal.

Tidak syak lagi perubahan sikap dan ralat fikir Husam itu ekoran perubahan sikap dan pendirian Tuan Ibrahim Tuan Man yang hari ini telah menyatakan kesediaanya untuk bertanding jawatan timbalan presiden. Bermula dari keputusan inilah maka Husam turut mengubah sikap dan belajar dari ulama? Kalau Tuan Ibrahim seorang ulama boleh mengalih kata, kenapa tidak dengan Husam lagi pun mereka dalam ‘game’ politik.

Apakah ini kebetulan atau ada strategi, tidak perlu difikirkan. Yang penting demikianlah politik yang mana keputusan, kenyataan dan sikap tidak rigid. Pergaduhan juga tidak kekal hingga ke neraka! Ia boleh berubah-berubah mengikut masa dan keadaan. Perubahan ini pula bukan dosa, kerana politik itu sendiri unik dan mempunyai empat rukun yang mesti dilalui. Rukun itu ialah 4C.

Biarlah saya tidak mahu mengulas apakah Husam akan menang atau tidak. Itu perkara nombor dua. Yang penting beliau ikut sama memeriahkan muktamar dan memberi kepuasan kepada penyokongnya. Seperti mana katanya kesediaan itu membawa agenda untuk memprofesionalkan ulama dan mengulamakan profesional. Saya rasa satu “tag line” menarik yang mana realitinya bukan mudah untuk diurus dan laksanakan. Alasan lain kata Husam kesediaan itu kerana Kelantan perlu ada seorang pemimpin diperingkat tertinggi.

Alasan benar dan tepat malahan itulah keperluannya kalau sesiapa bertanding jawatan tertinggi. Sebabnya Tok Guru Nik Abdul Aziz akhirnya akan meninggalkan juga serambi politik Kelantan. Kelantan adalah sebuah negeri yang menjadi pemandu kepada kerajaan Pas lain. Wajar ianya diurus tadbir dengan baik dan impaktif. Malahan ketika kali pertama saya menyokong beliau bertanding jawatan naib presiden tahun 2004 itulah juga alasan dan nawaitunya untuk mencetakkan seorang pemimpin yang berkebolehan dan ada keupayaan. Begitu juga dengan penurunanya ke Kelantan untuk membantu pentadbiran Tok Guru yang pada masa itu dalam perhatian saya kurang bermaya.

Saya sangat berharap dengan turunnya Husam, beliau boleh berpadu dengan beberapa pemimpin pelapis lain bagi menguat dan mempertahankan Kelantan. Sayangnya ia berjalan sekerat jalan saja, cita-cita dan impian murni yang saya sandarkan kepadanya untuk menjadi penyalin kepada kumpulan ‘Tiga Abdul” tidak menjadi. Salahnya bukan Husam seratus peratus tetapi orang lain juga yang semacam cemburu kepada kelajuan Husam dan gagal pula untuk mengikut rentak Husam yang bergerak secara bersendirian yang seakan tidak lagi mahu menoleh kepada kawan-kawan.

Ternyata penurun Husam tidak sia-sia. Dalam sekelip mata sahaja dia dapat menjana ekonomi dan meletakkan Kelantan sebagai negeri popular. Kerajaan Kelantan dalam suasana hidup dan menjadi sebutan. Berbagai-bagai idea dan karjaya ekonomi yang dibuatnya. Walaupun ada setengahnya tidak berjaya kerana pelaksanaanya tidak ikhlas dan kompeten, tetapi yang nyata Husam telah berjaya mencetuskan satu suasana baru di Kelantan. Dalam kata lain Husam ada “penyembah” semangat untuk anak-anak muda.

Sekiranya Husam tidak membuat kesilapan-kesilapan kecil (sama ada disedari atau tidak) yang akhirnya mencacatkan dirinya, tentu Husam hari ini sudah menjadi tokoh yang hebat berada di setiap hati rakyat. Dalam tilikan saya beliau bukan sahaja material untuk setakat menjadi timbalan presiden Pas, tetapi presiden juga. Saya pernah mengatakan kepadanya yang saya ketika itu sedang mencipta malam untuk bermimpikan dia jadi presiden.

Tanpa prejudis dan mahu bernostalgik kisah dan kelukaan-kelukaan lampau, langkah Husam itu perlu dialu-alukan. Dalam soal ini jangan meletakkan kehendak peribadi sebaliknya mengutamakan kepentingan diri dan kerajaan negeri. Semua orang harus memberi semangat baru kepadanya dan mudah-mudahan dengan adanya cocokan semangat Husam akan kembali kepada tempat selayaknya.

Bagi saya langkah diambil Husam itu sesuatu yang bijak dan tentu sudah difikir semasak-masakanya. Langkah itu bolehlah disifatkan Husam mahu memperbetulkan semula kesalahan dan akan cuba untuk bangkit sekali lagi dari bawah dengan penuh kewaspadaan dan tawaduk. Jadi apa salahnya kalau beliau diberi peluang untuk mahasabah diri, kerana tidak terkecuali siapa di antara kita semuanya ada kesilapan. Kesilapan itu pula harus dilupakan kalau sudah ada niat untuk memperbetulkannya. [wm.kl.8:35 am 25/05/11]

23
Mei
11

Calon Senator Kelantan

Tiga Tokoh Ini Rasanya Layak Jadi Senator

SELEPAS saya postingkan catatan bertajuk siapa “Siapa dipilih jadi Senator Kelantan” dua tiga orang penjenguk bertanya kepada saya, siapakah gerangan mereka. Ada juga yang berani menelefon untuk mengetahuinya. Saya kata, saya tidak tahu, tapi mereka paksa juga, sambil beranggapan saya sudah tahu nama bakal senator berkenaan.

Memang saya tidak tahu cuma apa yang didengari Pas Kelantan sedang mengenal pasti beberapa nama baru untuk dilantik jadi senator sebab salah seorang senator lantikan kerajaan Kelantan sudah tidak akan disambung lagi. Manakala seorang lagi senator masih belum tamat tempoh penggalnya.

Saya juga tidak tahu kalau sudah ada mereka yang melobi untuk mendapatkan jawatan itu. Katanya sudah ada yang sering bertanya ke mana Tok Guru sembahyang untuk diekorinya. Saya tidak fikir kalau ada sanggup berbuat demikian kerana untuk dipilih jadi senator.

Sehubungan itu saya cuba merisik apakah sudah ada calonnya. Dan kalau ada apakah ianya sesuai atau sebaliknya. Saya sebagai rakyat Kelantan sangat mengharap mereka yang dilantik menjadi Ahli Dewan Negara nanti biarlah orang yang benar-benar ingin berkhidmat kepada rakyat dan bukan menjadikannya jawatan itu sebagai batu loncatan saja. Itu merugikan masa dan rakyat Kelantan.

Jadi apabila saya ditanya pandangan peribadi mengena kriteria calon, maka saya terpaksa menyuluh ke Kelantan melihat tokoh-tokoh yang berwibawa dan munasabah untuk dilantik menjadi senator.

Ada beberapa nama yang tersaul dek akal. Mereka ini bukan usahawan atau bangsawan, tetapi mereka yang setia dan banyak berkorban kepada parti. Mereka juga setia dan wala’ kepada pemimpin dalam keadaan apa juga. Mereka juga telah teruji, ikhlas dan tidak mudah merajuk apabila sesuatu tidak diberikan kepada mereka.

Sebenarnya orang-orang seperti inilah patut dipilih dan dinilai untuk menjadi senator. Kalau perlantikan senator itu sebagai membalaskan jasa mereka kepada parti, orang inilah juga gerangannya. Mereka ini bukan baru dalam parti dan sudah lama berjuang untuk parti dan memikul amanah parti dengan penuh istiqamah.

Begitu juga ketaatan mereka kepada pemimpin juga tidak boleh dinafikan. Dari segi kebolehan dan profesional tidak terkalah kalau dibandingkan dengan senator jantan yang sudah tamat tempoh penggal pertama itu.

Tokoh yang saya maksud itu ialah Dr Izani Husin dari Pengkala Chepa Kelantan. Beliau merupakan ahli jawatankuasa Pas kawasan itu. Pernah dilantik menjadi Bendari Pas Kelantan. Sekurang-kurang dua kali disebut akan diletak bertanding di salah satu kerusi Dun di Pengkalan Chepa tetapi tidak pernah menjadi kenyataan.

Beliau juga pernah disebut untuk dilantik menjadi Pengurus PKINK dan juga Pengurus Eksekutif PMBK untuk mengganti tempat Ariffahami Abdul Rahaman. Tetapi kedua-dua itu tidak menjadi. Bagaimana pun Dr Izani tidak pernah kecewa dengan apa yang berlaku dan menganggapnya sebagai takdir.

Secara peribadi beliau banyak membantu Tok Guru bila MB itu di dalam kesusahan. Beliaulah yang berdiri di belakang membela Tok Guru tatakala MB itu berserabut. Bagaimana pun peranan ini tidak pernah diketahui umum kecuali Tok Guru sendiri.

Seorang lagi ialah Dr Zulkefli Mohamad bekas Ketua Pas Kawasan Gua Musang. Sudah tiga kali bertanding dalam pilihan raya, namun semuanya kalah. Terbaru beliau diletak menjadi calon Pas pilihan raya kecil Galas, Gua Musang.

Zulkefli tidak pernah kecewa dan tidak pernah kata ‘heh..’ kepada parti yang memberi tanggungjawab untuk menentang Tengku Razaleigh. Beliau juga dikenali sebagai aktivis parti yang ulet dan rajin. Semasa menjadi ketua Pas kawasan Gua Musang beliau tidak pernah mis menghadiri mesyuarat badan perhubungan Pas di Kota Bharu. Kerajinan dan keikhlasan inilah kalau Pas ingin membalas jasa-jasanya dengan melantik senator. Perlantikan itu juga akan menjadi cenderamata untuknya walaupun ia bukan atas permintaannya.

Kalau Dr Zulkefli dilantik menjadi senator juga ia merupakan sejarah buat Pas kerana itulah ahli Pas Gua Musang yang pertama kali dilantik menjadi senator. Sebelum ini perlantikan senator berkisar kepada ahli-ahli parti di sekitar Kota Bharu sahaja.

Dalam pada itu ada seorang lagi tokoh yang gigih dan tabah dalam perjuangan. Beliau tidak pernah teralat dengan apa yang dialaminya. Tidak pernah menuangkan aktviti parti. Tokoh dimaksudkan itu ialah bekas Ahli Parlimen Jeli, Mohd Apandi Mohamad.

Selama tujuh tahun beliau terpaksa naik turun ke mahkamah atas tuduhan rasuah semasa menjadi ahli parlimen. Beliau hadapinya dengan bersendirian dan keluarganya. Tuduhan berupa fitnah yang dilemparkan kepadanya itu bukan kecil tetapi amat besar menimpa jiwanya. Calang-calang orang mempunyai daya dalaman seperti beliau. Pun begitu ia sedikit pun tidak menjejaskan semangat perjuangannya.

Walaupun Apandi boleh mencari jalan untuk menyelesaikan kesnya dengan tidak menentang Mustapa Mohamed di Jeli, tetapi beliau tidak berbuat begitu. Pernah terdengar ada tawaran secara lisan dibuat kepadanya agar kes itu diselesaikan. Namun beliau tidak pernah menerima. Mustapa dihadapinya juga dengan keyakinan Mustapa bukan saja musuh politiknya di Jeli tetapi musuh Pas.

Selama berdepan dengan risiko itu beliau menangis sendiri. Beliau tidak pernah merenget dan merintih apa lagi cuba menyalahkan parti. Setiap kali ke mahkamah untuk menghadapi perbicaraan beliau tidak pernah pun diiringi oleh penyokong Pas usahkan ribuan, belasan pun tidak. Kalau yang senantiasa menamaninya ialah para pemimpin dan ahli Pas Jeli saja. Tetapi itu bukan alasan Apandi untuk dia merasa kesal dan kecewa. Atas kesedaran menhaj perjuangan ditanggungnya risiko itu bersendirian penuh sabar.

Alhamdulih akhir kebenaran menjelama juga. Beberapa bulan lalu Apandi dibebaskan dari tuduhan yang cukup memakan hati dan jiwanya itu. Hari ini Apandi bersih sebersih bayi atas tuduhan itu dan semangat juangnya makin berkorbar-kobar.

Keistimewaan Apandi bukan itu saja. Dia juga dikenali sebagai dermawan di kalangan parti Pas. Selain itu dia juga seorang komited dan beriltizam. Peluang menjadi ahli Parlimen selama sepenggal 1999 – 2008 membuktikan bahawa Apandi seorang pembahas yang baik dan lantang di dewan rakyat yang setanding dengan Husam Musa, Ibrahim Ali dan lain-lain.
Kalau Pas mengenangkan jasa Apandi maka nama beliau tidak seharusnya tercicir dalam pemilihan untuk dilantik menjadi senator. Berbanding dengan dua nama tadi Apandi lebih berkelayakan kerana beliau sudah ada pengalaman. Lainlah kalau Apandi tidak berminat menjadi senator tetapi lebih suka menjadi ahli Parlimen.

Selain daripada tiga tokoh berkenaan saya tidak nampak ada lagi tokoh lain yang berwibawa. Kalau pun ada dan terliur untuk menjadi senator adalah mereka yang tidak cukup inci, kurang daripada 5 kaki 2 inci yang ilmu politiknya sebanyak darah nyamuk saja. Apakah salah seorang daripa mereka calonnya? Walahu’alam. [wm.kl.8:10 pm 23/05/05]

12
Jun
09

Pemakluman

Aku dan Tok Guru: Mentafsir Nik Aziz Sebagai Politician dan Ulama, akan muncul

InsyaAllah dalam masa terdekat ini saya akan memuatkan beberapa kisah Aku dan Tok Gurudan kenangan saya bersama Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menerusi diarymaya ini. Catatan ini merupakan pengamatan peribadi saya terhadap beliau sebagai ahli politik dan sebagai seorang murabbi. Ianya akan bermula seawal pertama kali saya menyebut namanya dan melihat wajahnya disekeping poster pilihan raya yang dibawa balik arwah ayah ke rumah sekitar tahun 1967.

Waktu itu usia saya dalam lingkungan tujuh atau lapan tahun. Catatan ini akan dinamakan “Aku dan tok Guru – Mentafsir Nik Aziz sebagai politician dan ulama”. Catatan ini adalah pandangan peribadi saya dan penilaian saya selama saya menuruti jejak perjuangannya dalam Pas, disamping cerita-cerita tentangnya dari pertuturan yang dapat diyakini.

Kemunculan catatan ini juga tidak berkala, maksudnya tidak ada jadual khususnya. Kemunculannya ia bergantung atas kerajinan dan selera saya untuk menggarapkannya. Mudah-mudahan Allah s.w.t. memberi kekuatan untuk saya mengerjakannya. Juga diharap catatan ini akan memberi gambaran dan maklumat sebenarnya kepada umum mengenai keistimewaan dan kelemahan Nik Aziz sebagai politician dari aliran tinta pena saya. Kepada peminat diarymaya diucapkan selamat mengikuti catatan ini. MSO

28
Mei
09

Pemakluman

Sambutan terhadap blog selasar diarymaya.wordpress.com begitu memberangsangkan. Sehingga hari ini (28/05/09 jam 8:00 pm) jumlah page viewnya sudah mencecah 40,200 satu pencapaian yang diluar dugaan. Ini sekaligus menunjukkan tokoh yang dihikayat itu popular dan menjadi sorotan umum.

Sebagai menghormati kepada tokoh berkenaan, Husam bin Musa yang telah mengistyharkan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden Pas, saya bercadang untuk menghentikan seketika penulisan hikayat ini bagi mengelakkan salah tanggap yang saya teus-terusan menganggu beliau dan para penyokongnya.

Siri ke 11 baru dipostkan. InsyaAllah saya akan sambungnya semula selepas muktamar Pas. Terima kasih.

Salam hormat MSO.

03
Mei
09

Hikayat Si Baju Merah (5)

Cerita Husam dan Kakak Tua Berbulu Emas

BAKAT Husam sebagai wakil rakyat dan tokoh politik (Pas) mulai dicipta dan dikesani sejak beliau menjadi ahli Parlimen, Kubang Kerian 1999 – 2004. Penglibatannya dalam perbahasan di parlimen menyerlahkan kehebatan Husam. Dia sering kali dirujukkan sebagai ahli parlimen yang berbahas dengan menggunakan fact and figure. Husam tidak bercakap kosong dan merapu di parlimen.

Semasa di parlimen jarang sekali saya melihat dia menjampuk ucapan orang lain tidak tentu fasal yang tidak ada kena mengena dengannya. Husam seorang yang serius dan bersopan santun dalam parlimen. Dia tidak suka berjenaka dan menjampuk cakap orang lain sehingga membuang masa. Dia hanya bangun pada waktu yang tepat dan untuk mengemukakan pertanyaan atau memperbetulkan fakta yang salah.

haikayat-logo1

Kerana penampilan itu menyebabkan orang ternanti-nanti perbahasan Husam di parlimen. Pegawai kerajaan juga menanti-nanti apakah yang akan dibangkit dan didedahkan oleh Husam setiap kali ada sidang dewan. Bekas perdana menteri pernah mengatakan, kualiti ahli parlimen yang seperti Husam itulah yang kita mahu. Saya pernah menyampaikan hal ini kepadanya, dan dia hanya tersengih.

Husam seorang rajin membaca dan membuat homework sebelum ke parlimen. Sebab itulah beliau boleh bercakap dan mematikan hujah pihak kerajaan. Adakalanya pihak kerajaan akur dengan apa yang dibentangkan. Ada maklumat dan fakta yang dalam kepalanya tidak ada dalam kepala ahli parlimen kerajaan hatta menteri sendiri. Inilah menunjukkan betapa intelligentnya Husam.

Husam ada ramuan sendiri kenapa beliau mampu tampil menjadi seorang ahli parlimen berkualiti?
Selalunya beberapa hari sebelum dia hendak mengambil bahagian berucap atau membahas sesuatu isu beliau akan ‘mengarahkan’ beberapa orang pembantu sukarelanya untuk mencari bahan ataupun maklumat mengenai isu yang hendak dibangkitkan. Pekerja sukarelawan ini akan mencari segala keperluannya siang malam untuk dihidangkan kepadanya sebagai bekalan di parlimen.

Misalnya saya masih ingat bagaimana pembantu sukarelannya bertungkus lumus mencari fakta dan bahan berhubung dengan perjudian di Genting Highlandas. Isu ini menyebabkan Tengku Adnan Mansor yang menjadi menteri pelancongan ketika itu jadi tidak senang duduk di parlimen. Isu perjudian di Genting menjadi isu nasional yang baik kepada pembangkang.

Kepandaian Husam membina jaringan dengan orang ramailah memungkinkan beliau muncul sehebat itu. Jaringannya bukan saja dengan golongan wartawan, broker politik tetapi turut sama dengan para pegawai kerajaan, swasta dan sebagainya yang banyak menyimpan maklumat-maklumat korporat dan awam.

Husam juga pandai mencari tali hayat bagi membantunya yang tersempit di dalam dewan. Misalnya semasa satu sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan beliau pernah mengSMSkan kepada saya minta bantuan bagaimana hendak membalasah Annuar Musa (ketika itu ketua pembangkang) yang sedang mengkritik hebat kerajaan di sidang Dewan. Husam akan mencari akal dan menghubungi seiapa saja untuk membantunya. Cara dan kebijaksanaan itulah menjadikan Husam hebat dan bertenaga sepanjang masa!

Dalam pada masa sama beliau juga pandai bermain hati dengan para wartawan. Wartawanan cukup menyenangi Husam kerana beliau pandai memberi bahan berita atau pun membuat gimik. Penganugerahan Newsmker of the year oleh protal Malaysiakini membuktikan akan kehebatan Husam dalam jalinan dan kepandaiannya main hatinya dengan wartawan.

Kesukaan wartawan kepada Husam ini sungguh hebat dan jarang digapai oleh ahli parlimen lain. Hebat tidak hebat apabila seorang wartawan pernah menghantarkan sejambak jambangan bunga kepadanya. Saya tidak tahu apakah bunga itu masih ada lagi atau tidak, tetapi ia disimpan sekian lama di rumah salah seorang kawannya di ibu kota. Husam pernah ditunjukkan jambangan itu kepada saya. Bagaimana bau jambangan itu saya sudah lupa…

Inilah cara Husam bekerja dan tidak ramai ahli parlimen lain yang tahu. Apabila beliau ingin sesuatu daripada seorang beliau akan berjumpa orang berkenaan. Dia akan ulang-ulang berjumpa orang itu dalam keadaan apa saja sekalipun. Tidak cukup dengan menelefon dia akan datang sendiri ke rumah orang berkenaan sehinggalah apa yang dihajati dari orang itu akan diperolehi. Kalau perlu mengeluarkan belanja dia tidak akan loket untuk berbuat begitu.

Mengenai sikap Husam yang satu ini saya cukup mengenalinya. Saya ada pengalaman cukup baik untuk membuktikanya sikap dan fiil perangai Husam. Sekali dengar macam dalam hikayat 1001 malam sahaja, tetapi ini adalah realiti mengenai diri Husam. Mungkin sukar untuk dipercayai! Tetapi bagi mereka yang ada kisah dan cerita tersendiri dengan Husam akan tersenyum mendengar pengalaman saya ini.

Pengalaman ini juga menunjukkan sifat Husam di mana kalau dia mahukan sesuatu dia akan usaha dengan apa cara sekalipun. Dia akan sanggup mengunakan apa cara kaedah dan muslihat hatta memperalatkan orang lain. Biarlah orang lain menghadapi masalah atau hampir kena gari tidak mengapa, asalkan hasratnya tercapai. Bagi Husam dia menerima konseop matlamat menghalalkan cara.

Ketika itu saya bersamanya singgah di Medah, Sumatera Utara. Kami dari Aceh menyampaikan bantuan kerajaan negeri Kelantan kepada mangsa tsunami 2004. Disebabkan tidak ada penerbangan terus dari Aceh ke Kuala Lumpur, kami transit di Medah dan esok akan sambung penerbangan ke Kuala Lumpur.

Untuk menghabiskan masa kami round bandar Medah. Jalan-jalan ke serata tempat termasuk makan dan minum. Nak jadikan cerita kami tersasar ke Jalan Bintang. Di disni adalah tempat jualan haiwan dan unggas. Macam-macam binatang ada di sini; kura-kura, ular, musang, kucing, bobong, jibong, arnab dan entah-entah lagi. Burung pula berbaga-bagai… dari burung sebesar ibu jari sampailah burung sebesar anak kambing. Riuh randah kawasan ini dengan bunyian segala macam burung.

Bersama Husam merenung masjid Baitulrahman di Aceh yang teguh meskipun dilanda tsunami 2004.

Bersama Husam merenung masjid Baitulrahman di Aceh yang teguh meskipun dilanda tsunami.

Di sebuah kedai menjual burung Husam sudah terpikat dengan seekor burung kakak tua yang pandai berkata-kata. Husam sangat tertarik dengan burung ini. Sebaik kami melangkah masuk burung ini membunyikan suaranya; selamat pagi pak…! Mulanya saya dan Husam mengira ia datang dari suara anak tuan kedai itu.

“Burung ini ke yang bercakap tadi?” tanya Husam kepada tuan kedai.

“Iya, Pak… ini bisa ngomong… bagus Pak?” tuan kedai menceritakan perihal burung berkenaan yang tercokol atas canggung, kakinya dirantai.

“Berapa umurnya ini?” tanya Husam.

“Oh baru tiga tahun Pak… burung ini usianya panjang, Pak, ada yang sampai hampir 70 tahun. Sekarang ya baru dua tiga rangkai perkataan dapat dilafazkan. Tetapi nanti kalau lama lagi banyak yang bisa dilafazkan,” cerita si pekedai itu makin ramah dan berambu-rambu.

“Dia boleh dangdut ke?” gurau Husam. Eh… tahu juga dia dangdut! Husam sudah terpesona dengan burung berkenaan. Dia mula mengosok-gosok burung itu dan kakak tua itu menunjukkan kemanjaan dengan mengigit-gigit manja jari Husam sambil membunyikan suara manja.

“Tak bengkeng ke …dia?” tanya Husam dalam bahasa Kelantan terlupa yang dia di Indonesia..

“Er maksudnya, pak burung ini enggak garang,?” saya cepat-cepat perbetulkan bahasa slanga Husam.

“Oh enggak..dia baik..bsia dibawah main-main dan begini-beginikan,” cerita tuan kedai itu… sambil mengelus dan menarik-narik kepak burung itu mengajar Husam bagaimana hendak memanjakan kakak tua itu.

Saya sudah naik risau. Husam sudah nampak geram benar dengan burung itu. Beberapa kali saya cuba memberi isyarat untuk beredar nampaknya dia keberatan… dia tertarik dengan kakak tua berbulu emas itu.

[Sampai di hotel Husam tidak terus ke bilik sebaliknya dia menghilang. Ke mana? Dan apa kesudahan dengan burung kakak tua berkenaan, Bersambung]

29
Apr
09

Hikayat Si Baju Merah (4)

Husam dan buku Tiga Abdul

RASA takut dan kecut perut Wan Abdul Rahim Wan Abdullah (cikgu Rahim) kepada Husam Musa tidak dapat diselindungkan. Cikgu Rahim jealous dan dia juga seorang yang cerdik. Cikgu Rahim seorang politician yang licit, membelut. Dia tidak ‘makan’ orang di hadapan tetapi akan menelannya di belakang, memakan orang secara api dalam sekan.

Panjang cerita kalau nak dikisahkan mengenai cikgu Rahim ini yang saya kenal sejak tahun 1980-an lagi. Bagaimana pun satu hal yang saya puji mengenai cikgu Rahim ialah cara dia berpolitik kelas dan tidak suka konfrontasi dengan sesiapa. Betapa cikgu Rahim bergelegak nak marah dia boleh senyum. Saya ada pengalaman dalam hal. Cikgu Rahim bukan senang dengan saya apabila saya menulis buku Tiga Abdul, yang turut mencalarkan kanvas politiknya. Namun dia masih boleh tersenyum dan minum sekali.

haikayat-logo1

Itu yang saya kata dulu cikgu Rahim adalah antara orang yang ada pakai ilmu dan azimat politik Mohd Asri Muda. Boleh tersenyum pada musuh meskipun di dalam hati panas mendidih. Inilah politik stail orang dulu, profesional! Jauh berbanding dengan orang politik hari ini, pantang tegur sikit rajuk dan marahnya sukar diubat. Dahlah itu liat untuk menerima nasihat orang.

Kembali meriwayatkan perihal Husam dulu si baju petak-petak merah ini bergerak aktif dalam Pas kawasan Kota Bharu. Dia adalah ketua pemuda Kota Bharu. Dari sinilah dia naik perlahan-lahan dan akhirnya menguasai Dewan Pemuda Pas Kelantan, menjadi ketua pemuda. Kedudukannya selepas itu berganjak menjadi Naib Yang Dipertua Kota Bharu.

Kemaraan Husam setangga demi setangga ini membimbangkan cikgu Rahim yang dilihat bakal menjadi pesaingannya di Kota Bharu. Cikgu Rahim dapat melihat kehebatan Husam ini sewaktu Husam menjadi setiausaha politik Tok Guru Nik Abdul Aziz. Serentak dengan kenaikan dalam jemaah, jawatan politiknya dan hubungan dengan Nik Aziz juga semakin rapat. Keadaan ini menyebabkan cikgu Rahim tidak lagi menjadi penasihat kepada Nik Aziz.

Cikgu Rahim memerhati perkembangan ini penuh waspada. Kerana sudah membaca apa yang akan berlaku akhirnya, sebelum ular lidi menjadi naga, beliau merasakan perlu berbuat sesuatu bagi mengekang kemaraan Husam di Kota Bharu. Sesuatu harus dibuat segera untuk membendung keadaan sebelum menjadi buruk. Sebagai orang politik lama cikgu Rahim cukup arif dengan politik langkah kepala!

Kebetulan tahun 1999 Husam mula menjadi seorang wakil rakyat sebagai ahli Parlimen Kubang Kerian. Kedudukan ini sangat baik untuk digunakan cikgu Rahim bagi mengawasi Husam dan sekaligus menyahkan Husam dari kawasan Kota Bharu.

Maka proses penghalauan Husam dari Kota Bharu dijalan dengan penuh diplomasi.
Perundingan lantas diadakan dan orang yang memainkan peranan berunding ialah bekas Setiausaha Pas Kawasan Kota Bharu, Allahyarham Zainuddin Abdullah yang dikenali dengan Zainuddin Kubur Maras.
Zainuddinlah yang berunding dengan Husam sambil memberi pandangan untuk politik masa depannya. Rahsia yang tersirat disebalik proses itu ialah untuk menyelamatkan cikgu Rahim.

Disebabkan Husam adalah ahli Parlimen Kubang Kerian jadi eloklah kalau Husam berpindah kawasan dari Kota Bharu ke Kubang Kerian. Dengan bergerak aktif dalam kawasan Kubang Kerian ia memberi dua manfaat kepada Husam dapat membantu Pas Kawasan Kubang Kerian dan sekaligus menambahkan darjat dan sufaatnya dalam politik.

Kubang Kerian dikira kawasan sesuai bagi Husam. Kawasan ini juga mempunyai pengundi yang bercampur, sedarhana dan elit. Dengan kelulusan dan latar belakang Husam kawasan itu pantas untuknya. Kubang Kerian juga dikenali dengan kawasan Pas sejak lama dulu. Mungkin atas perkiraannya sendiri Husam bersetuju berpindah ke kawasan ini.

Mulanya beliau dipilih menjadi Naib Yang Dipertua Kubang Kerian. Disebabkan keuzuran Muhamamd Iraqi yang menjadi ketua ketika itu, akhirnya beliau mengambil alih jawatan YDP hingga sekarang?

Apa yang berlaku di Kota Bharu dan dilakukan oleh cikgu Rahim itu menunjukkan cikgu Rahim bimbang dengan gelagat Husam. Sebagai seorang ahli politik yang suka bermuslihat dan menjerat orang tentu cikgu Rahim walang dia akhirnya terjerat kepada Husam. Bagi cikgu Rahim, Husam bukan kecil anak. Hang Nadim perlu dibunuh.

Dengan perpindah secara terhormat Husam itu maka selamatlah cikgu Rahim kekal di Kota Bharu sehingga hari ini.

Pun begitu politik Husam terus diperhatikan oleh cikgu Rahim. Peristiwa dan kejadian sebelum ini menyebabkan beliau tidak mudah menerima seperti mana yang ada. Dengan apa cara dan apa tindakan, Husam perlu dipantau agar ianya tidak sampai memenjalar dan melembarkan pengaruhnya di Kota Bharu dan juga Kelantan. Tetapi caranya tetap halus dan berhemah iaitu dengan berbaik-baik dengan Husam.

Mulanya ada usaha untuk mengekang Husam dan juga beberapa pemimpin muda seperti Wan Ismail Wan Jusoh, Takiyuddin Hassan dan lain-lain yang dicemburui oleh cikgu Rahim and the geng, kumpulan Tiga Abdul. Tetapi nampaknya tidak berkuasa. Kelicitan dan politik golongan muda khasnya Husam yang canggih menyebabkan cikgu Rahim dan the gengnya terpaksa mengaku kalah.

Kejatuhan cikgu Rahim bersama Abdul Halim Abdul Rahman dan Abdul Fatah Haron yang saya akronimkan menjadi Tiga Abdul memberi ruang cukup baik kepada Husam untuk terus naik kemudian menguasai politik Kelantan. Kejatuhan Tiga Abdul sebenarnya membantu mempercepatkan proses kenaikan Husam dalam politik di Kelantan. Dalam tragedi itu cikgu Rahim dilucutkan jawatan setiausaha badan perhubungan Pas Kelantan manakala Abdul Fatah dilucutukan jawatan ketua penerangan. Perlucutan ini memalukan mereka berdua.

Walaupun Abdul Halim dikekalkan sebagai timbalan pesuruhjaya namun tanpa cikgu Rahim dan Fatah, Abdul Halim tidak dapat berbuat apa-apa. Kehilangan dua kawannya itu menyebabkan tungku yang didakwa mendokong Tok Guru runtuh.

Buku Tiga Abdul menjadi sejarah ianya sangat nostalgik buat saya.

Buku Tiga Abdul menjadi sejarah ianya sangat nostalgik buat saya,

Ada orang mengatakan Husam terlibat dalam menjatuhkan Tiga Abdul, terutamanya bila dikaitkan dengan penulisan buku Tiga Abdul oleh saya. Ingin dijelaskan, Husam tidak terlibat dengan penulisan buku berkenaan. Husam sangat baik ketika itu dan beliau tidak menunjukkan politik-politik buruk saat itu. Malahan ketika saya menulis buku itu dan memberi tahunya, beliau hanya diam, suruh tidak larang pun tidak.

“Apakah ia tidak memecahkan parti?” begitulah tanya beliau kepada saya bila saya menceritakan perihal buku berkenaan. Ketika itu kami baru lepas makan malam di Gombak. (Aduh… makan bersama…).

“Tidak…!” balas saya. “Dan enta jangan larang ana daripada menulisnya,” begitulah balas saya menjadi dia terdiam. Saya menulis Tiga Abdul setelah mendapat green light dan mempunyai cukup bukti dari pihak-pihak yang berautoriti. Sebab itu saya berani dan ia bukan dibuat secara wewenang. Sikap Husam saya lihat begitu terhormat dan berahlak tika itu menyebabkan saya senang berkawan dengannya.

Dijelaskan sebelum saya menulis saya sudah pun mengingatkan watak-watak berkenaan secara baik. Tetapi selepas ingatan dan ‘nasihat’ itu tidak dipedulikan menyebabkan saya tidak ada pilihan lain. Orang politik yang degil, ego dan cuba membuat onar ke atas orang lain patut dibalun! Dan kerana itulah saya membalun sesiapa saja yang dikenali jahat meskipun orang yang pernah saya makan sehidangan.

Bersambung…

25
Apr
09

Hikayat Si Baju Merah (2)

Mula kenal Husam

JIKA tidak salah ingatan pertama kali saya mengenali nama Husam ialah apabila membaca laporan sebuah berita dalam Harakah sekitar tahun 1989. Berita itu mengenai kejadian tunjuk perasaan di Lemal, Pasir Mas Kelantan. Lupakan apakah tujuan tunjuk perasaan itu. Dalam laporan akhbar itu ada menyebut antara mereka yang ditahan polis ialah Husam bin Musa, wartawan Harakah. Kameranya juga dirampas polis.

Seorang kawan yang mengaku ditahan bersama Husam, Harun atau Pak Su Harun ada menceritakan peristiwa ini. Pak Su mengaku dia adalah antara orang yang ditahan dengan Husam dan makan nasi bungkus di lokap polis Pasir Mas. Entah benar cerita Pak Su atau tidak walahu’alam. Nampaknya Pak Su melebih-lebih ketika menceritakan kejadian itu. Jadi saya tidak ambil perawi dari Pak Su mengenai kejadian ini. Husam pula bila ditanya soal Pak Su hanya diam saja.

haikayat-logo1

Manakala pertemuan pertama dengan Husam ialah pada tahun 1990. Tempatnya di bawah bangunan SUK. Ketika itu saya ke Pejabat Urusetia Kerajaan Negeri di SUK itu untuk mencari gambar Ustaz Nik Aziz Nik Mat, (ketika itu Nik Aziz dikenali dengan nama ustaz), bagi dijadikan cover buku baru saya ketika itu yang berjudul “Kelantan Selepas Pantang”- bersempena 100 hari Nik Aziz jadi Menteri Besar.

Buku ini mengisahkan kejayaan Pas dalam pilihan raya 1990 dan juga satu flash back megenai kekalahan Pas pada tahun 1978 dan sekaligus menyebabkan kerajaan Kelantan tumbang. Saya ada mengisahkan mengenai sebab musab membawa kepada kejatuhan kerajaan Kelantan pada masa itu. Tidak terlupa saya juga menggarapkan antara halangan dan cabaran yang bakal dihadapi kerajaan Kelantan di masa akan datang.

Apa yang saya pesankan dalam buku itu nampaknya menjadi kenyataan selepas itu. UBN terus attack kerajaan pimpinan Ustaz Nik Abdul Aziz yang dimulai dengan sikap sesetengah pegawai kerajaan negeri yang enggan memberi kerjasama.

Ketika jumpa itu kebetulan Husam baru turun dari pejabatnya. Pakaiannya sangat simple sekali menjelaskan akan kezuhudannya. Berbaju lengan panjang dan kasutnya juga tidak begitu berkilat. Rambutnya biasanya, kurang rapi. Memang tokoh ini tidak mengambil berat kepada pakaiannya. Dia bukan seorang suka berlagak dan tidak tahu melawa! Baginya apa yang ada asalkan boleh digunakan, cukup.

Dia tidak mengenali saya. Saya kenal dia, sebab dia Setiausaha Akhbar Menteri Besar. Kami hanya sempat bersalam dan beberapa minit saja. Perjumpaan itu tidak membekaskan apa-apa kenangan baik kepada saya lebih-lebih lagi kepadanya. Untuk rapat dengan Husam seseorang itu harus ada modal besar.

Dia sendiri melupai saya selepas itu. Saya turut bertanya mengenai gambar Nik Aziz kalau-kalau beliau ada. Beliau tidak memberi apa-apa jawaban dan berlalu begitu saja tanpa menjanjikan apa-apa. Mempamirkan sikap semulajadinya itu acuh tidak acuh kepada orang yang belum dikenalinya.

Itulah pertemuan pertama dengannya. Dari pertemuan pertama saya sudah dapat membaca sedikit sebanyak mengenai diri, perwatakan dan stail politiknya. Mungkin disebabkan saya mengenali dan rapat dengan orang-orang seperti Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, Abdul Fatah Harun, Omar Mohammad, Allahyraham Wan Mohamad Jami, Bunyamin Yaacob dan seberais nama-nama lagi, pemimpin lama menyebabkan saya prejudis kepadanya, sebagai seorang yang tidak begitu excellent PRnya.

Husam bersama Razali Yusuf (kiri), inilah gambar pertama yang saya rakam sebagai menandakan bermulanya persahabatan.

Husam bersama Razali Yusuf (kiri), inilah gambar pertama yang saya rakam sebagai menandakan bermulanya persahabatan.

Orang-orang yang saya sebut tadi mempunyai PR yang cukup kelas. Biarpun dia baru mengenali seseorang tetapi dilayannya penuh mesra dan seolah kenal sudah lama. Mereka adalah anak didik ataupun meniru perangai tokoh politik Datuk Mohd Asri Muda bekas Presiden Pas yang terkenal dengan seorang ahli politik yang mempunyai standard PR yang tinggi dan cukup berhemah.

Sesiapa saja yang pernah berjumpa Asri, bersalam dan bercakap dengannya pasti akan terpesona dan tertawan. Apa lagi kalau mendengar pidatonya yang hebat dan mengoncang jiwa, menyebabkan orang akan jadi jatuh hati kepadanya. Itulah Asri yang saya hormati sampai kini. Walaupun beza usia saya dengan beliau boleh dianggap ‘anak bongsu’, namun beliau tidak pernah meremehkan orang dan sedia melayani sesiapa saja sebagai tetamunya.

Selepas pertemuan itu saya tidak tahu di mana pula saya berjumpa dengan Husam. Dan saya tidak tahu juga siapa yang mencari siapa selepas itu. Kalau tidak silap dia mencari saya, menerusi satu pertemuan secara kebetulan. Ketika itu beliau bersama ketua Pemuda Semangat 46, Rozali Yusuf, di satu meja pada majlis di JKR 10. Di sinilah kami bersalaman sekali lagi dan agak lebih mesra. Dia juga sudah mulai mengenali saya, bukan pada fiil tetapi sebagai seorang penulis atau wartawan.

Ketika berlaku krisis negeri Kelantan dengan istana, kami berjumpa lebih kerap. Bukan Husam saja mencari saya, tetapi orang-orang lain juga pemimpin pasca Tiga Abdul kini. Allahyaraham Mazlan Ibrahim yang meninggal dunia dalam satu kemalangan misteri di Siam (al Fatihah untuknya) adalah perantaran saya dengan Husam. Sesuatu maklumat atau apa-apa yang ingin Husam sampaikan – berhubung perkembangan kerajaan negeri, beliau akan lepas melalui Mazlan. Begitu juga perkembangan mengenai Husam, politik dan peribadinya Mazlan yang sampaikan kepada saya. Mazlan ada mediator antara kami.

Ketika krisis antara pegawai kerajaan negeri kemudian mengheretkan Istana dengan kerajaan negeri itu juga menyebabkan saya mulai mengkaji politik Husam. Dia sudah menjadi perhatian saya. Kenyataan-kenyataan akhabrnya sebagai Setiausaha Akhbar, Menteri Besar saya amati dan menganalisanya. Saya nampak Husam menjadi jurucakap kepada Menteri Besar Nik Aaziz. Dalam isu mengenai krisis itu beliau yang banyak menjawab dan menghuraikannya. Bagi saya Husam seorang yang kreatif dan ada idea untuk menyelesaikan sesuatu masalah.

Dalam krisis ini juga beliau berjaya meletakkan dirinya sebagai orang penting dan orang utama di belakang Tok Guru. Tindak tanduk dan penampilannya menenggelamkan usaha dilakukan oleh orang lain termasuk Wan Abdul Rahim, Ustaz Halim yang selaku timbalan menteri besar ataupun pemimpin lain. Di sinilah kebijaksanaan dan kecerdikan Husam berpolitik.

Kalau tidak silap saya, Husamlah orang yang mula-mula mendedahkan mengenai sikap dingin atau perbalahan pihak pegawai kerajaan negeri dengan kerajaan Pas. Perbalahan ini kemudian mengheret kepada pihak istana bergaduh dengan MB Kelantan, sehinggalah membawa ke kemuncaknya Sultan Kelantan enggan bersalam dengan Nik Aziz.

Walaupun politik Nik Aziz lebih diwarnai oleh Setiausaha Politiknya ketika itu, Wan Abdul Rahim, namun Husam juga turut sama membuat kenyataan disamping menjual dirinya di pasaran politik Kelantan. Kapasiti beliau sebagai Ketua Dewan Pemuda Pas beliau gunakan sebaik mungkin untuk membela kerajaan negeri. Boleh dikatakan ketika inilah Husam mula menunjukkan karismatiknya sebagai pemimpin harapan Kelantan.

Seingat saya beliaulah antara Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan yang cekap menggunakan kedudukan untuk memprojekkan dirinya. Dan ternyata andaian saya itu menjadi kenyataan bila mana akhirnya dengan jawatan ketua pemuda itu di samping dengan kedudukan sebagai pegawai Menteri Besar, baik selaku setiausaha akhbar maupun setiausaha politik beliau berjaya meletakkan dirinya di perseda politik kebangsaan. Ini semua bukan apa, kerana pemikiran, idea serta kekereatifan beliau sebagai seorang pemimpin sangat menyerlah dan tidak terlawan oleh rakan lain.

[Catatan: Khabarnya Husam bakal mendapat menantu pada pentang ini. Di kesempatan ini ‘tanpa koner-koner’, saya mengucapkan tahniah dan selamat menerima menantu sulung]

Bersambung…

18
Apr
09

Pak Lah Menangis Siapalah Tahu (3)

DESAKAN demi desakan dan jaminan demi jaminan serta pujukan dan rayuan dari semua golongan, politician, rakyat marhen dan termasuk juga para agamawan agar Pak Lah terus mengekalkan jawatan perdana menteri menyebabkan Pak Lah jadi dilema. Baginya teramat sukar untuk beliau memuktamadkan keputusan samada turun atau tidak.Pak Lah berada di dua persimpangan – api dan duri; apakah dia akan akur atas kehendak rakyat ataupun terus mengiyakan apa yang rakan-rakan dalam Umno yang sudah menyimpang kesetiaan kepadanya itu. Kekal bermakna beliau berdiri di atas api, manakala berundur menyebabkan beliau ditikam onak dan duri kesalahan!

Kesulitan ini hanya Pak Lah saja yang tahu. Tidak ada siapa yang boleh berkongsi kesusahan ini dengannya, kerana kata putus terletak di atas pertimbangannya seorang. Dan Pak Lah pun tidak banyak membuat ralat di atas apa yang telah berlaku. Mungkin istiqarah saja jawaban terbaik.

Keresahan dan perubahan diri Pak Lah hanya diketahui oleh isterinya, Jeanne Abdullah. Jeannelah yang menjadi tempat beliau mengadu segala-galanya. Jeannelah tempat Pak Lah melepas keserabutan yang menghimpit dirinya. Jeannelah yang tahu remuk dan radamnya jiwa Pak Lah. Jeannelah yang tepat mentafsirkan setiap hilai dan tawa Pak Lah yang sebenarnya.

Abdullah dan Jeanne melindungi kepedihan di hati dengan irai ketawa.

Abdullah dan Jeanne melindungi kepedihan di hati dengan irai ketawa.

Sesekali isterinya ada menasihat agar bertenang dan tidak begitu memikirkan soal politik yang tidak pernah ada perasaan itu. Jeanne berbuat begitu kerana untuk menjaga kesihatan dan mengawal emosi Pak Lah. Jeanne pernah berkata; you kan masih jadi perdana menteri, kenapa harus dirisaukan sangat. Kata-kata Jeanne itu mungkin bermaksud Pak Lah harus berani dan menggunakan haknya dan tidak terlampau menurut desakan di luar sana.

Pak Lah juga mengerti perasaan isterinya. Isteri mana yang tidak sayangkan suami. Tetapi dalam hal ini Jeanne mungkin tidak faham sangat mengenai sepak terang politik. Dalam politik manusia boleh melakukan apa saja demi mendapat kuasa. Lupa pada budi, tegar memungkir janji. Tikam menikam dari belakang adalah permainan biasa. Seribu janji dalam politik belum tentu satupun ditunaikan.

Adakalanya keresahan Pak Lah sukar dikawal. Kadang kala dia jadi sedikit berang kerana sukar untuk membuat keputusan. Keserabutan pula ‘ditinak’ oleh desakan demi desakan yang datang berbagai-bagai dari segenap penjuru. Saat inilah ia menguji kebijaksanaan dan kehalusan budi Jeanne sebagai isteri untuk mententeramkannya. Keadaan ini berlaku terutamanya pada dua bulan terakhir, Februari dan Mac – saat tenmpoh peralihan kuasa sudah diputuskan.

Macam-macam dugaan dan cabaran yang diterima Pak Lah dan juga Jeanne. Mereka tidak mendedahnya kepada sesiapa tetapi diolah sendiri. Segala yang berlaku ditelan sendiri dengan penuh keselambaan. Saking pun pahit menjadam tetapi wajah Pak Lah tetap manis ketika menelannya. Mereka yang datang ke rumahnya juga berbagai jenis manusia. Rumah itu menerima tetamu hampir setiap malam dengan membawa berbagai niat dan tujuan.

Yang datang bukan saja dari Kuala Lumpur, nuh jauh dari Utara, Selatan, Timur dan juga di Malaysia Timur. Semua datang memberi semangat dan mendesak agar Pak Lah teruskan tugasnya sebagai perdana menteri. Tidak kurang juga mengajak Pak Lah untuk berlawan hingga titisan darah terakhir.

Dalam kebanjiran tetamu itu ia diselang seli juga dengan kedatangan dua tetamu istimewa yang tidak mudah untuk ditolak. Mereka ialah Najib Razak dan isterinya, Rosmah Mansur. Hampir setiap minggu tetamu ini berhubung dengan mereka suami isteri dan juga dengan para pekerja di kompleks Seri Perdana. Dan kadang mereka datang bertandng ke rumahnya. Hal ini diakui sendiri oleh Pak Lah.

Pernah satu masa ketika sidang akhbar apabila ditanya oleh wartawan apakah Pak Lah berbincang dengan Najib mengenai peralihan kuasa, Pak Lah menceritakan mengenai pertemuan beliau dengan Najib yang kerap berlaku. Kata Pak Lah beliau kerap bertemu dengan Najib tetapi tidak boleh diberi tahu di mana. Nah… kini baru terbongkar pertemuan itu berlaku di Seri Perdana rupa-rupanya.

Setiap kali Najib dan Rosmah bertandang ke Putrajaya Jeanne akan menyediakan menu yang digemari Najib dan Rosmah. Ada kalanya Najib mengada-ngada ‘bermanja’ dengan Jeanne mahu makan itu dan makan ini. Jeanne pula rasa hormat yang tinggi akan bersusah payah mengarahkan tukang masaknya menyediakan makanan kegemaran Najib.

Antara menu yang menjadi kegemaran Najib ialah ulam ulaman, (salad) dan juga sayur keladi. Jeanne akan siapkan sayur keladi untuk Najib. Tidak cukup makan di Seri Perdana, Jeanee akan membungkuskannya untuk Rosmah bawa pulang. Apa yang Jeanne lakukan menandakan kasih dan mesranya beliau dengan bakal penggantinya. Malangnya budi Jeanne itu tidak pun dihargai. Sayur-sayuran dan salad yang dibungkus Jeanne dibuangkan saja ke dalam tong sampah oleh Rosmah.

Rosmah dikatakan mengambil berat soal makanan dan tidak sedia untuk makan sembarangan hatta dibekalkan oleh isteri perdana menteri, Jeanne Abdullah.

Sementara mereka lain yang datang bertandang ke rumah Pak Lah adalah untuk merayu dan memohon kepada Pak Lah agar tidak berhenti lagi. Datang memberi kekuatan dan jaminan kepada Pak Lah. Semuanya Pak Lah dengar, fikir dan pertimbangkan sebaik mungkin. Namun kata putus tidak diutarakan kepada sesiapa pun. Pak Lah hanya membungkamkan saja apa sebenarnya yang terpendam di lubuk hatinya.

Mungkin juga atas desakan itu dan memikirkan keperluannya wajar untuk Pak Lah terus memimpin negara beberapa ketika, beliau dikatakan sudah memasuki beberapa program ke dalam buku harian perdana menteri sehingga bulan Jun. Ini bermakan Pak Lah sudah mengira dia akan duduk seketika sementara menyerahkan jawatan itu kepada Najib.

Mungkin Pak Lah mengira ada kerja-kerja akhir yang perlu beliau selesaikan. Bagaimana untuk jawatan presiden Umno Pak Lah sudah tidak dapat berbuat apa-apa lagi. Beliau kena akur pada persetujuan dan janjinya dalam Majlis Tertinggi Umno. Dia tidak mungkin memungkirinya kerana Pak Lah bukan seorang munafik. Lagipun Pak Lah kena berbuat begitu kerana angin ribut desakan sudah semakin kuat melanda. Apa yang beliau mahu perpanjanhgkan sedikit ialah untuk jawatan perdana menteri.

Keputusan awal Pak Lah untuk extend sampai Jun itu menggembirakan banyak orang. Sedikit cahaya sudah mulai terbit sekurang-kurang dalam tempoh dua bulan itu sesuatu yang kusut dapat diselesaikan. Namun lain pual jadinya. Di pihak sana yang terhidu semua itu terus menggerakan desakan dan asakan kepada Pak Lah secara lebih agresif lagi.

Rosmah dan Najib serta orangnya semakin rancak menelefon bertanya itu dan ini termasuk bila mahu pindah. Tidak cukup itu berbagai-bagai jenis surat masuk ke dalam peti surat di Seri Perdana. Semuanya berbentuk desakan dan notis agar Pak Lah dan Jeanne segera keluar dari kediaman rasmi itu.

Keadaan Pak Lah bersama Jeanne dan keluarga yang tinggal di situ ketika ini tidak ubah seperti penyewa rumah yang berdepan dengan tuan rumah yang bakhil yang mahukan sewa rumah. Seolah-olah Pak Lah menyewa rumah itu dan tidak membayar tunggakannya. Manakala pengurus kompleks Seri Perdana, Mohammad Hitam pula diberikan notis mengatakan mereka tidak diperlukan lagi mulai 1 Mac lalu, walaupun ketika itu Pak Lah masih lagi perdana menteri namun pegurus itu sudah mendapat notis.

Jelas sekali perilaku itu di luar adat dan kesopanan yang sekaligus mencerminkan kerakusan orang baru yang hendak mendiami kompleks berkenaan. Sesungguhnya tekanan dan asakan ini benar-benar menyentuh hati dan perasaan Pak Lah dan juga Jeanne. Asakan inilah menyebabkan Pak Lah akhirnya terpaksa mengalah dengan perasaan yang berat dan sebak!

Titisan air jernih Pak Lah dan Jeanne yang jatuh di lantai Seri Perdana tidak siapa tahu dan ianya akan dipijak dan dilanyak orang selepas ini. Bersambung

17
Apr
09

Pak Lah Menangis Siapalah Tahu (2)

ORANG membuat kesimpulan mudah dengan pesaraan paksa Pak Lah kononya beliau sudah senang lenang. Hartanya sudah bertimbun-timbun. Orang selalu mengaitkan dengan rumah besar anaknya, Kamaluddin di Brisbane Australia. Jadi untuk apa Pak Lah susah payah lagi, semuanya sudah ada. Apa yang beliau perolehi selama lima tahun jadi PM sudah pun mencukupi.Memang benar Pak Lah lebih kaya daripada petani dan penarik beca. Pak Lah lebih kaya daripada pemandu teksi dan penjual nasi lemak. Pak Lah lebih kaya daripada pengurus bank dan juga pegawai kanan kerajaan bertaraf jusa. Tetapi jika diukur dengan betul siapa yang paling kaya kalau dibandingkan Pak Lah dengan Daim Zainuddin, dengan Dr Mahathir Mohahamd, dengan Syed Albukhri ataupun dengan Najib Razak sendiri?

Abdullah dilingkungi supaya jangan berhenti

Abdullah dilingkungi supaya jangan berhenti

Kekayaan Pak Lah senagaja digembar gemburkan sedangkan hakikatnya tidak begitu. Sebenarnya Pak Lah bukan tidak sayang kepada kuasa dan kedudukannya. Beliau sayang. Siapa yang tidak mahu hidup dalam keadaan di sanjung dan dihormati. Ke mana pergi orang akan berderu untuk menyambutnya. Orang akan iring berjalan dan hidangkan segala makanan lunak dan lazat. Apa lagi kalau dengan kuasa itu dapat melakukan sesuatu kepada nusa dan bangsa.

Dengan kuasa itu dapat membawa kebaikan kepada rakyat. Tetapi kenapa Pak Lah tidak mempertahankan kedudukan dan kuasa? Jawabnya senang saja dia tidak mahu. Dia tidak mahu bergaduh. Biarlah dia mengambil sikap mengalah demi kebaikan semua. Gerombolan yang datang untuk merepuhnya cukup kuat dan cukup hebat. Pak Lah tidak berdaya untuk menangkisnya.

Walaupun ada mereka yang bersimpati, datang menghulurkan tangan untuk membantu Pak Lah namun beliau tidak dapat berbuat apa-apa. Bukan saja dalam Umno di luar Umno juga datang menyatakan sokongan dan berjanji untuk berdiri mempertahankan kedudukan itu bersama.

Mereka datang kerana bimbang dengan nasib bangsa dan negara. Mereka kurang percaya kepada penggantinya dapat membawa kebaikan. Semua itu dilihat kepada sejarah dan latar belakang kehidupan si pengganti itu. Persepsi yang berlegar di sekeliling diri penggantinya juga menyebabkan orang takut dan bimbang kalau Pak Lah melepaskan kuasa dan kedudukan itu kepadanya. Pembangkang sendiri datang menemui Pak Lah, memberi jaminan akan menyokong Pak Lah. Pak Lah boleh berdiri di atas kuasanya selama setakat yang wajar. Duduklah, asalkan jangan terlepas kepada Najib.

Anwar Ibrahim yang suatu waktu dulu bermusuh Pak Lah juga menawarkan budi dan khidmat. Begitu juga dengan Abdul Hadi Awang, juga sedia memberi sokongan. Bagi Abdul Hadi Pas rela berketuakan Pak Lah daripada Najib. Malahan sikap Abdul Hadi itu seakan berkerat rotan dan berpatah arang dengan Najib demi Pak Lah.

Tengku Razaleigh Hamzah juga melahirkan hasrat demikian. Mereka ini bukan saja berkata-kata dari luar jendela rumah Pak Lah, tetapi bertemu secara berhadapan muka. Abdul Hadi bertemu dengan Pak Lah atas agenda Unity Government. Tengku Razakeigh berjumpa dengan Pak Lah sebagai sahabat lama. Mereka berdua berjumpa sekurang-kurang sekali atas hasrat dan tujuan sama.

Anwar Ibrahim juga berjumpa dengan Pak Lah. Peristiwa di Hulu Langat adalah perjumpaan terakhir mereka berdua yang memberi tafsir mereka keinginan untuk kerjasama. Orang di luar pun syok dengan pertemuan itu. Pendeknya semua orang yang datang menghulurkan tangan untuk membantu Pak Lah begitu bersungguh. Mereka mengenepikan kepentingan diri buat sementara.

Abdul Hadi sanggup dikecam oleh partinya. Anwar juga seperti tidak akan peduli kepada apa yang rakan-rakan Pakatan Rakyat lain katanya, khasnya DAP yang kini berada dalam zone selesa apabila mendapat Pulau Pinang. Dan Tengku Razaleigh rela menurun darjatnya. Cuma tunggu dari belah Pak Lah sahaja. Permintaan dan desakan itu menimbulkan delima kepada Pak Lah. Menjadikan Pak Lah pusing kepala untuk memutuskannya.

Beliau berhadapan dengan dua persimpangan samada akur kepada tekanan atau melawan arus yang mendatang. Cuma sayang sedikit segala tawaran, sokongan dan janji itu ia datang sewaktu Pak Lah sudah nazak. Sesudah nyawa di halkum. Semasa Pak Lah masih sihat, bertenaga dan berkuasa sokongan begitu seakan tidak pernah menjelma.

Malahan masing-masing turut sama terjebat dalam perangkap yang dipasang oleh musuh-musuh Pak Lah yang berkepalakan Mahathir Mohamad. Masa terus merangkak dan Pak Lah semakin terhimpi dan terkepit. Arus dan gelombang pula semakin mengganas dan kejam. Ruang-ruang yang ada tidak memberi kesempatan lagi kepada Pak Lah untuk berfikir. Musuh seakan tahu dan bijak tidak memberi ruang pernafasan lagi. Pak Lah teruk diasak dan diasak.
Apakah peristiwa menyebabkan Pak Lah akhirnya mengambil keputusan berundur?Bersambung.

17
Apr
09

Pak Lah Menangis Siapalah Tahu (1)

KALAU sudah tidak suka dan benci macam-macam tuduhan serta tanggapan buruk dilakukan ke atas seseorang. Ia tidak peduli lagi samada tuduhan itu ada dalil dan nas ataupun sebaliknya. Segala tuduhan dan kebencian itu dilempar untuk merendah-rendahkan keupayaan seseorang. Jika dia seorang pemimpin tuduhan berhubung kemampuan dan keperibadiannya akan diutamanya; tidak kreatif, lambat, lembek, tidak tegas adalah tuduhan-tuduhan yang menjijikkan.

Begitulah apa yang berlaku ke atas bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah). Sejuta keburukan dan kebusukkan dihumbankan ke atas kepalanya. Ia digambarkan seolah-olah Pak Lah tidak berjenis langsung. Tidak ada sejuring kebaikan pun. Orang yang marahkan Pak Lah kononnya kerana memikirkan masalah negara. Merasa bertanggungjawab terhadap negara. Memikir masa depan negara yang dilihat tidak begerak maju ditangan Pak Lah.

Pemikiran dan tanggungjawab demikian baik, itulah tanggungjawab yang dituntut oleh agama. Dan itulah juga amanah Allah kepada setiap manusia yang dinamakan sebagai khalifah, menjaga dan memastikan kelestarian dunia ini. Tetapi marah dan kritikan ada batas dan hadnya.

Sebagai seorang manusia dan bergelar pemimpin tuduhan itu melampau. Untuk mengatakan Pak Lah alpa dan tidak peduli langsung kepada nasib bangsa dan negara adalah terlalu kejam. Apakah seteruk itu Pak Lah? Beliau melibatkan diri dalam perjuangan bukan sehari dua. Beliau bukan naik dengan diusung dan atas ‘tandu bangsawan’. Beliau naik dari bawah atas dengan membawa hasrat dan cita-cita menggunung tinggi untuk membela agama, bangsa dan negaranya.

Pak Lah juga naik dengan peribadinya dan bukan dengan memabayar undi atau membina puak untuk menyerang puak lain. Politik Pak Lah tulus dan mulus. Untuk mengatakan Pak Lah membiarkan negara bergerak sendiri seperti kereta tanpa ada pemandu adalah melampau. Mengenai tanggungjawab terhadap negara ini, berat lagi mata memadang rasanya berat lagi bahu Pak Lah yang memikulnya.

Cuma kenapa orang melihat bahu yang kecil itu tidak larat kerana ia tidak disupport dari belakang. Di sekelilingnya yang banyak menghemtam dan mengkritik tidak tentu fasal dari pada ilkhlas untuk membantunya. Sepanjang masa beliau dibelasah kiri kanan, luar dan dalam tanpa henti. Di luar melanyak di dalam menyambut! Tidak ada pendekar yang memecah langkah menangkis segala tohaman dan serangan walaupun pada mulanya semua mengaku bersetia dan hendak bekerja bersama-sama Pak Lah.

Kawan setia dan jujur diimpikan Pak Lah tidak diperolehi. Ironisnya yang menyerang adalah kalangan Umno sendiri, secara spesifiknya orang yang melantik Pak Lah menjadi Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad yang menjadi kepala lanun mengkritik Pak Lah. Mahathir baru berhenti menghentam Pak Lah baru semalam, selepas Najib Razak menjadi Perdana Menteri dan puteranya, Mukhriz dilantik menjadi timbalan menteri.

Saya percaya kalau Mukriz tidak mencuri kerusi Kahiry Jamaluddin itu, Mahathir akan terus mengamuk, berkemungkin lebih sawan daripada sebelum ini. Pak Lah dari dulu lagi bukan seorang fighter. Beliau banyak meneyerahkan nasibnya kepada Allah s.w.t. Beliau menjadi PM pun kerana takdir Allah. Dalam diri Pak Lah tidak ada sekuman perasaan tahu marah kepada sesiapa.

Rasa sabarnya menyeliputi ke dalam dirinya. Kerana sabar yang tinggi itulah menyebabkan Pak Lah seakan lemah dan bodoh. Dilihat lembek dan tidak bertenaga. Pun begitu meskipun beliau bersetuju melepaskan jawatan, masih ada yang menasihat jangan dan sedia menyokong, tetapi beliau ada perhitungan sendiri.

Beliau ada perkiraan dan sifir-sifir siasahnya sendiri. Ada perkara yang terfikir dan diketahui olehnya tetapi tidak dapat dilihat oleh orang luar sana yang bersimpati kepadanya. Apa yang beliau nampak inilah sebenarnya yang mengusik emosi dan ilusi Pak Lah. Inilah menyebabkan dia terkaku dan tidak boleh melakukan apa-apa lagi. Menyebabkan beliau terpaksa menyerah jawatan dan kedudukan itu yang pakej bersama nasib agama dan bangsa dalam keadaan terpaksa. Iya terpaksa!

Apakah sebab-sebab menghambat beliau untuk tidak bertahan? Apa perkiraan Pak Lah? Dan benarkan perhitungan itu dapat menyelamatkan negara. Bersambung.

Abdullah diruntun turun

Abdullah diruntun turun




Mei 2024
I S R K J S A
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
2728293031  

Kira Imbas (15 April 2009)

Laman